Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes curi susu tepung bayi untuk dijual semula: Beli barangan curi boleh jadi jenayah, tegas peguam

Membeli barangan curi adalah satu kesalahan jenayah, dan mereka yang membeli barangan itu tanpa mengetahui ia dicuri juga boleh didakwa. Demikian amaran yang diberikan oleh para peguam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Membeli barangan curi adalah satu kesalahan jenayah, dan mereka yang membeli barangan itu tanpa mengetahui ia dicuri juga boleh didakwa. Demikian amaran yang diberikan oleh para peguam.

Memiliki barangan yang diperolehi melalui pencurian adalah satu jenayah di bawah Seksyen 410 Kanun Keseksaan, kata peguam jenayah Ray Louis, pengarah pengurus Ray Louis Law Corporation.

Ia juga satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 411 untuk menerima sesuatu yang seseorang itu ketahui, atau mempunyai sebab untuk mempercayai ia dicuri atau diperolehi melalui penipuan atau pembohongan.

Mediacorp bertemu beberapa peguam selepas ia dilaporkan baru-baru ini bahawa rangkaian pasaraya NTUC FairPrice mengunci almari yang menyimpan bekalan susu tepung bayi di cawangannya di stesen MRT Bukit Batok bagi mengelak berlaku pencurian.

Menyusuli laporan itu, Encik Murali Pillai, Anggota Parlimen di kawasan undi berkata kebanyakan kes curi dilakukan oleh individu yang menjual semula barangan itu pada harga untuk meraih keuntungan.

Mediacorp bertanya kepada para peguam berkenaan sama ada mereka yang membeli susu tepung sedemikian akan didakwa, termasuk mereka yang tidak tahu barangan itu dicuri.

"Secara ringkasnya, jika anda mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa susu tepung itu dicuri dan anda tidak melakukan perkara yang wajar, anda boleh didakwa," kata peguam jenayah Gino Hardial Singh, pengasas Abbots Chambers LLC.

"Sama ada sesuatu menjadi sebab untuk menimbulkan rasa syak wasangka ia akhirnya adalah satu percubaan yang bergantung keada fakta. Misalnya, harga yang sangat rendah berbanding dengan harga pasaran mungkin adalah satu isyarat bahawa sesuatu itu telah dicuri."

Sebanyak 80 kes curi susu tepung bayi dicatatkan pada tahun lalu, berbanding 96 kes pada 2021 dan 73 kes pada 2020.

Polis menyatakan bahawa sekitar 39 kes itu diheret ke mahkamah.

HUKUMAN BAGI INDIVIDU JUAL BARANGAN CURI

Sesetengah wadah pasaran dalam talian mempunyai langkah untuk memeriksa identiti dan kesahihan para penjual online.

Lazada memerlukan para penjual untuk menyerahkan dokumen bagi pengesahan yang memeriksa identiti mereka dan memastikan kesahihan mereka.

Dokumen itu termasuk profil perniagaan yang sah bersama Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) atau bukti dokumen bahawa para penjualnya berasal dari sebuah syarikat sah.

Sementara itu, syarat perkhidmatan Shopee menyatakan para penjual tidak boleh menjual barangan curi, dan para pesalah yang melanggar dasar itu berulang kali mungkin berdepan pelbagai hukuman termasuk dilaporkan kepada polis.

Para pengguna Lazada dan Shopee boleh membeli susu tepung secara langsung daripada jenama dan peruncit yang terkenal.

Satu lagi pasaran dalam talian, Carousell, merupakan sebuah wadah pengguna kepada pengguna yang membolehkan para individu untuk membuat penjualan langsung kepada para pembeli.

Carian bagi 'susu tepung bayi' di Carousell menyenaraikan beberapa produk susu tepung dalam pelbagai saiz tin, jenama dan peringkat umur, dijual pada harga serendah S$8 bagi sebuah tin 1.8 kilogram hingga S$99 bagi sebuah tin 900 gram.

Menurut data yang boleh diperolehi secara terbuka dari Jabatan Statistik, purata harga susu tepung bayi pada 2022 adalah S$6.32 bagi setiap 100 gram.

Sestengah penjual memberi alasan menjual susu tepung seperti mempunyai lebihan bekalan, produk menghampiri tarikh luput, susu itu tidak sesuai dengan selera dan peringkat usia anak-anak mereka. Ada juga yang mengatakan mereka membelinya dari Malaysia.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Carousell pada Jumaat (27 Jan) menyatakan ia mengambil serius penjualan barangan terlarang di wadahnya.

"Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap para pengguna, seperti menggantung akaun mereka, jika kami mengesan dan menyiasat sebarang aktiviti mencurigakan, atau jika kami mendapat aduan mengenai mereka dari para pengguna atau daripada polis," kata seorang jurucakap Carousell.

Selain itu, Carousell menggalakkan para pengguna supaya melaporkan sebarang penyenaraian yang mencurigakan supaya para penjual ini boleh dikenakan siasatan.

"Kami amat berbesar hati kerana mempunyai sebuah masyarakat aktif yang secara proaktif mengetengahkan penyenaraian sedemikian atau para pengguna kepada kami," kata jurucakap itu.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan