Skip to main content

Singapura

Kes demam selesema meningkat di SG, tiada tanda jangkitan lebih teruk daripada biasa: CDA

Kes demam selesema di Singapura meningkat, dengan kadar sampel jangkitan seperti demam selesema dalam masyarakat yang diuji positif naik kepada 36.6 peratus antara 16 hingga 22 Ogos 2026.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes demam selesema meningkat di SG, tiada tanda jangkitan lebih teruk daripada biasa: CDA

Seorang doktor memberikan suntikan vaksin influenza kepada seorang pesakit di Gouzeaucourt, Perancis, pada 13 Oktober 2020. (Gambar fail: REUTERS/Pascal Rossignol)

Diterbitkan : 01 Sep 2026 04:33PM
  • Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) melaporkan peningkatan kadar jangkitan demam selesema di Singapura kepada 36.6 peratus pada Ogos 2026.
  • Kadar ini masih lebih rendah berbanding paras tertinggi pada Januari 2025, dan CDA memantau situasi tanpa tanda jangkitan lebih teruk.
  • CDA menyarankan golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak kecil dan individu berpenyakit kronik mendapatkan vaksin influenza tahunan di klinik dan farmasi terpilih.
  • Mereka yang mengalami simptom ringan dinasihatkan supaya tidak keluar rumah, mengehadkan interaksi sosial, memakai pelitup muka dan mengelak tempat sesak.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kes demam selesema di Singapura meningkat, dengan kadar sampel jangkitan seperti demam selesema dalam masyarakat yang diuji positif naik kepada 36.6 peratus antara 16 hingga 22 Ogos 2026.

Demikian menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada Selasa (1 Sep).

Kadar itu meningkat daripada 24 peratus pada minggu sebelumnya.

Namun, CDA menyatakan tiada petunjuk bahawa jangkitan ketika ini lebih teruk daripada kebiasaan dan ia sedang memantau keadaan.

Kadar positif demam selesema ketika ini juga masih lebih rendah berbanding paras tertinggi 43.9 peratus yang dicatatkan pada Januari 2025.

Menurut CDA, virus demam selesema musiman menular di Singapura sepanjang tahun.

Kadar jangkitan biasanya lebih tinggi antara Mei hingga Ogos serta antara Disember hingga Mac.

Kedua-dua tempoh itu secara umumnya bertepatan dengan musim sejuk di Hemisfera Utara dan Hemisfera Selatan.

Namun, waktu kemuncak boleh berbeza dari tahun ke tahun disebabkan faktor seperti perjalanan antarabangsa.

GOLONGAN BERISIKO DISARAN DAPATKAN VAKSIN

CDA menyarankan individu yang berisiko lebih tinggi mengalami jangkitan demam selesema yang teruk supaya mendapatkan vaksin influenza sekurang-kurangnya sekali setahun.

Mereka termasuk warga emas berusia 65 tahun dan ke atas, kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga lima tahun serta individu yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.

Vaksin influenza boleh didapatkan di klinik doktor keluarga yang menyertai Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) dan poliklinik.

Individu yang layak berusia 18 tahun dan ke atas juga boleh mendapatkan vaksin influenza di farmasi runcit yang mengambil bahagian dalam program rintis Vaksinasi Influenza Ahli Farmasi Masyarakat di bawah Kementerian Kesihatan (MOH).

Mereka yang berdaftar dengan Healthier SG pula digalakkan membuat janji temu bagi mendapatkan vaksinasi di klinik tempat mereka berdaftar.

JANGAN KELUAR RUMAH JIKA ALAMI SIMPTOM RINGAN

CDA turut menggesa mereka yang mengalami simptom jangkitan pernafasan akut yang ringan supaya tidak keluar rumah sehingga gejala mereka reda.

Mereka yang perlu keluar rumah ketika mengalami gejala dinasihatkan supaya mengehadkan interaksi sosial, memakai pelitup muka dan mengelak tempat sesak atau bertemu individu yang rentan dari segi perubatan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita