Kes dirawat di hospital, ICU meningkat di tengah kenaikan jumlah jangkitan COVID-19: MOH
(Gambar fail: Calvin Oh/CNA)
SINGAPURA: Jumlah kes yang dirawat di hospital dan unit jagaan rapi (ICU) disebabkab COVID-19 meningkat di tengah-tengah kenaikan jumlah jangkitan.
Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (8 Dis).
Anggaran jumlah kes COVID-19 dalam minggu antara 26 November dengan 2 Disember melonjak kepada 32,035, berbanding 22,094 kes dalam minggu sebelumnya.
Purata harian kes yang dirawat di hospital juga melonjak kepada 225 daripada 136 dalam minggu sebelumnya, dan purata harian kes yang dirawat di ICU naik kepada empat berbanding hanya satu dalam minggu sebelumnya.
Menurut MOH jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dan ICU tidak setinggi semasa tempoh pandemik.
"Ini menambah beban kerja ke atas hospital-hospital kita, yang sudah sememangnya sibuk," menurut MOH, sambil menambah pihaknya sedang memantau gelombang ini untuk memastikan kapasiti jagaan kesihatan dapat menanganinya.
Walaupun jumlah kes meningkat, tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa varian yang menular dalam kalangan masyarakat itu lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit lebih teruk, tambah MOH.
MOH juga menggesa orang ramai supaya mendapatkan rawatan perubatan di jabatan-jabatan kecemasan hanya bagi kecemasan yang serius atau mengancam nyawa.
"Ini akan memastikan kapasiti hospital kita dikhususnya untuk para pesakit yang benar-benar memerlukan jagaan akut di hospital dan membolehkan mereka yang menghidap penyakit teruk menerima rawatan tepat pada masanya."
LEBIH RAMAI ORANG KELUAR NEGARA, MUSIM PERAYAAN
Menurut MOH kenaikan jumlah kes mungkin disebabkan beberapa faktor termasuk imuniti semakin menurun dalam kalangan penduduk dan lebih ramai orang yang keluar negara serta lebih banyak interaksi dalam kalangan masyarakat semasa musim melancong hujung tahun serta musim perayaan.
Kes-kes yang dijangkiti JN.1, iaitu varian dari BA.2.86, sekarang ini menyumbang kepada lebih 60 peratus kes COVID-19 di Singapura.
Meskipun BA.2.86 dan varian-varian yang datang daripadanya diklasifikasikan sebagai varian perlu diberi perhatian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak 21 November.
MOH menambah bahawa tiada tanda-tanda, baik dalam negara mahupun di dunia, bahawa BA.2.86 atau JN.1 lebih mudah dijangkiti atau menyebabkan penyakit lebih teruk berbanding varian-varian lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.