Kes dera kucing Toa Payoh: Lelaki direman, didakwa dera kucing keenam
Seorang lelaki yang dituduh menyeksa beberapa ekor kucing dengan menikam atau mencampakkan salah seekor daripadanya dari tingkat 34, kini dikenakan tuduhan keenam atas perbuatan "(menyeksa) secara kejam" seekor kucing lagi.
Field Field, kucing yang maut dicampak dari tingkat 34. (Gambar: Facebook/Noreen Loh Hui Min)
Tan Yi Bin Ryan, seorang warga Singapura berusia 26 tahun, hadir semula di mahkamah pada Rabu (16 Jul) bagi sebutan kes yang melibatkan enam tuduhan di bawah Akta Haiwan dan Burung.
Menurut lembaran pertuduhan, kebanyakan perbuatan penderaan yang didakwa dilakukan itu berlaku di kawasan Toa Payoh.
Tuduhan terbaharu terhadapnya menyatakan bahawa dia menyeret seekor kucing, yang hanya dikenali sebagai E6 dalam dokumen mahkamah, dengan menarik ekornya antara pukul 1.00 petang hingga 1.10 petang pada 13 Mac lalu.
Kejadian itu berlaku di koridor bersama berhampiran sebuah unit tingkat satu di Blok 15, Lorong 7 Toa Payoh.
Tan kemudian didakwa menghentak kucing berwarna coklat cerah itu ke dinding sebanyak tiga kali dan melepaskannya ke lantai, menyebabkan pendarahan pada mulut dan hidung haiwan tersebut. Perbuatan itu digambarkan sebagai satu bentuk “penyeksaan kejam” dalam lembaran pertuduhan.
Menurut rekod mahkamah, beliau direman pada keesokan harinya.
Tan sebelum ini berdepan lima tuduhan lain. Beliau didakwa menikam seekor kucing baka "shorthair" berwarna jingga dan putih, yang dirujuk sebagai E2, dan menyebabkan luka sepanjang 5 sentimeter, antara pukul 2.00 pagi dan 4.00 pagi pada 21 September 2024.
Antara pukul 4.00 petang dan 6.00 petang pada 22 September 2024, Tan didakwa menikam tiga ekor kucing lain, termasuk seekor kucing "tabby" berwarna hitam yang dipasang mikrocip di Blok 36, Lorong 5 Toa Payoh, serta seekor kucing "shorthair" berwarna jingga dan seekor kucing berwarna putih yang juga dipasang mikrocip, masing-masing di Blok 200, Toa Payoh North.
Antara pukul 3.48 pagi dengan 3.51 pagi pada 7 Oktober 2024, Tan didakwa menendang seekor kucing berwarna jingga yang dikenali sebagai Field Field dalam sebuah lif di Blok 78, Lorong Limau, di kawasan Kallang Whampoa. Beliau kemudian didakwa memijak kepala kucing tersebut beberapa kali sebelum mencampakkannya dari tingkat 34, yang mengakibatkan kematian haiwan itu.
Pada Rabu, mahkamah membenarkan penangguhan kes itu susulan keputusan terbaru Mahkamah Tinggi.
Hakim Vincent Hoong baru-baru ini hampir menggandakan hukuman penjara ke atas pesalah pendera kucing, Barrie Lin Pengli, daripada 14 bulan kepada 27 bulan penjara, menyusuli rayuan oleh pihak pendakwaan.
Lin didapati mendera lima ekor kucing dan menyebabkan kematian dua ekor kucing.
Kes Tan akan disambung semula pada Ogos.
Jika sabit kesalahan mendera haiwan, beliau boleh dihukum penjara sehingga 18 bulan, didenda sehingga S$15,000, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pertuduhan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.