Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes gaduh di Orchard Towers: Individu terakhir dituduh bunuh terima 10 tuduhan baru

Individu terakhir yang berdepan tuduhan membunuh dalam suatu pergaduhan di Orchard Towers lebih dua tahun lalu menerima 10 tuduhan baru hari ini (1 Okt), termasuk dua yang berkaitan dengan insiden yang membawa maut itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes gaduh di Orchard Towers: Individu terakhir dituduh bunuh terima 10 tuduhan baru
Diterbitkan : 01 Oct 2021 03:41PM Dikemas Kini : 01 Oct 2021 08:07PM

SINGAPURA: Individu terakhir yang berdepan tuduhan membunuh dalam suatu pergaduhan di Orchard Towers lebih dua tahun lalu menerima 10 tuduhan baru hari ini (1 Okt), termasuk dua yang berkaitan dengan insiden yang membawa maut itu.

Tan Sen Yang, 30 tahun, kini dituduh menyebabkan kecacatan sepanjang hayat pada wajah seorang lelaki dengan menggunakan pisau karambit pada pagi 2 Julai 2019, beberapa minit sebelum dia dipercayai membunuh Satheesh Noel Gobidass yang berusia 31 tahun.

Tuduhan baru kedua pula berkaitan dengan pergaduhan di Orchard Towers kerana menghayunkan pisau yang sama dan memotong jari telunjuk seorang lelaki di pintu masuk pusat hiburan malam Naughty Girl Club pada pagi itu.

Tan didakwa membunuh Encik Satheesh pada Julai 2019 dan pada mulanya dituduh melakukannya dengan enam orang yang lain. Namun, tuduhan bunuh yang dikenakan ke atas mereka dikurangkan kepada pelbagai kesalahan.

Tan dikenakan 10 tuduhan baru hari ini (1 Okt), termasuk: Secara sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau cara berbahaya, secara sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, secara sengaja menyebabkan kecederaan untuk menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugasnya, menyebabkan kecederaan akibat tindakan terburu-buru, intimidasi jenayah dan perbuatan nakal.

Lapan tuduhan lain yang tiada kaitan dengan pergaduhan maut di Orchard Towers kebanyakannya adalah kesalahan yang berkaitan dengan keganasan, termasuk: Serangan di St James Power Station pada Februari 2017, serangan menggunakan pisau mata lebar di Orchard Towers pada Mac 2017, kejadian menikam di kolong blok Sengkang pada Ogos 2016 dan serangan di sebuah pusat memandu pada November 2015.

Sehari sebelum kematian Encik Satheesh, Tan dipercayai menumbuk seorang pegawai penguat kuasa tempat letak kereta di Nassim Road dan menjatuhkan motosikalnya.

Pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa Tan masih mempunyai persidangan praperbicaraan yang belum selesai di Mahkamah Tinggi.

Enam tertuduh yang terlibat dalam pergaduhan maut di Orchard Towers pada 2 Julai 2019, sudah dijatuhi hukuman.

Ang Da Yuan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan enam kali sebatan rotan pada Mac 2020, sementara Joel Tan Yun Sheng dijatuhi hukuman penjara empat minggu kerana secara sengaja menyebabkan Encik Satheesh cedera dengan niat yang sama.

Chan Jia Xing diberi amaran bersyarat pada Oktober 2020 bagi tuduhan yang dikurangkan, iaitu bersekongkol dengan seseorang yang memiliki senjata serangan.

Satu-satunya wanita dalam kes itu, Natalie Siow Yu Zhen, dipenjara lima bulan pada Oktober 2020, sementara Loo Boon Chong dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan didenda $1,000 pada Januari tahun ini.

Tan Hong Sheng dijatuhi hukuman penjara empat tahun sembilan bulan dan menerima 12 sebatan rotan pada Mac, setelah mengaku bersalah atas tiga tuduhan merusuh, menjadi anggota perhimpunan yang tidak sah untuk menyerang seseorang dan bersekongkol dengan orang yang memilik senjata serangan.

Pada Oktober tahun lalu, Pejabat Peguam Negara (AGC) mengeluarkan satu kenyataan yang menjelaskan tentang pengurangan tuduhan dalam kes tersebut.

Sumber : Today/RB/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan