Skip to main content

Singapura

Kes jenayah fizikal di SG naik 5.4% pada separuh pertama 2025

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Aug 2025 05:10PM Dikemas Kini : 26 Aug 2025 10:54PM
SINGAPURA: Mencuri di dalam kedai sekali lagi membentuk jumlah kes jenayah fizikal tertinggi di Singapura, dengan 2,097 kes dilaporkan pada separuh pertama 2025, menurut polis pada Selasa (26 Ogos).

Jumlah itu naik sebanyak 4.2 peratus - atau 84 kes - berbanding 2,013 kes pada tempoh yang sama tahun lalu, iaitu dari Januari hingga Jun.

Jumlah keseluruhan kes jenayah fizikal juga meningkat sebanyak 5.4 peratus kepada 10,341 pada separuh pertama 2025, naik daripada 9,809, menurut perangkaaan pertengahan tahun yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF).

Mencuri di dalam kedai membentuk 20.3 peratus daripada jumlah jenayah, sekali gus membentuk kategori kes tertinggi.

Ia juga kekal sebagai salah satu kesalahan utama dalam kalangan belia.

Pada separuh pertama 2025, bilangan belia yang diberkas kerana mencuri dalam kedai meningkat sebanyak 41.1 peratus kepada 271 orang, berbanding 192 orang sepanjang tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Menurut polis, kategori usia belia adalah antara 10 hingga 19 tahun.

Lebih separuh daripada kes itu melibatkan kerugian kurang daripada S$50.

Barangan yang sering dicuri termasuk makanan dan minuman, arak, serta produk penjagaan diri.

Kedai runcit dengan jumlah kes kecurian tertinggi dalam enam bulan pertama tahun ini - dari bilangan tertinggi ke jumlah paling rendah - adalah:
  • Cold Storage di Ngee Ann City
  • Cold Storage di Tanglin Mall
  • NTUC FairPrice di Ang Mo Kio Hub
  • Cold Storage di Nex Mall
  • NTUC FairPrice di Jurong Point
  • Sheng Siong di Bishan Street 13
  • Watsons di Toa Payoh Central
  • Sheng Siong di Sky Residence, Dawson
  • Sheng Siong di Marsiling Mall
  • Cold Storage di Great World City
  • Cold Storage di Plaza Singapura
  • Giant di Giant Hypermart
  • Sheng Siong di Chin Swee Road
  • Sheng Siong di Tanglin Halt Road
  • Sheng Siong di Woodlands Street 31
  • Mustafa Centre
  • Cold Storage di Raffles City
Menurut polis, cawangan Cold Storage di Ngee Ann City mencatat jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 36 kes.

Berbanding peruncit besar lain, Cold Storage dan Sheng Siong mencatat purata kes kecurian yang lebih tinggi bagi setiap cawangan, dan peningkatan terbesar bagi kes kecurian dalam kedai berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Sheng Siong telah menambah baik sistem CCTV dengan teknologi pengecaman wajah bagi mengenal pasti pesalah dengan lebih baik lagi.

"SPF telah menjejak ramai pesalah melalui rakaman CCTV dan mengambil tindakan terhadap mereka," tambah polis.

Polis juga menyatakan bahawa sebahagian besar kes yang melibatkan belia berlaku di pasar raya, kedai serbaneka, pasar mini (minimart), kedai penjagaan diri serta kedai kesihatan dan kesejahteraan.

SPF menyatakan bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dengan mengadakan ceramah pencegahan jenayah di sekolah dan mendampingi pemimpin sekolah melalui pelbagai platform.

Makluman sekolah juga diedarkan dua kali setahun sebelum cuti penggal, dengan kecurian dalam kedai diketengahkan sebagai salah satu kesalahan utama.

KES KECURIAN LAIN

Selain mencuri dalam kedai, jenayah utama lain yang diberi perhatian termasuk kes mencabul kehormatan, mengintai, dan kecurian dalam premis kediaman.

Kecurian dalam premis kediaman menyumbang 7.6 peratus daripada jumlah kes jenayah fizikal pada separuh pertama tahun ini.

Jumlah kes meningkat kepada 788 berbanding 744 pada tempoh yang sama tahun lalu - naik 5.9 peratus.

Barangan yang lazim dicuri termasuk wang tunai, barang kemas, telefon bimbit, tablet dan aksesori digital.

Kenaikan ini dicatatkan di kebanyakan jenis premis, namun lebih ketara di premis komersial dan dormitori pekerja hijrahan.

Dalam kebanyakan kes di premis komersial, pelaku tidak dikenali oleh mangsa.

Namun dalam kes di mana pelaku dikenali, ia biasanya melibatkan individu yang mempunyai hubungan kerja dengan mangsa seperti bekas pekerja, rakan sekerja atau penyedia perkhidmatan, jelas polis.

Kebanyakan kes yang dilaporkan di dormitori pula dilakukan oleh rakan sebilik mangsa sendiri.

Polis menasihatkan orang ramai supaya jangan membiarkan barangan berharga begitu sahaja tanpa dipantau, terutamanya di kawasan awam atau ruang bersama.

"PENURUNAN KETARA" PADA JUMLAH KES PECAH RUMAH

Meskipun kes pecah rumah, terutama di kawasan perumahan privet, menarik perhatian ramai tahun lalu, polis menekankan bahawa terdapat "penurunan ketara" pada separuh pertama 2025.

Polis berkata "usaha pencegahan jenayah oleh SPF dan kewaspadaan masyarakat" menyumbang kepada penurunan itu.

Kes pecah rumah merosot sebanyak 20 peratus, atau 13 kes, iaitu daripada 65 pada tahun lalu kepada 52 pada tempoh yang sama tahun ini.

Kes ini hanya merangkumi 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jenayah fizikal, menurut polis.

Hampir separuh daripada kes pecah rumah berlaku di premis kediaman, dan kebanyakannya di flat HDB.

Barangan yang lazim dicuri termasuk wang tunai, telefon bimbit, tablet dan aksesori digital.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita