Skip to main content

Singapura

Kes Felicia Teo: Lelaki dipenjara kerana buang, bakar mayat

Anggaran Waktu Membaca:
Kes Felicia Teo: Lelaki dipenjara kerana buang, bakar mayat

Ahmad Danial Mohamed Rafa'ee dan Felicia Teo. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan, Blogger/findfelicia)

SINGAPURA: Lelaki yang asalnya didakwa membunuh remaja 19 tahun Felicia Teo, dijatuhi hukuman penjara 26 bulan pada Jumaat (14 Okt) bagi dakwaan lebih ringan.

Ahmad Danial Mohamed Rafa'ee, 37, dikenakan dakwaan dan dijatuhi hukuman tersebut 13 tahun selepas Cik Teo dilaporkan hilang.

Ahmad Danial mengaku bersalah atas empat dakwaan membuang mayat Cik Teo, menyalahgunakan barangan peribadinya, mereka bukti palsu dan memberi bukti palsu kepada polis.

Dua lagi dakwaan dipertimbangkan semasa dia dijatuhi hukuman.

Bagaimanapun, memandangkan Ahmad Danial sudah ditahan reman selama lebih setahun setengah, dia mungkin tidak perlu menjalani hukuman penjara tambahan selepas mengambil kira pengurangan hukuman itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu dengan rakan subahatnya, Ragil Putra Setia Sukmarahjana, yang kini berusia 32 tahun dan masih diburu polis.

Ahmad Danial dibebaskan tanpa dilepaskan bagi tuduhan membunuh pada bulan Jun tahun ini, selepas ditahan reman selama satu tahun setengah.

Para pendakwa berkata sebab utama mereka meminta pembebasan tanpa dilepaskan adalah kerana Ragil masih belum dikesan, tanpa ada bukti dia sudah meninggal dunia.

KES FELICIA TEO

Cik Teo, yang sepatutnya berusia 34 tahun pada tahun ini, ialah pelajar Koleh Seni Halus La Salle pada waktu itu.

Ragil, yang berusia 18 tahun pada masa itu, ialah rakan sekolahnya, manakala Ahmad Danial ialah seorang pereka grafik berusia 22 tahun ketika itu.

Pada 3 Jul 2007, ibu Cik Teo membuat laporan polis bahawa anak perempuannya hilang dan tidak dapat dihubungi. Kali terakhir beliau melihat anaknya adalah pada 29 Jun 2007.

Beliau berkata anak perempuannya itu kali terakhir dilihat dengan Ahmad Danial dan Ragil.

Bagaimanapun, apabila disoal, Ahamd Danial dan Ragil berbohong pada polis dengan mengatakan Cik Teo meninggalkan unit itu untuk bertemu seseorang di Taman East Coast.

Ahmad Danial juga menipu para penyiasat bahawa Cik Teo meninggalkan unit itu dalam keadaan marah selepas dia membuat komen bahawa Cik Teo memiliki banyak teman lelaki.

Bagaimanapun, apa yang benar-benar berlaku adalah ketiga-tiga mereka pulang ke flat Ragil di Marine Terrace pada awal pagi 30 Jun 2007 selepas satu pesta di La Salle.

Ketiga-tiganya kemudian mengambil dadah ecstasy di dalam flat itu. Pada kira-kira 6.00 pagi, Cik Teo meninggal dunia akibat sebab-sebab yang tidak diketahui.

Apabila mereka menyedari Cik Teo sudah meninggal dunia, mereka membuat rancangan untuk membuang mayatnya kerana tidak mahu ditangkap kerana mengambil dadah atau dipenjara.

Kedua-dua lelaki itu meletakkan mayat Cik Teo di atas tilam di flat itu dan menutupnya dengan satu lagi tilam untuk menyembunyikan mayat berkenaan.

Mereka membersihkan unit itu dan mengambil telefon bimbitnya dan meletakkannya berhampiran Taman East Coast untuk memperdaya polis.

Pada hari yang sama, mereka pergi ke kedai-kedai perkakas untuk membeli peralatan untuk membuang mayat itu. Mereka kemudian kembali ke flat itu, meletakkan mayat itu ke dalam kotak dan menutupnya dengan pita pelekat.

Mereka mengangkat mayatnya ke tingkat bawah dengan menggunakan tangga bagi mengelak kamera litar tertutup di lobi lif.

Mereka menaiki teksi ke Punggol Track 24 dengan kotak yang mengandungi mayat itu.

Di sebuah lokasi terpencil di sana, mereka menggali lubang di dalam tanah dan meletakkan kotak itu di dalamnya sebelum menuang minyak tanah dan membakarnya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita