Kes ISA guru agama sambilan tekankan peranan penting MUIS, RRG dan AGC banteras radikalisme, tegas Dr Faishal
"Campur tangan awal akan membantu menjauhkan mereka dari terjerumus ke dalam kancah radikalisme." - Dr Faishal Ibrahim pada Selasa (9 Feb) semasa mengulas kes guru agama sambilan Ruqayyah Ramli yang terpengaruh dengan fahaman radikal suaminya.

(Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura)
SINGAPURA: Kes melibatkan seorang guru agama sambilan yang menjadi radikal setelah terpengaruh dengan fahaman songsang suaminya yang merupakan seorang penyokong tegar ISIS adalah satu lagi peringatan betapa berbahaya fahaman pelampau yang masih wujud dan berleluasa ini, tegas Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam catatan Facebooknya pada Selasa (9 Feb).
Meskipun pengaruh ISIS semakin melemah, saki-baki ideologinya yang ganas masih wujud dan rakyat Singapura mesti terus berwaspada terhadap ancamannya.
MUIS memuat naik catatan tersebut setelah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengumumkan hari ini bahawa wanita rakyat Singapura Ruqayyah Ramli, 34 tahun, dikenakan Arahan Sekatan (RO) selama dua tahun dan status Skim Pengiktirafan Asatizahnya (ARS) sudah digantung.
Guru agama sambilan itu terpengaruh dengan fahaman radikal suaminya, warga Malaysia Mohd Firdaus Kamal Intdzam 33 tahun, sejak mereka bernikah pada Disember 2018.
"Walaupun pengaruh ISIS sebagai sebuah pertubuhan semakin melemah, ideologi ganasnya masih wujud dan kita tidak boleh bersikap sambil lewa," tegas MUIS.
Ruqayyah pada awalnya ragu-ragu tetapi akhirnya terpengaruh dengan fahaman sesat suaminya dan mula yakin bahawa keganasan ISIS adalah sesuatu yang wajar dan dia sanggup membawa kedua-dua anaknya untuk menemani suaminya yang turut berhasrat untuk bertempur di Syria.
"Ini menunjukkan bagaimana ajaran songsang seperti itu boleh tersebar dan betapa pentingnya untuk anggota keluarga melaporkan sebarang perkembangan sedemikian kepada pihak berkuasa supaya dapat dicegah lebih awal lagi," dedah MUIS.
Menurut MUIS lagi, ia adalah sesuatu yang "membimbangkan" memandangkan Ruqayyah adalah seorang guru agama sambilan. Mujur siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa menunjukkan bahawa dia tidak cuba untuk menyebarkan pandangan pro-ISIS kepada orang lain.
"MUIS sentiasa menekankan bahawa Islam dan umat Islam di Singapura menolak dengan sekeras-kerasnya sebarang tindakan ganas yang dilakukan atas nama agama," tegas badan agama itu.
"Kami menggesa anggota keluarga, rakan-rakan, pelajar dan rakan kerja supaya melaporkan sebarang individu yang menyebarkan ideologi ganas atau fahaman pelampau kepada pihak berkuasa secepat mungkin supaya pihak berkuasa dapat bertindak tepat pada masanya.
"Secara bersama, marilah kita memainkan peranan kita dalam melindungi keselamatan masyarakat dan negara kita."
It was announced today that a Malaysian who worked in Singapore was arrested and repatriated after investigations...
Posted by Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim on Monday, 8 February 2021
Menulis di Facebooknya hari ini, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim menarik perhatian bahawa kes terbaru ini menekankan betapa pentingnya kerja-kerja yang dijalankan oleh badan-badan seperti Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
"Ancaman radikalisme secara online adalah nyata dan kerja-kerja Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) dan Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (AGC) kekal penting - mengambil pendekatan pemulihan yang menyeluruh, intensif dan jangka panjang bagi individu yang menjadi radikal," kata Dr Faishal.
"Kita mesti terus saling menjaga antara satu sama lain. Jika terdapat tanda-tanda radikal, kita harus merujukkan individu berkenaan kepada MUIS, RRG atau polis. Campur tangan awal akan membantu menjauhkan mereka dari terjerumus ke dalam kancah radikalisme."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.