Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes COVID-19 lebih tinggi kebelakangan ini 'bukan di luar jangkaan': MOH

Dengan kebanyakan penduduk sudah lengkap menjalani rejimen vaksin COVID-19, S'pura dapat elak daripada pelaksanaan semula langkah sekatan ketat sedang negara beralih ke fasa seterusnya melawan koronavirus: MTF

Anggaran Waktu Membaca:
Kes COVID-19 lebih tinggi kebelakangan ini 'bukan di luar jangkaan': MOH

(Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Diterbitkan : 03 Sep 2021 09:21PM Dikemas Kini : 03 Sep 2021 09:28PM

SINGAPURA: Orang ramai pastinya khuatir apabila jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat meningkat baru-baru ini, namun keadaan itu "bukan di luar jangkaan" memandangkan pelonggaran langkah ketat yang sebelumnya dilaksanakan di bawah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), jelas pengarah khidmat perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH) Kenneth Mak pada Jumaat (3 Sep).

Profesor Madya Mak, berkata demikian dalam sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 pada Jumaat (3 Sep). Beliau turut menarik perhatian tidak ada pertambahan ketara kes yang memerlukan jagaan intensif.

Singapura melaporkan 216 kes tempatan COVID-19 setakat tengah hari Jumaat, termasuk 109 kes tanpa kaitan dengan jangkitan sebelumnya.

Lagi 3 kes import dilaporkan, menjadikan jumlah jangkitan hari ini 219 kesemuanya iaitu jumlah harian tertinggi sejak 7 Ogos tahun lalu.

Meskipun menimbulkan kebimbangan dalam khalayak ramai, Prof Madya Mak menekankan: "Kenaikan jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat bukan di luar jangkaan."

Ini jelas beliau ekoran lebih ramai orang keluar rumah untuk tujuan kerja atau kegiatan sosial, dengan lebih banyak peluang untuk bergaul semasa tidak memakai pelitup.

Prof Madya Mak juga menjelaskan langkah ketat sebelum ini "tidak dilaksanakan dengan tujuan mengurangkan jangkitan COVID-19 semata-mata hingga (Singapura) basmi terus jangkitan dalam masyarakat".

Sebaliknya ia bertujuan untuk mengurangkan kontak rapat secukupnya agar kemunculan kes baru dapat dikekang.

Ini telah membantu memastikan permintaan bagi katil pengasingan dan unit jagaan rapi (ICU) di hospital boleh dipenuhi dengan sumber sedia ada sementara program vaksinasi nasional dijalankan.

Langkah-langkah ini "berjaya", tekan Prof Madya Mak, dengan menarik perhatian sistem jagaan kesihatan "tidak terlebih dibebani".

TIADA KENAIKAN KETARA KES ICU

Meskipun setelah lengkap menerima dua dos suntikan tidak menjamin seseorang terlindung sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19, vaksinasi mengurangkan risiko jangkitan teruk yang mungkin memerlukan jagaan ICU atau membawa maut.

Prof Madya Mak mendedahkan sepanjang 28 hari lalu, peratusan mereka tidak divaksin yang sakit teruk atau meninggal dunia adalah 9.2 peratus. Ini berbanding hanya 1.3 peratus dalam kalangan mereka yang sudah lengkap divaksinasi.

"Meskipun jumlah kes dalam masyarakat meningkat, tidak ada lonjakan ketara jumlah kes yang perlu jagaan rapi," tegas beliau sambil menambah jumlah pesakit yang dimasukkan ke ICU "tidak banyak berubah".

Kelompok baru-baru ini yang dikaitkan dengan Bugis Junction dan pusat pertukaran bas melibatkan "individu yang agak muda atau tidak mempunyai risiko mengalami keadaan lebih teruk".

Kebanyakan daripada mereka juga sudah divaksinasi, dengan "lebih 98 peratus individu yang dijangkiti sama ada tidak mengalami gejala atau hanya gejala ringan, dengan yang paling teruk adalah simptom pernafasan ringan" katanya lagi.

SIAP SIAGA BAGI KEMUNGKINAN LONJAKAN KES

Pun begitu, Singapura mesti "bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan lonjakan jumlah kes" ketika negara ini menyambung lebih banyak kegiatan dalam masyarakat.

Yang menimbulkan kebimbangan khusus, kata Prof Madya Mak, adalah kelompok jangkitan di pusat-pusat pertukaran bas.

Namun beliau beri jaminan bahawa siasatan setakat ini menunjukkan kemungkinan ia berlaku semasa pergaulan semasa waktu rehat di pusat pertukaran bas, mungkin tanpa memakai pelitup. Tambahnya siasatan awal filogenetik juga menyokong kemungkinan jangkitan dalam sekitaran kerja.

Selain menjangkiti kapten bas lain, Porf Madya Mak berkata: "Kami juga melihat sebilangan kapten bas yang terkena jangkitan membawa pulang jangkitan ke dalam isi rumah, menjangkiti anggota serumah."

Beliau menekankan setakat ini tiada bukti menunjukkan bahawa penumpang atau pengguna pengangkutan awam telah terdedah dan dijangkiti.

Lantas, kata Prof Madya Mak lagi, kelompok-kelompok masih "terhad kepada tempat kerja di pusat pertukaran bas" dan langkah-langkah yang diumumkan Penguasa Pengangkutan Awam (LTA) akan mengekang sebarang penyebaran lanjut.

BERALIH KE NEGARA YANG "BERDAYA TAHAN COVID"

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata Singapura kini berada pada "tahap yang sangat berbeza" dalam perangnya melawan COVID-19, dan akan "berusaha sebaik mungkin elakkan" daripada melaksanakan semula langkah sekatan ketat seperti "pemutus rantaian jangkitan" atau "kewaspadaan dipertingkat".

“Pada masa lalu, kami berusaha mengekang setiap kelompok, mengesan kontak hingga ke jangkitan terakhir dan berusaha membasminya. Namun dengan varian Delta yang lebih mudah berjangkit, ini sangat sukar untuk dilakukan dan kita mungkin tidak bersedia menanggung padah melakukan sedemikian dengan langkah seperti penutupan sempadan, pemutus rantaian jangkitan, kewaspadaan dipertingkat.

"Ia tidak mampu dilakukan secara mampan. Lantas, dengan kadar vaksinasi tinggi yang kita ada sekarang, kita memilih untuk hidup dengan COVID-19, beralih ke negara yang berdaya tahan terhadap COVID,” kata Encik Ong.

Sejajar dengan itu, menteri itu menambah sudah tiba masanya bagi MOH menyesuaikan laporan harian mengenai situasi COVID-19 untuk menumpukan kepada "isu utama".

Pun begitu, beliau akur orang ramai masih mahu tahu tentang maklumat lanjut mengenai kelompok-kelompok baru, dan berkata maklumat sedemikian akan disediakan "mengikut waktunya" dan dengan cara yang relevan.

Dengan Singapura mengelakkan daripada pelaksanaan semula sekatan ketat, ia mesti "bergantung kepada benteng pertahanan alternatif" seperti tanggungjawab individu, kata Encik Ong.

Ini termasuk memakai pelitup dengan betul, mematuhi langkah pengurusan selamat dan tidak menyebarkan maklumat palsu.

Encik Ong menyeru: "Fasa seterusnya perjalanan ini sangat bergantung pada keperdulian sivik dan tanggungjawab sosial setiap individu. Ayuh kita jaga diri sendiri dan orang di sekeliling kita."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan