Skip to main content

Singapura

Kes gaduh di Orchard Towers: Orang keenam mengaku terlibat dalam kes dan pergaduhan lain

Orang keenam yang dikaitkan dengan pergaduhan maut di Orchard Towers mengaku pada Jumaat (5 Feb) pelibatannya dalam kejadian itu dan juga dua kejadian pergaduhan yang berasingan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes gaduh di Orchard Towers: Orang keenam mengaku terlibat dalam kes dan pergaduhan lain

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 05 Feb 2021 05:58PM Dikemas Kini : 05 Feb 2021 06:04PM

SINGAPURA: Orang keenam yang dikaitkan dengan pergaduhan maut di Orchard Towers mengaku pada Jumaat (5 Feb) pelibatannya dalam kejadian itu dan juga dua kejadian pergaduhan yang berasingan.

Tan Hong Sheng, 23, mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan merusuh, menyertai perhimpunan haram untuk menyerang seseorang dan bersekongkol dengan orang yang membawa senjata untuk menyebabkan kecederaan.

Individu yang membawa senjata itu adalah tertuduh bersama Tan Sen Yang, yang membawa pisau karambit dan mengeluarkannya di khalayak ramai pada hari kejadian 2 Jul 2019. Tan menghadapi tuduhan membunuh Satheesh Noel Gobidass, 31 tahun.

Lima lagi tuduhan akan diambil kira dalam menjatuhkan hukuman ke atas Hong Sheng.

Pada sekitar 6.20 pagi pada hari kejadian itu, sekumpulan rakan Hong Sheng meninggalkan kelab malam tersebut lalu terlibat dalam pergaduhan dengan kumpulan kedua pengunjung kelab.

Hong Sheng ternampak Sen Yang mencederakan dua orang dengan bersenjatakan pisau karambit dan pisau melengkung kecil.

Hong Sheng tidak menyerang sesiapa pun semasa perselisihan itu dan menarik Sen Yang pergi.

Semasa Hong Sheng sedang meninggalkan Orchard Towers di pintu keluar tingkat bawah, mangsa, yakni Encik Satheesh turun menggunakan tangga bergerak dan bersemuka dengan seorang anggota kumpulan Hong Sheng.

Satu pertengkaran berlaku dan Hong Sheng melihat Sen Yang memegang pisau di tangan kanannya ketika bergerak ke arah Encik Satheesh dan mula menumbuknya, menurut dokumen mahkamah.

Hong Sheng tidak ikut serta dalam serangan ke atas Encik Satheesh dan akhirnya menarik Sen Yang pergi. Semasa Hong Sheng beredar, dia melihat Encik Satheesh berjalan beberapa langkah sebelum rebah di pintu masuk Orchard Towers.

Disebabkan takut, Hong Sheng melarikan diri dan pergi ke Pasar dan Pusat Makanan Boon Lay bersama Sen Yang dan anggota lain kumpulan itu. Semasa di sana, Hong Sheng berbincang dengan Sen Yang tentang apa yang telah berlaku kepada Encik Satheesh.

Ketika itu juga, Sen Yang memberitahu Hong Sheng dan tertuduh bersama Loo Boon Chong supaya jangan risau kerana dia akan bertanggungjawab.

Selepas kematian Encik Satheesh, tujuh orang termasuk Hong Sheng didakwa dengan tuduhan membunuh. Selain Sen Yang, dakwaan terhadap yang lain dikurangkan dan hukuman sudah dijatuhkan, dengan Pejabat Peguam Negara kemudian menjelaskan alasannya.

Hong Sheng juga mengaku bersalah atas pelibatannya dalam dua kejadian pergaduhan berasingan pada November 2018 dan April 2019.

Pihak pendakwa memohon Hong Sheng dijatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 60 bulan dan 12 kali sebatan, dengan berhujah bahawa dia pernah disabitkan atas kesalahan merusuh pada 2011 dan 2016 dan melakukan kesalahan di Orchard Towers semasa dalam tempoh diikat jamin polis.

Hakim menangguhkan hukuman ke satu tarikh kemudian untuk dipertimbangkan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita