Skip to main content

Singapura

Kes gaduh sekolah Monfort: MOE mungkin kemuka fakta jika 'kisah berat sebelah' dimuat naik online, kata Dr Maliki

Anggaran Waktu Membaca:
Kes gaduh sekolah Monfort: MOE mungkin kemuka fakta jika 'kisah berat sebelah' dimuat naik online, kata Dr Maliki

Petikan skrin video pelajar Sekolah Menengah Montford menendang seorang rakan sekolah dan menyebabkannya terjatuh. (Gambar: Facebook/Jonden Chan)

SINGAPURA: Sekolah-sekolah lebih cenderung untuk menangani insiden pergaduhan atau buli secara sensitif tetapi Kementerian Pendidikan (MOE) mungkin perlu mengongsi fakta kes tersebut jika satu "kisah berat sebelah" dimuat naik secara online.

Demikian menurut Menteri Kedua Pendidikan Maliki Osman pada Jumaat (7 Mac).

Apabila mana-mana insiden pergaduhan atau buli dikongsi secara online menerusi satu catatan media sosial atau video, selalunya satu kisah berat sebelah dipaparkan daripada "perspektif tertentu", tambahnya.

"Walaupun kami berharap orang ramai dapat ingat bahawa apa yang mereka lihat atau baca secara online mungkin tidak menunjukkan fakta penuh kes itu, orang ramai sering memberi reaksi dengan emosi terhadap apa yang mereka lihat secara online, dan segera membuat pertimbangan tentang apa yang telah berlaku, atau siapa yang betul atau salah dalam kejadian itu," kata Dr Maliki di parlimen.

Menjawab pertanyaan daripada beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai video yang tular yang menunjukkan sebilangan pelajar Sekolah Menengah Monfort bergaduh, Dr Maliki mengatakan bahawa sekolah melaksanakan siasatan menyeluruh untuk memahami fakta apabila sesebuah insiden dilaporkan, sebelum menentukan langkah selanjutnya untuk diambil.

Ini boleh merangkumi kedua-dua tindakan disiplin dan pemulihan, tambahnya, sambil menyatakan bahawa sekolah itu juga akan membantu polis dalam siasatan mereka jika laporan polis difailkan.

Dalam video yang dimuat naik ke Facebook pada Sabtu (22 Feb), sekumpulan pelajar Montfort dilihat mendekati seorang pelajar dari belakang, menyebabkannya tersandung lalu menendangnya. Ia dikongsi di Facebook lebih 10,000 kali sebelum ia dihapuskan atau diubah untuk membenarkan tontonan privet sahaja.

Pelajar Menengah satu yang dilihat ditolak oleh pelajar lain dalam video itu bergaduh dengan dua rakan sekelas sebelumnya, menurut MOE dalam kenyataannya pada Isnin.

Seorang guru menghentikan pergaduhan di dalam kelas, tetapi pertelingkahan tersebut berterusan selepas dua rakan sekelas itu mengekori pelajar tersebut ke tangga dan kantin, selepas tamat kelas.

Tiga pelajar itu "berkongsi tanggungjawab" dalam insiden tersebut, dan kesemuanya akan menerima "hukuman yang sesuai", jelas kementerian tersebut pada ketika itu.
Selepas video tersebut tular online, seorang pengguna Facebook bernama Joleen Wee, yang dikatakan merupakan ibu kepada budak yang ditolak dalam video tersebut, memaut naik satu catatan pada 23 Feb mengenai "pengalaman traumatik" anaknya.

"Apa yang telah dijawab oleh pihak sekolah dan MOE menimbulkan kebimbangan tentang kegagalan sekolah untuk melindungi pelajarnya," tulisnya.

"Melalui catatan ini, saya ingin menjelaskan bahawa anak saya bukan sahaja dibuli! Dia diserang!" jelasnya, sambil menambah bahawa dia telah membuat laporan polis.

MOE dan sekolah lebih cenderung untuk menangani setiap kes secara sensitif untuk memberi ruang dan privasi kepada pelajar yang terlibat untuk belajar daripada kesilapan mereka dan mendewasakan diri, kata Dr Maliki pada Jumaat.

Namun, jika sesebuah kes didedahkan kepada khalayak umum secara online dan maklumat itu "terlalu berfat sebelah", sekali gus menimbulkan kebimbangan awam, merosakkan reputasi pihak lain atau memperlihatkan satu sisi kisah sekalipun penuduh tersebut "mungkin tidak bersalah sepenuhnya", MOE mungkin perlu menerbitkan fakta kes itu untuk memberikan pandangan yang seimbang, tambahnya.

"Ini adalah untuk bersikap adil kepada pendidik kami dan semua pihak yang terlibat," kata Dr Maliki.

"MOE juga mengeluarkan maklumat mengenai tindakan yang diambil terhadap semua pihak yang berkongsi tanggungjawab terhadap insiden itu – individu yang mencetuskan pergaduhan dan orang lain yang bertindak balas atau menyertai selepas itu."

Pemerhati, serta mereka yang merakam kejadian itu dan berkongsi rakaman secara online, juga akan dipanggil, diberi kaunseling dan dihukum jika perlu, tambahnya.

Ini akan mengingatkan mereka untuk tidak berbuat demikian agar dapat mengelak daripada menyakiti mereka yang terlibat dan memberi kesedaran bahawa dengan sekadar berkongsi rakaman secara online, mereka menyokong tindakan tersebut.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita