Skip to main content

Singapura

Kes gaji pekerja hijrahan: Aduan awal pada 2025 sudah diselesaikan sebelum tuntutan lebih besar dibuat

Anggaran Waktu Membaca:
  Kes gaji pekerja hijrahan: Aduan awal pada 2025 sudah diselesaikan sebelum tuntutan lebih besar dibuat

Pekerja hijrahan di pusat khidmat Kementerian Tenaga Manusia di Bendemeer pada 22 Jun 2026. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)

Diterbitkan : 07 Jul 2026 08:10PM
SINGAPURA:Lima pekerja daripada KPA Engineering - salah satu daripada tiga syarikat yang sedang disiasat selepas lebih 400 pekerja hijrahan memfailkan tuntutan gaji tidak dibayar bulan lalu - pertama kali mendekati Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM) secara individu pada tahun 2025 berhubung aduan serupa, yang kemudiannya berjaya diselesaikan.

"Susulan bantuan daripada TADM, kesemua kes diselesaikan dalam masa seminggu dengan para pekerja menerima bayaran daripada majikan," kata Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng dalam jawapan bertulis parlimen pada Selasa (7 Jul).

Lebih banyak tuntutan kemudian muncul daripada empat lagi pekerja KPA Engineering pada Mei 2026.

Tuntutan-tuntutan ini sedang dalam proses dikendalikan, kata Dr Tan, apabila hampir 200 pekerja tampil meminta bantuan daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berhubung gaji yang tidak dibayar pada akhir Jun.

MOM menyekat keistimewaan pas kerja KPA Engineering dan sebuah lagi firma, VVR Plant Engineering, masing-masing pada April dan awal Jun 2026 disebabkan oleh kegagalan membayar levi.

"Ini bermakna syarikat-syarikat tersebut tidak dapat mengambil pekerja asing baharu sejak tarikh berkenaan," kata Dr Tan.

Kumpulan hak asasi pekerja hijrahan, Transient Workers Count Too (TWC2), menyatakan dalam satu catatan video di Facebook pada akhir Jun bahawa MOM sebenarnya sudah pun dimaklumkan tentang isu gaji daripada KPA Engineering.

"Syarikat ini mempunyai sejarah tidak membayar pekerja mereka dengan betul. Sepanjang tahun 2025 dan 2026, TWC2 telah membantu 6 pekerja yang menghadapi isu gaji daripada syarikat ini," kata naib presiden Alex Au dalam video tersebut.

Sebuah lagi syarikat, SK Industries, yang pekerjanya turut terjejas dalam kes gaji tidak dibayar ini, juga pernah gagal membayar levinya sebelum ini.

Namun, keistimewaan pas kerjanya dikembalikan semula selepas levi yang tertunggak itu dilunaskan, kata Dr Tan.

MOM juga mendapat tahu tentang isu gaji pekerja apabila dimaklumkan mengenai notis pengusiran asrama pada 8 Jun, yang menjejaskan ramai pekerja KPA Engineering.

"(Kami) masuk campur untuk membantu pekerja yang terjejas dan memahami situasi sebenar. Pada ketika ini, kami juga berbual dengan para pekerja dan mendapati ramai daripada mereka menghadapi kelewatan pembayaran gaji," kata Dr Tan.

Pihak kementerian kemudian mengambil langkah menghubungi pengarah syarikat sebelum kumpulan pekerja yang besar itu mendekati MOM pada 22 Jun.

Pada 22 Jun, seramai 196 pekerja hijrahan daripada KPA Engineering dan SK Industries hadir ke MOM dengan tuntutan gaji yang tidak dibayar.

TADM dan pihak kementerian membantu para pekerja memfailkan tuntutan gaji, menjalankan pemeriksaan kebajikan, serta menguruskan keperluan makanan dan tempat tinggal mereka.

Lebih ramai pekerja, termasuk kakitangan daripada VVR Plant Engineering, kemudiannya turut mendekati MOM dan diberikan bantuan. Secara keseluruhan, sebanyak 407 tuntutan gaji telah difailkan terhadap ketiga-tiga syarikat berkenaan, dan kementerian memulakan siasatan terhadap mereka atas kesalahan di bawah Akta Kerja dan Akta Pengambilan Tenaga Kerja Asing.

Memberikan perkembangan terkini tentang pekerja tersebut, Dr Tan berkata kesemua pekerja terjejas yang memerlukan penginapan alternatif telah ditempatkan semula.

Para pekerja juga dikeluarkan Pas Khas, yang membolehkan mereka tinggal di Singapura sementara mencari pekerjaan baharu.Lebih 130 pekerja mendapat pekerjaan dengan majikan baharu, dan MOM akan terus bekerjasama dengan Pusat Pekerja Hijrahan (MWC) serta Persatuan Kontraktor Singapura untuk memudahkan urusan pertukaran majikan bagi baki pekerja yang ingin terus bekerja di Singapura, kata Dr Tan.

TADM juga memproses sebahagian besar tuntutan daripada pekerja yang terjejas, dan merujuk mereka kepada MWC untuk bantuan kewangan.

Pertubuhan bukan pemerintah (NGO) itu akan menghulurkan bantuan kewangan kepada pekerja hijrah yang terjejas melalui cabang amalnya, Tabung Bantuan Pekerja Hijrahan, bergantung kepada keadaan setiap kes, yang mana ia akan dapat menampung "sebahagian besar daripada gaji mereka yang tertunggak", kata Dr Tan.

TIGA SYARIKAT, SATU PENGARAH

Ketiga-tiga syarikat berkenaan mempunyai seorang pengarah yang sama, iaitu seorang penduduk tetap (PR) Singapura bernama Ramu Palani Velu, seperti yang disenaraikan dalam rekod awam.

Mengulas mengenai persoalan tentang isu tidak membayar gaji melibatkan beberapa syarikat yang mempunyai pengarah yang sama, Dr Tan berkata MOM biasanya akan menyiasat syarikat-syarikat lain di bawah pengarah yang sama apabila meneliti sesebuah syarikat di mana pengarahnya didapati melanggar kewajipan pekerjaan.

"Jika berlaku gaji yang tidak dibayar di beberapa syarikat, pengarah tersebut boleh dikenakan hukuman bagi kesemua kes, dan setiap kes kegagalan membayar gaji akan diambil kira dalam menjatuhkan hukuman," kata menteri itu.

"MOM akan melihat melampaui syarikat individu untuk memeriksa siapa yang memegang kawalan terhadap keputusan pekerjaan dan pembayaran, dan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya.

"Melindungi semua pekerja dan memastikan mereka dibayar gaji tepat pada masanya adalah keutamaan bagi MOM, dan pihak kementerian akan terus menyemak serta memperkukuh proses serta perlindungannya, dengan mengambil iktibar daripada kes yang sedang berlaku ini, tambah Dr Tan.

Majikan berkenaan, Encik Velu, kini sedang membantu siasatan, dan MOM akan menyiasat kes ini secara menyeluruh dan memutuskan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya selepas siasatan selesai.

Kegagalan membayar gaji dan kelewatan membayar gaji merupakan kesalahan di bawah Akta Kerja dan Akta Pengambilan Tenaga Kerja Asing.

"MOM secara proaktif memantau risiko berkaitan gaji menggunakan petunjuk seperti maklum balas pekerja dan tuntutan gaji, corak pembayaran lewat melalui rekod pembayaran, kegagalan membayar levi, serta tanda-tanda ketidakpatuhan kewangan atau pekerjaan yang lain.

"Sekiranya petunjuk ini menunjukkan corak kelewatan atau kegagalan membayar gaji, MOM akan menjalankan pemeriksaan bersasar untuk mengenal pasti jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang kerja," kata Dr Tan.

Dalam sesetengah kes, majikan mungkin terlepas pembayaran gaji disebabkan masalah aliran tunai jangka pendek.

Jika majikan menghadapi kesukaran kewangan yang tulen dan bertindak secara bertanggungjawab untuk menyelesaikannya, MOM akan memberikan mereka peluang untuk menunaikan kewajipan mereka supaya mereka boleh terus beroperasi dan mengekalkan pekerjaan untuk pekerja mereka, kata Dr Tan.

Namun, jika terdapat usaha mengelak secara sengaja, berlarutan, atau penyalahgunaan struktur korporat, pihak kementerian akan mengambil tindakan tegas, tambah beliau.

Majikan yang gagal membayar gaji boleh berdepan denda antara S$3,000 hingga S$15,000 bagi setiap pertuduhan, hukuman penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita