Skip to main content

Singapura

Kes haiwan peliharaan terbiar naik tiga ganda pada 2023, kata SPCA

Anggaran Waktu Membaca:
 Kes haiwan peliharaan terbiar naik tiga ganda pada 2023, kata SPCA

SPCA mengendalikan kes melibatkan 285 haiwan terbiar pada 2023. (Gambar: SPCA)

Diterbitkan : 31 Jan 2024 05:22PM Dikemas Kini : 31 Jan 2024 05:24PM

SINGAPURA: Jumlah kes haiwan peliharaan terbiar meningkat pada kadar membimbangkan, pada 2023.
Demikian menurut Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) pada Selasa (30 Jan) dalam laporan tahunannya mengenai kekejaman dan kebajikan haiwan.

Menurut SPCA pihaknya mengendalikan kes melibatkan 285 haiwan terbiar pada 2023 - naik hampir tiga kali ganda berbanding 96 kes pada tahun sebelumnya.

Separuh haiwan peliharaan yang dibuang adalah haiwan kecil seperti hamster, tikus belanda atau 'guinea pig', arnab dan kura-kura.

Menerusi satu catatan Facebook, SPCA menarik perhatian kes 17 'guinea pig' yang ditinggalkan di dalam dua beg tahan panas GrabFood dan hamster yang dibiarkan di kolong blok tanpa makanan atau air.

Kucing pula menyumbang kepada 45 peratus kes haiwan peliharaan terbiar yang dikendalikan SPCA, sementara anjing, lima peratus kes.

17 kes 'guinea pig' yang ditinggalkan di dalam dua beg tahan panas GrabFood. (Gambar: SPCA)
Hamster yang dibiarkan di kolong blok tanpa makanan atau air. (Gambar: SPCA)
Laporan SPCA juga menunjukkan pihaknya menyiasat 915 kes melibatkan kekejaman ke atas haiwan, kebajikan haiwan serta perbuatan mengabaikan haiwan pada 2023.

Ia adalah kenaikan 79 peratus berbanding tahun sebelumnya dan yang paling tinggi dalam tempoh 11 tahun, menurut SPCA.

Antara kes tersebut, 558 berkaitan dengan kebajikan dan perbuatan mengabaikan haiwan manakala 137 adalah kes haiwan terbiar.

Terdapat juga 30 kes menyimpan banyak haiwan melibatkan sekitar 480 haiwan pada tahun lalu. Ini selain 31 kes penderaan melibatkan perniagaan yang menjual haiwan peliharaan.

Antara kes berprofil tinggi melibatkan pengendali anjing dari pusat latihan K9 Connection yang didakwa di mahkamah selepas muncul satu video pada Julai tahun lalu menunjukkan seorang lelaki memukul seekor anjing dengan mangkuk besi.
Di bawah Akta Haiwan dan Burung, mereka yang didapati bersalah melakukan kekejaman terhadap haiwan boleh dipenjara sehingga 18 bulan, dikenakan denda sehingga S$15,000 atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$30,000 atau kedua-duanya sekali.

Pesalah boleh dikenakan dendan lebih berat jika mereka bekerja dalam perniagaan berkaitan haiwan.

SPCA tidak ada kuasa penguatkuasaan di bawah Akta Haiwan dan Burung, namun badan kebajikan haiwan itu merujukkan kes serius kepada Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) atau polis.

Sambil menggesa orang ramai supaya melaporkan kes kekejaman dan haiwan terbiar, SPCA menyatakan pihaknya memainkan peranan sangat penting untuk menyiasat insiden-insiden yang berlaku.

SPCA menambah: "Meskipun SPCA tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang atau mengambil haiwan daripada penjaganya, kami memainkan peranan sangat penting dalam memerangi kekejaman terhadap haiwan dengan mengumpulkan saksi yang boleh dipercayai dan bukti-bukti, menyediakan panduan mengenai isu-isu kebajikan haiwan serta memberikan sokongan dalam siasatan.
Terdapat 30 kes menyimpan banyak haiwan melibatkan sekitar 480 haiwan pada tahun lalu. (Gambar: SPCA)
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita