Skip to main content

Singapura

Kes dera & kebajikan haiwan di SG merosot, namun jumlahnya masih membimbangkan: SPCA

Anggaran Waktu Membaca:
Kes dera & kebajikan haiwan di SG merosot, namun jumlahnya masih membimbangkan: SPCA
Diterbitkan : 02 Feb 2026 04:32PM Dikemas Kini : 02 Feb 2026 04:33PM
SINGAPURA: Kes yang melibatkan kekejaman dan kebajikan haiwan di Singapura merosot pada 2025 daripada angka tertinggi 961 kes pada 2024.

Ini disifatkan sebagai "memberangsangkan" oleh Persatuan Mencegah Penganiayaan Haiwan (SPCA) pada Isnin (2 Feb).

Walau bagaimanapun, 608 kes yang disahkan kekal sebagai angka yang "membimbangkan", terutamanya kerana ia hanya mewakili kes yang diketahui oleh SPCA, manakala jumlah sebenar di seluruh negara mungkin lebih tinggi, menurut kumpulan kebajikan haiwan itu dalam laporannya.

Daripada 608 kes tahun lalu, 138 (22.7 peratus) melibatkan kekejaman atau penderaan haiwan, manakala baki 470 (77.3 peratus) berkaitan dengan kebajikan buruk atau pengabaian.

Kekejaman atau penderaan merujuk kepada tindakan sengaja mendatangkan kesakitan, penderitaan, atau kematian kepada haiwan, manakala kes kebajikan atau pengabaian melibatkan kegagalan memenuhi keperluan asas, yang menyebabkan keadaan hidup yang buruk dan penderitaan.

Sebanyak 1,584 ekor haiwan terlibat dalam kes kekejaman atau kebajikan pada tahun 2025, di mana majoritinya (881) adalah kucing. Ini diikuti oleh anjing (323), ikan atau kura-kura (117), burung (110) dan tikus kecil termasuk hamster, gerbil, chinchilla dan guinea pig (70). Terdapat juga 53 ekor arnab dan 30 haiwan lain yang diklasifikasikan sebagai hidupan liar dalam senarai tersebut.

KEKEJAMAN HAIWAN

SPCA mentakrifkan kekejaman haiwan termasuk pembuangan, penderaan fizikal, insiden lalu lintas jalan raya, perangkap yang tidak berperikemanusiaan, dan penggunaan kaedah latihan yang kasar.

Sebanyak 138 kes kekejaman pada tahun 2025 melibatkan 215 ekor haiwan. Pembuangan haiwan adalah bentuk kekejaman yang paling biasa dengan 58 kes, diikuti oleh penderaan fizikal sebanyak 35 kes. Seperti pada tahun 2024, kucing sekali lagi menjadi majoriti haiwan yang dibuang.

Dalam satu kes yang dipetik oleh SPCA, 13 ekor kucing ditemui di Boon Lay pada Januari 2025. Besar kemungkinan ia datang dari sumber yang sama kerana rupa fizikal yang serupa dan masa penemuannya yang hampir sama.

Menurut SPCA, anjing baka atau 'pedigree' sangat dicari semasa mereka masih anak anjing yang "comel", tetapi sering dibuang apabila sudah tua disebabkan pelbagai masalah kesihatan yang berkaitan dengan amalan pembiakan.

Pada Ogos tahun lalu, SPCA dimaklumkan tentang seekor anjing baka Silky Terrier berusia 15 tahun yang dibuang dengan bulu yang kusut di seluruh badan, serta keadaan lutut yang berkaitan secara langsung dengan pembiakan.

"Apabila orang membeli haiwan baka disebabkan rupa fizikal tanpa memikirkan keperluan kesihatan jangka panjang, ini meningkatkan peluang haiwan itu dibuang apabila ia semakin tua dan kos veterinar melambung tinggi," menurut SPCA.

Bagi haiwan kecil seperti hamster, SPCA menyatakan bahawa ia mudah dibeli dan mudah juga dibuang kerana peraturan mikrocip dan lesen tidak dikenakan ke atas mereka. Dalam satu kes, dua ekor hamster ditemui merayau bebas di Pulau Coney pada Oktober 2025.

"Haiwan kecil sangat rapuh dan tidak boleh bertahan lama sendirian. Tidak seperti kucing dan anjing komuniti yang tinggal di kawasan kejiranan kita, arnab dan hamster tidak wujud secara semula jadi dalam komuniti kita atau di alam liar," menurut SPCA.

Tambahnya, melihat haiwan sedemikian di luar rumah adalah "tanda amaran" bahawa mereka sesat atau dibuang, dan menggesa orang ramai untuk segera mendapatkan bantuan bagi meningkatkan peluang haiwan itu untuk hidup.

Bagi kes penderaan fizikal, SPCA menyatakan bahawa ia sering berlaku atas alasan atau tanggapan salah untuk mendisiplinkan dan melatih haiwan.

Satu kes sedemikian tular di berita, di mana seorang lelaki dilihat memukul anjingnya dengan tongkat jalan, menariknya dengan tali dan mengangkatnya secara paksa menggunakan kolar leher. Seorang saksi berkata penderaan itu berlaku beberapa kali seminggu selama sekurang-kurangnya tiga tahun.

Lelaki itu memberitahu inspektor SPCA bahawa beliau mempunyai masalah kesihatan fizikal yang menyebabkan beliau tidak selesa semasa membawa dua anjingnya berjalan, jadi beliau menggunakan cara memukul dan menarik untuk mengawal mereka. Kedua-dua anjing itu kemudiannya diberikan rumah baharu.

"Malangnya, kaedah hukuman masih menjadi 'jalan pintas' yang menjadi pilihan (walaupun salah) kerana ia nampaknya menghilangkan tingkah laku yang tidak diingini di permukaan. Tetapi kesan buruknya masih ada dan akan muncul dengan cara lain, mungkin melalui tingkah laku yang kurang selamat," menurut SPCA.

Ia menambah bahawa kanak-kanak berisiko mempelajari tingkah laku sedemikian apabila ibu bapa mereka mendera haiwan secara fizikal. Orang lain juga mungkin melakukan tindakan penderaan demi kandungan media sosial yang "tidak boleh diterima".

SPCA memetik satu insiden pada hujung tahun lalu melibatkan pempengaruh tempatan Eunice Ng, yang dikenali sebagai “Mermaid Girl”, selepas video yang dimuat naiknya didakwa menunjukkan beliau mendera anjingnya. Kes itu dibawa kepada Lembaga Taman Negara (NParks) dan sedang dalam siasatan.

KEBAJIKAN BURUK DAN PENGABAIAN

SPCA menyiasat 470 kes kebajikan buruk pada tahun 2025, melibatkan 1,369 ekor haiwan.

Ini termasuk keadaan hidup yang tidak memuaskan, sindrom jatuh dari tempat tinggi (haiwan peliharaan jatuh disebabkan kegagalan memasang jaring keselamatan di rumah), pengumpulan haiwan yang melampau, pengabaian keadaan perubatan, serta haiwan peliharaan yang dibiarkan tanpa pengawasan atau dibiarkan merayau bebas di luar rumah.

Keadaan hidup yang tidak memuaskan adalah yang paling biasa dengan 233 kes, diikuti oleh sindrom jatuh dari tempat tinggi sebanyak 88 kes. Haiwan peliharaan yang dibiarkan tanpa pengawasan berada di tempat ketiga dengan 41 kes.

Dalam satu kes, seekor anjing baka Malamute ditemui dikurung dalam kandang yang kotor di tempat yang menyerupai bekas rumah tumpangan haiwan. Tempat itu dipenuhi air kencing dan najis, menyebabkan anjing itu berisiko tinggi terkena penyakit. Anjing itu disita dan siasatan oleh NParks sedang dijalankan.

Bagi sindrom jatuh dari tempat tinggi, SPCA menyatakan kebanyakan kes melibatkan pemilik yang tidak memasang jaring pada tingkap mereka. Walaupun kucing adalah mangsa biasa, haiwan lain juga boleh jatuh dari tempat tinggi.

"Kes-kes sebegini semakin membimbangkan, terutamanya apabila kita mendekati tempoh dua tahun sejak kebenaran membela kucing di flat HDB diperkenalkan. Jika kesedaran keselamatan tidak seiring dengan jumlah isi rumah yang membela kucing, ini boleh membawa kesan buruk," tambah SPCA.

Ia menambah bahawa sindrom jatuh dari tempat tinggi juga menimpa kucing masyarakat, sering kali kerana penduduk yang tinggal di tingkat atas flat HDB memberi mereka makan di sana. SPCA menasihatkan agar pemberian makanan dilakukan di kawasan selamat seperti di tingkat bawah.

PERNIAGAAN HAIWAN YANG LANGGAR ATURAN

SPCA juga menyiasat 47 kes amalan salah oleh perniagaan haiwan pada 2025, termasuk pembiak baka haram, kedai haiwan, pendandan, dan pusat asuhan atau tumpangan.

Secara khusus, kes melibatkan pembiak baka haram dan kedai haiwan meningkat berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan keperluan untuk undang-undang dan penguatkuasaan yang lebih kuat.

Daripada 47 kes tersebut, 31 melibatkan pembiakan haram, manakala 11 berkaitan dengan kedai haiwan - naik daripada 29 dan tujuh kes masing-masing pada 2024.

Menteri Negara Pembangunan Negara, Alvin Tan, berkata bulan lalu bahawa kementeriannya akan mempertimbangkan untuk mewajibkan perniagaan dandanan haiwan memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai sebahagian daripada semakan Akta Haiwan dan Burung.

KEBAJIKAN HAIWAN

Dalam laporannya, SPCA menyeru pendidikan awam yang berterusan untuk mengurangkan permintaan terhadap haiwan yang dibeli, serta menuntut kebertanggungjawaban yang lebih besar daripada perniagaan haiwan berlesen dan tindakan pantas terhadap sumber tidak berlesen.

Ini termasuk cadangan untuk meningkatkan piawaian kebajikan haiwan dalam kalangan pembiak baka berlesen, mengenakan peraturan pada platform online untuk menyekat iklan jualan haiwan tanpa lesen, dan menetapkan had umur minimum 16 tahun untuk membeli haiwan.

SPCA memetik kes pasangan yang masing-masing didenda S$52,500 dan dipenjarakan selama seminggu pada November 2025 kerana membiak 30 ekor anak kucing baka Ragdoll secara haram dalam tempoh setahun. Mereka membina laman web dan akaun media sosial untuk mengiklankan penjualan kucing tersebut.

SPCA menyatakan bahawa hukuman sedemikian boleh membuka jalan kepada pencegahan yang lebih kuat dan perlindungan haiwan yang lebih baik pada masa hadapan.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita