Kes dewasa SG yang asingkan diri semakin meningkat, pekerja sosial dekati mereka secara online
Sedang watak permainan video yang dikendalikan Cik Stephanie Tan menjelajahi dunia Where Winds Meet, menyelesaikan misi dan menewaskan musuh, beliau turut berhenti untuk berbual dengan pemain lain.
Pengasingan diri daripada masyarakat boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, dengan sesetengah individu dewasa keluar rumah sekali-sekala manakala yang lain jarang meninggalkan bilik mereka. (Gambar: iStock)
Namun, pekerja sosial itu bukan berada di situ semata-mata untuk bermain.
Beliau cuba mendekati golongan yang dikenali sebagai "hidden adults", iaitu individu dewasa yang mengasingkan diri daripada masyarakat untuk tempoh yang berpanjangan dan mungkin jarang meninggalkan rumah, ataupun bilik mereka.
Cik Tan membina hubungan dan membina kepercayaan dengan mereka menerusi permainan online – ruang di mana sesetengah daripada mereka berasa paling selesa.
Agensi khidmat sosial di Singapura menyatakan mereka melihat lebih banyak kes melibatkan golongan sedemikian.
Fei Yue Community Services sudah membantu sekitar 40 kes setakat ini, dua kali ganda berbanding sekitar 20 kes ketika ia mula menangani isu tersebut pada 2024.
TOUCH Community Services pula menerima sekitar 250 pertanyaan pada 2025 melibatkan individu yang mengasingkan diri daripada masyarakat, lebih dua kali ganda berbanding 2022.
Mendekati golongan tersebut bukan sesuatu yang mudah.
Ramai mengelakkan interaksi bersemuka dan lebih selesa berkomunikasi secara online.
Keadaan itu mendorong pertubuhan seperti Perkhidmatan Jangkauan Bimbingan Belia (YGOS), tempat Cik Tan bertugas, menggunakan permainan online serta platform seperti Twitch dan Discord untuk mencari dan mendekati mereka.
Apabila Cik Tan dan pasukannya mengenal pasti seseorang yang mungkin mengasingkan diri daripada masyarakat, mereka akan menghubunginya menerusi mesej langsung sebelum secara beransur-ansur membina kepercayaan.
Dalam sesetengah kes, hubungan itu akhirnya berkembang kepada perbualan suara atau pertemuan untuk makan bersama di luar rumah, namun proses tersebut boleh mengambil masa yang lama.
TIADA DEFINISI KLINIKAL
Tiada definisi klinikal bagi istilah "hidden adult", namun pakar berkata pengasingan diri daripada masyarakat secara berpanjangan antara tiga hingga enam bulan merupakan antara ciri utamanya.
Tahap pengasingan juga berbeza-beza.
Sesetengah individu masih keluar rumah sekali-sekala untuk melakukan urusan penting seperti membeli barangan dapur, manakala yang lain jarang meninggalkan bilik dan bergantung kepada anggota keluarga untuk meletakkan makanan di luar pintu.
Dalam keadaan paling serius, sesetengah daripada mereka hampir terputus sepenuhnya daripada dunia luar.
Kaunselor turut menemui individu yang menangani keadaan mereka dengan makan berlebihan, bermain permainan video atau menatal kandungan online tanpa henti selama berjam-jam.
Perunding kanan Jabatan Perubatan Psikologi Hospital Universiti Nasional (NUH) Profesor John Wong berkata ramai belia dan individu dewasa yang mengasingkan diri turut mengalami keadaan berkaitan seperti keresahan sosial dan kemurungan.
Sesetengah daripada mereka juga mungkin mempunyai ciri-ciri autisme, yang boleh menyebabkan mereka berasa lebih selesa mengasingkan diri daripada masyarakat.
Teknologi pula boleh menjadikan keadaan itu lebih rumit.
Permainan dan masyarakat online boleh menyediakan hubungan sosial yang penting, tetapi pada masa sama memudahkan seseorang untuk terus mengasingkan diri secara fizikal.
APABILA BELIA YANG MENGASINGKAN DIRI MENJADI DEWASA
Para pakar memberi amaran bahawa pengasingan diri yang berpanjangan semasa usia remaja dan awal dewasa boleh membawa kesan jangka panjang.
Prof Wong berkata usia muda merupakan tempoh penting apabila seseorang menuju ke arah kehidupan berdikari, mendapatkan pendidikan atau latihan kemahiran dan memulakan kerjaya.
Sekiranya mereka terlepas pencapaian penting dalam tempoh itu, perkembangan pendidikan, kerjaya atau kemahiran pekerjaan mereka boleh terjejas dan sukar dikejar semula kemudian.
Sesetengah golongan dewasa yang mengasingkan diri merupakan belia yang mengalami masalah sama tetapi punca asasnya tidak ditangani sehingga mereka meningkat dewasa.
Kes melibatkan golongan dewasa juga lebih sukar dikesan kerana mereka tidak lagi berada dalam sistem seperti sekolah, di mana ketidakhadiran berpanjangan atau perubahan tingkah laku lebih mudah dikenal pasti.
Puncanya juga boleh berbeza mengikut usia.
Golongan belia mungkin mengasingkan diri akibat tekanan sekolah atau konflik keluarga, manakala golongan dewasa mungkin berdepan keletihan akibat pekerjaan, perceraian, kegagalan kerjaya, trauma zaman kanak-kanak yang belum ditangani atau perasaan gagal memenuhi jangkaan masyarakat.
CAMPUR TANGAN AWAL PENTING
Para pakar berkata lelaki mungkin lebih terdedah kepada pengasingan diri, antara lain kerana mereka yang mengalami trauma mungkin kurang cenderung mendapatkan bantuan.
Tanpa campur tangan, kesannya boleh berlarutan ke lanjut usia.
Individu dewasa yang terus mengasingkan diri daripada masyarakat mungkin akhirnya menjadi warga emas yang hidup dalam pengasingan, manakala ibu bapa yang semakin berusia pula boleh menghadapi tekanan lebih besar untuk terus menjaga anak mereka yang sudah dewasa.
Pekerja sosial menegaskan bahawa keluarga tidak seharusnya menunggu sehingga seseorang mengasingkan diri selama berbulan-bulan sebelum mendapatkan nasihat.
Campur tangan awal penting kerana punca seseorang menarik diri daripada masyarakat lazimnya rumit dan melibatkan pelbagai faktor.
KELUARGA JADI PENGHUBUNG PENTING
Bagi Jake, bukan nama sebenar, pengalaman dibuli selama bertahun-tahun menyumbang kepada tindakannya mengasingkan diri daripada masyarakat.
Trauma itu menjejas pendidikan dan cita-citanya, manakala permainan video menjadi tempat untuknya melarikan diri daripada tekanan.
Namun, ibu bapanya terus memberikan sokongan, termasuk ketika beliau memutuskan untuk menyambung semula pengajian dalam lingkungan usia 30-an.
Ia menjadi titik perubahan bagi Jake, yang kini menghabiskan jauh lebih sedikit masa bermain permainan video dan lebih banyak masa belajar.
Pekerja sosial berkata keluarga boleh menjadi penghubung penting antara golongan dewasa yang mengasingkan diri dengan dunia luar.
Namun, penjaga sendiri mungkin menghadapi kesukaran untuk menentukan cara terbaik membantu mereka dan turut memerlukan sokongan.
Fei Yue mengadakan sesi sokongan bagi sekitar 15 keluarga, dengan ibu bapa mempelajari tentang pengasingan sosial serta cara berkomunikasi tanpa memberikan tekanan tambahan kepada anak mereka.
Setakat ini, tiada kajian nasional yang menentukan jumlah golongan dewasa yang mengasingkan diri daripada masyarakat di Singapura.
Ini menyebabkan agensi khidmat sosial tiada gambaran jelas mengenai skala sebenar fenomena tersebut.
Fei Yue menyatakan ketika ini tiada pembiayaan khusus bagi usaha melibatkan golongan dewasa yang mengasingkan diri serta penjaga mereka.
Agensi itu berkata pembiayaan akan membolehkannya mengambil lebih ramai pekerja sosial dan membangunkan program untuk mendekati golongan tersebut serta membantu mereka berintegrasi semula ke dalam masyarakat.
Di Jepun, fenomena itu sering dikaitkan dengan istilah hikikomori, dengan sekitar 1.4 juta orang dianggarkan hidup dalam pengasingan sosial.
Di Korea Selatan pula, sekitar 5 peratus golongan dewasa muda dianggarkan mengalami pengasingan sosial yang serius, manakala sekitar 100,000 kes direkodkan di Itali.
Pekerja sosial di Singapura menjangkakan jumlah kes yang dilaporkan akan terus meningkat seiring dengan peningkatan kesedaran.
Bagi Cik Tan, matlamatnya bukan untuk terus memujuk golongan tersebut keluar dari rumah, tetapi membina kepercayaan sehingga mereka sendiri bersedia mengambil langkah itu.
"Matlamat akhir kami adalah untuk membawa mereka keluar daripada pengasingan, menyesuaikan diri dalam masyarakat dan mendapatkan pekerjaan untuk menyara diri," katanya.
"Ia mengenai menunjukkan kepada mereka bahawa ruang yang selamat juga boleh ditemui dalam dunia fizikal."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.