Skip to main content

Singapura

Kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat naik 23% dari minggu ke minggu

Singapura menyaksikan kenaikan 23 peratus dari minggu ke minggu bagi jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat naik 23% dari minggu ke minggu

Pejalan kaki melintasi jalan raya di Orchard Road. (Gambar fail: Aaron Low/TODAY)

Diterbitkan : 21 Jun 2022 10:37PM Dikemas Kini : 21 Jun 2022 10:59PM

SINGAPURA: Singapura menyaksikan kenaikan 23 peratus dari minggu ke minggu bagi jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan medianya malam ini (21 Jun).

"Kenaikan itu sebahagian besarnya disebabkan penularan semakin meluas jujukan varian baru Omicron, iaitu BA.4 dan BA.5," tambah MOH.

Meskipun jujukan varian BA.2 masih menyumbang kepada sebahagian besar jangkitan COVID-19 di Singapura, MOH menyatakan jumlah jangkitan BA.4 dan BA.5 semakin meningkat.

Sekitar 30 peratus kes COVID-19 dalam kalangan masyarakat sepanjang minggu lalu adalah kes dengan jujukan varian BA.4 dan BA.5. Ini berbanding 17 peratus, lapan peratus dan tiga peratus masing-masing pada tiga minggu sebelumnya.

MOH menambah jujukan varian BA.5 sahaja dianggarkan menyumbang sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan kes minggu ini.

"Lonjakan kes jangkitan BA.4 dan BA.5 berkemungkinan berterusan, disebabkan ia lebih mudah berjangkit berbanding BA.2," menurut MOH.

MOH menyatakan bukti-bukti sedia ada di peringkat antarabangsa dan tempatan menunjukkan bahawa tahap teruk jangkitan BA.4 dan BA.5 serupa dengan jujukan awal Omicron.

"Langkah-langkah pengurusan selamat sedia ada, termasuk memakai pelitup di tempat-tempat tertutup dan (langkah pengurusan selamat) berdasarkan status vaksinasi bagi sebahagian kegiatan berisiko tinggi akan diteruskan."

Menurut MOH ia akan meneruskan pemantauan genom bagi jujukan varian yang menular di Singapura, termasuk memerlukan beberapa individu yang dijangkiti supaya menjalani ujian swab tindak balas rantai polimerase (PCR) tambahan yang dibiayai pemerintah bagi penjujukan genom.

"Vaksinasi penting untuk melindungi kita daripada jatuh sakit teruk apabila dijangkiti COVID-19, lebih-lebih lagi memandangkan kenaikan jumlah kes. Lantaran itu, kami sangat menggalakkan warga tua yang berusia 70 tahun dan ke atas (dan terutama sekali yang berusia 80 tahun dan ke atas) supaya mengambil suntikan kedua dos penggalak," tambah MOH.

Semua individu lain yang layak juga harus melengkapkan siri vaksinasi asas dan mendapatkan sekurang-kurangnya satu suntikan dos penggalak secepat mungkin. MOH menyatakan, tidak lama lagi ia akan mengerahkan pasukan vaksinasi bergerak untuk membantu warga tua mendapatkan suntikan penggalak.

MOH juga menyatakan lima Pusat Ujian dan Vaksinasi (JTVC) baru akan memulakan operasi vaksinasi dan ujian COVID-19 mulai 23 Jun ini.

Bertempat di Ang Mo Kio, Bukit Merah, Sengkang, Woodlands dan Yishun, lima JTVC baru itu menjadikan jumlah keseluruhan pusat sedemikian di merata Singapura sebanyak 10.

Pusat-pusat itu menawarkan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty dan Moderna/Spikevax. Pusat di Bishan akan menawarkan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty dan Novavax/Nuvaxovid.

Mereka yang berusia 12 tahun dan ke atas boleh datang terus ke mana-mana pusat tersebut untuk divaksin dan mendapatkan suntikan dos penggalak.

Sumber : CNA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita