Skip to main content

Singapura

Kes intai: Perintah lindung identiti hanya ambil kira kepentingan mangsa, bukan tertuduh, tegas Hakim Besar

Colin Chua Yi Jin didedah namanya buat pertama kali September lalu, selepas kesemua mangsanya bersetuju untuk menarik balik perintah lindungi identiti lelaki tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes intai: Perintah lindung identiti hanya ambil kira kepentingan mangsa, bukan tertuduh, tegas Hakim Besar

Colin Chua Yi Jin di luar bangunan mahkamah pada 24 Sept 2021 (Gambar: Hanidah Amin)

  • Identiti Colin Chua Yi Jin, yang didakwa mengintai, terlindung sejak Okt 2019 hingga Sep tahun ini
  • Arahan lindung identiti penuntut varsiti ulung UK itu adalah untuk elak mangsa dikenal pasti
  • Hakim Besar Menon sifatkan percubaan pihak pembelaan untuk terus sembunyikan identiti Chua sebelum ini sebagai "semata-mata mementingkan diri sendiri"
  • Hakim Besar tegaskan tujuan lindungi identiti bagi mangsa, bukan tertuduh
Diterbitkan : 24 Dec 2021 06:48PM

SINGAPURA: Perintah melindungi identiti mengambil kira kepentingan mangsa, dan bukan sama sekali pihak tertuduh, tegas Hakim Besar dalam penghakiman yang dikeluarkan pada Jumaat (24 Dis).

Hakim Besar Sundaresh Menon berkata demikian dalam penjelasan penuh keputusan yang dibuatnya pada September, yang membawa kepada Colin Chua Yi Jin, 23 tahun, disebutkan namanya buat pertama kali sejak dia didakwa pada Oktober 2019.

Chua mengaku bersalah pada Julai atas tujuh tuduhan menghina kehormatan wanita dan satu lagi kerana memiliki filem lucah.

Dia merakam video dari bawah skirt wanita dan ketika mangsa berada di dalam bilik mandi dari 2014 hingga 2015 ketika belajar di maktab rendah di Singapura, dari 2016 hingga 2018 semasa menjalani perkhidmatan negara sepenuh masa, dan dari Oktober 2018 ketika dia menuntut di sebuah universiti di United Kingdom.

Memandangkan mangsa adalah rakan sekelas, rakan sekolah dan rakan Chua, arahan untuk tidak mendedahkan nama itu pada mulanya merangkumi bukan sahaja identiti mangsa tetapi juga Chua.

Pihak pendakwa menggesa bagi perintah melindungi identiti Chua ditarik balik, dan hakim mahkamah daerah meluluskannya. Namun pihak pembelaan membuat permohonan mencabar keputusan itu di Mahkamah Tinggi. Hakim Besar Menon menolak permohonan pembelaan dan menarik balik perintah melindungi identiti Chua pada September.

APA BERLAKU PADA MANGSA BERKAITAN PERINTAH LINDUNGI IDENTITI

Dalam penjelasannya pada Jumaat, Ketua Hakim membentangkan rentetan peristiwa berkaitan.

Perintah melindungi identiti mangsa dikeluarkan pada tarikh pertuduhan pertama Chua pada Oktober 2019. Pendakwa raya tidak membantah permintaan pihak pembelaan supaya Chua dirangkumkan di bawah perintah tersebut pada masa itu. Ini kerana dua mangsa adalah rakan sekelas Chua dan menyebutkan nama tertuduh akan membawa risiko mereka mungkin dikenal pasti.

Memandangkan siasatan masih dijalankan, pihak pendakwaan juga mengambil kira bahawa mendedahkan identiti Chua ketika menimbulkan risiko mangsa lain yang belum disebutkan dalam sebarang pertuduhan baru akan turut dikenal pasti.

Menjelang 14 Jan 2020, apabila pihak pendakwaan memohon untuk mengubah perintah lindungi identiti itu dan mendedahkan nama Chua, 10 daripada 12 mangsa yang dikenal pasti memihak untuk mendedahkan nama tertuduh. Bagi dua mangsa lain, seorang daripadanya berasa ragu-ragu manakala seorang lagi berada di luar negara dan tidak dihubungi sebagai menuruti permintaan keluarganya.

Hakim daerah menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik perintah sembunyikan identiti Chua atas sebab kedua-dua mangsa tidak bersetuju dengan risiko mereka mungkin dicam.

Mangsa kesebelas kemudian berubah fikiran dan menyokong untuk mendedahkan identiti Chua, manakala pihak pendakwaan menarik balik empat dakwaan supaya tiada lagi dakwaan melibatkan mangsa ke-12.

Kenyataan berhubung impak kepada mangsa diambil daripada kesemua 11 mangsa, dan mereka semua bersetuju untuk menarik balik perintah untuk melindungi identiti Chua, walaupun ia meningkatkan risiko identiti mereka sendiri mungkin dikenal pasti.

HAKIM BESAR JELASKAN TUJUAN PERINTAH SELINDUNG IDENTITI

Dalam penghakimannya, Hakim Besar Menon menjelaskan tentang tujuan diadakan perintah melindungi identiti. Pertama, perintah itu menggalakkan saksi dan mangsa memberi keterangan secara terus terang dengan melindungi mereka daripada pemerhatian awam.

Kedua, perintah tersebut mengurangkanan "penganiayaan semula" dengan menyelamatkan mangsa daripada trauma lanjutan akibat perhatian awam yang tidak diingini sekali gus menggalakkan mangsa melaporkan kesalahan.

"Tujuan perintah lindungi identiti itu juga dikenakan semata-mata untuk melindungi mangsa atau saksi dan tidak sekali-kali untuk kepentingan orang yang dituduh," tegasnya.

"Ini bermakna satu-satunya sebab untuk memperluaskan skop perintah melindungi identiti untuk turut menyembunyikan nama orang yang dituduh ialah, pendedahan identitinya berkemungkinan membawa kepada pengenalan mangsa atau saksi."

Hakim Besar berkata bahawa sudut pandangan mangsa "adalah faktor yang tentu sekali relevan yang mesti diambil kira dalam pertimbangan".

SEMBUNYIKAN NAMA TERTUDUH "BOLEH TAMBAH DERITA" MANGSA

"Jika mangsa bersetuju untuk mendedahkan identiti tertuduh dan (menerima) risiko tambahan kemungkinan mereka sendiri mungkin dikenal pasti, keprihatinan berhubung perlindungan mereka kini kurang beratnya, dan lebih pertimbangan biasanya akan diberikan kepada kepentingan awam dalam keadilan terbuka," jelas Hakim Besar lagi.

Beliau menambah bahawa menyembunyikan identiti pihak tertuduh secara berterusan "boleh menambah penderitaan mangsa" dan melemahkan tujuan utama perintah itu. Dalam kes ini misalnya, salah seorang mangsa berkata beliau berasa seolah-olah bersubahat kerana telah memperkenalkan mangsa lain kepada Chua.

Mangsa-mangsa lain berasa tidak berdaya kerana mereka tidak dapat memberi amaran kepada keluarga dan rakan mereka tentang kelakuan pemangsa Chua, yang hanya memburukkan lagi rasa bersalah dan kesedihan mereka, kata Ketua Hakim.

Beliau berkata sangat jelas baginya bahawa perintah melindungi identiti Chua hanya akan menganiaya semula mangsa.

"Walaupun pemohon mendakwa bimbang identiti mangsa mungkin terdedah pada masa akan datang, niat sebenarnya dalam menyerahkan permohonan ini jelas terbongkar dengan tidak menghiraukan penderitaan mereka pada masa sekarang," kata hakim.

Beliau berkata permohonan Chua adalah "semata-mata mementingkan diri sendiri" dan dia "jelas tidak niat sebenar untuk melindungi mangsa".

Chua akan kembali ke mahkamah pada satu tarikh kemudian untuk mendengar hukuman terhadapnya. Mahkamah daerah sebelum ini diberitahu bahawa Chua didapati tidak sesuai untuk hukuman probesen.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita