Skip to main content

Singapura

Kes dera dalam keluarga lebih besar: Mengapa ada ibu bapa 'pilih kasih' & siapa lagi berisiko?

Anggaran Waktu Membaca:
Kes dera dalam keluarga lebih besar: Mengapa ada ibu bapa 'pilih kasih' & siapa lagi berisiko?

(Ilustrasi: Nurjannah Suhaimi/TODAY)

Diterbitkan : 31 Jul 2023 12:41AM Dikemas Kini : 31 Jul 2023 12:57AM
SINGAPURA: Kes penderaan kanak-kanak dalam keluarga lebih besar kian mendapat perhatian sejak kebelakangan ini sehingga timbul persoalan: Adakah perbuatan 'pilih kasih' sesuatu yang tidak dapat dielak ibu bapa?

Pakar-pakar yang dihubungi Mediacorp pula berpendapat anak sulung dan anak tiri lebih mudah menjadi mangsa penderaan.

Mereka menambah, sebab-sebab ibu bapa tidak bertindak adil terhadap seseorang anak itu termasuk kurangnya rasa sayang terhadap anak tersebut, jangkaan tidak realistik terhadap anak itu, ditambah dengan pelbagai faktor yang menambah tekanan ke atas ibu bapa.

Namun, pakar-pakar menarik perhatian bahawa tidak ada sebarang hasil kajian yang menunjukkan penderaan kanak-kanak lebih mudah berlaku dalam keluarga dengan tiga atau lebih anak berbanding keluarga lebih kecil dengan satu atau dua anak.

Penderaan kanak-kanak juga terjadi disebabkan lebih dari satu faktor, tambah mereka.
Perangkaan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menunjukkan bahawa jumlah siasatan ke atas kes penderaan kanak-kanak melonjak dari 383 pada 2012 kepada 2,141 pada 2021.

Kenaikan ini disaksikan bagi pelbagai jenis penderaan kanak-kanak seperti penderaan seksual, penderaan bukan seksual atau pengabaian kanak-kanak.

MSF turut menjelaskan bahawa kenaikan kes antara 2020 dengan 2021 sebahagian besarnya hasil rujukan daripada rakan-rakan masyarakatnya, seperti pusat khidmat keluarga.

Sungguhpun demikian, kementerian itu juga menyatakan bahawa tidak ada data rasmi yang menunjukkan saiz sesebuah keluarga itu memainkan peranan dalam kes-kes penderaan kanak-kanak.

IBU BAPA & ANAK SULUNG... APA MASALAHNYA?

Dalam wawancara bersama Mediacorp, para pekerja sosial dan ahli psikologi menyebut pelbagai faktor yang boleh mendorong ibu bapa 'pilih kasih'.
Related article image
Kanak-kanak kecil di sebuah taman permainan. (Gambar: Alex Liew/iStockphoto)
Dr Kit Phey Ling, seorang pensyarah kanan dari Institut Pendidikan Nasional (NIE), berkata bahawa kurangnya pengalaman dalam menjaga kanak-kanak boleh membuat ibu bapa mempunyai jangkaan tidak realistik terhadap seseorang anak itu.

Senario sebegini lebih sering berlaku dengan anak sulung dalam keluarga mahupun anak tiri kerana ibu bapa belum menyedari apa yang mereka mahukan daripada kanak-kanak tersebut tidak realistik, kata Dr Kit, yang mengkaji psikologi serta pembangunan kanak-kanak dan manusia di NIE.

Sungguhpun begitu, apabila golongan ibu bapa kian terbiasa dengan tanggungjawab masing-masing, mereka akan menyedari bahawa tingkah laku anak-anak mereka 'normal'. Ibu bapa kemudian akan menyesuaikan cara membesarkan anak dari situ, tambah beliau.

Sekalipun ini berlaku, ada yang mungkin akan terus memberi tekanan atau mendera anak sulung walaupun selepas mereka menimang cahaya mata kedua, ketiga dan sebagainya.

Ini khususnya akan terjadi jika mereka kurang faham sebab-sebab dan akibat perbuatan mereka sendiri, terang Dr Kit.

PERBUATAN 'PILIH KASIH'

Kurangnya rasa sayang terhadap seseorang anak itu, atau rasa sayang berlebihan kepada anak-anak yang lain, satu lagi sebab ibu bapa mungkin bertindak kasar terhadap seseorang anak itu berbanding adik-beradiknya, kata para pekerja sosial dan ahli psikologi.
Related article image
(Gambar hiasan: Mediacorp)
Ibu bapa boleh sahaja menjalin hubungan lebih erat dengan seorang anak berbanding yang lain atas sebab-sebab berbeza, termasuk persamaan dalam minat, wajah seiras ataupun perwatakan kanak-kanak itu sendiri.

Menggunakan perwatakan kanak-kanak sebagai contoh, Cik June Fong, seorang ahli psikologi forensik kanan di klinik Promises Healthcare berkata, sebilangan ibu bapa mungkin akan mendera si anak kalau mereka "tidak tahan" dengan kelakuan anak tersebut.

Bagi kes ibu bapa mendera anak tiri pula, para ahli psikologi berkata ia terjadi disebabkan "Cinderella effect" - satu fenomena di mana seorang kanak-kanak lebih berkemungkinan tidak dilayan dengan baik oleh ibu bapa tiri jika dibandingkan dengan ibu bapa kandung.

Kurangnya ikatan akrab sejak lahir dan rasa marah perlu menjaga seorang anak tiri seperti anak sendiri antara sebab untuk menjelaskan fenomena ini, kata pakar-pakar.

FAKTOR LAIN YANG SEBABKAN PENDERAAN

Namun, ahli psikologi dan pekerja-pekerja sosial menegaskan bahawa penderaan tidak berlaku disebabkan satu faktor sahaja.
Related article image
Gambar hiasan.
Tidak ada bukti juga untuk menunjukkan bahawa ibu bapa dengan lebih banyak anak lebih berkemungkinan melakukan penderaan, kata Dr Gerard Chung, seorang penolong profesor kerja sosial Universiti Nasional Singapura.

Walaupun kajian mendapati keluarga lebih besar sememangnya satu faktor risiko bagi penderaan kanak-kanak, ada banyak faktor utama lain yang lebih lazim, seperti sokongan sosial, masalah keluarga atau kesihatan mental ibu bapa, kata beliau.
Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita