Skip to main content

Singapura

Kes COVID-19 kelompok hospital, rumah jagaan bentuk kurang 1% daripada jumlah kes dalam masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Nov 2022 03:59PM Dikemas Kini : 07 Nov 2022 09:13PM
SINGAPURA: Kes-kes COVID-19 dari kelompok hospital dan rumah jagaan membentuk kurang 1 peratus daripada jumlah kes dalam masyarakat yang dilaporkan antara April hingga September tahun ini, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary pada Isnin (7 Nov).

Dari 1 April hingga 30 September, sekitar 330 kes COVID-19 yang dilaporkan adalah dari kelompok hospital dan kira-kira 3,000 kes dilaporkan oleh rumah jagaan. Beliau memberitahu Parlimen demikian dalam respons kepada soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Sylvia Lim (WP-Aljunied).

Cik Sylvia Lim bertanyakan tentang jumlah pesakit atau penghuni yang dijangkiti COVID-19 dari kemudahan jagaan kesihatan seperti hospital dan rumah jagaan.

Kes-kes COVID-19 ini merangkumi "sebilangan kecil" daripada jumlah keseluruhan kes dalam masyarakat yang dilaporkan, kata Dr Puthucheary.

"Sedang kami menuju ke arah hidup bersama COVID-19, kami tidak lagi mengamalkan dasar sifar-COVID di hospital-hospital dan rumah-rumah jagaan, di mana semua pesakit serta penghuni rumah jagaan perlu menjalani ujian sebelum kemasukan dan pesakit yang terjangkit perlu diasingkan di wad COVID hospital," tambah beliau.

Vaksinasi merupakan benteng perlindungan utama Singapura terhadap virus tersebut, kata Dr Puthucheary, sambil menambah bahawa walaupun ia tidak dapat menghalang sepenuhnya jangkitan daripada merebak, ia berkesan dalam mencegah penyakit teruk akibat COVID-19.

Dalam satu soalan tambahan, Cik Lim bertanya sama ada kes COVID-19 yang dilaporkan di hospital dan rumah jagaan mungkin lebih rendah berbanding sepatutnya, memandangkan sesetengah pesakit mungkin tidak bergejala.

"Jumlah tersebut mungkin lebih kurang daripada yang sepatutnya, kami tidak melakukan ujian harian ke atas setiap orang," kata Dr Puthucheary.

Beliau menambah bahawa ia tidak sesuai untuk mewajibkan setiap orang di hospital dan rumah jagaan, termasuk para pelawat, untuk melakukan ujian COVID-19. MOH, jelasnya, mengambil pendekatan berasaskan risiko untuk ujian tersebut.

Cik Lim juga mengemukakan pertanyaan jika MOH akan mengkaji sama ada penularan dalam kalangan pesakit merupakan punca jangkitan yang lebih biasa berlaku berbanding penularan dari kakitangan jagaan kesihatan ke pesakit.

Dalam responsnya, Dr Puthucheary berkata satu kajian yang terperinci perlu dijalankan untuk membuat kesimpulan penularan mana yang menimbulkan risiko lebih besar pada satu-satu masa.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita