Kes COVID-19 dikesan dalam kalangan penjual ikan di sekurang-kurangnya 11 pasar
Kes positif COVID-19 telah dikesan dalam kalangan penjual ikan yang bekerja di sekurang-kurangnya 11 pasar di merata Singapura.

(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Kes positif COVID-19 telah dikesan dalam kalangan penjual ikan yang bekerja di sekurang-kurangnya 11 pasar di merata Singapura.
Dalam kemas kini pada sebelah malam mengenai situasi koronavirus di Singapura, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan penjual ikan itu kemungkinannya dijangkiti melalui kontak dengan pegerai di Pelabuhan Perikanan Jurong.
"Kami menemui kelompok melibatkan pasar dan pusat makanan. Kelompok-kelompok ini mungkin bermula daripada penjual ikan yang telah pergi ke Pelabuhan Perikanan Jurong untuk mengambil bekalan dan menjualnya di pasar," menurut MOH.
Kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan penjual ikan di lokasi-lokasi berikut: Pusat Makanan Amoy Street, Pasar & Pusat Makanan Chong Pang, Pasar Basah Whampoa, Telok Blangah Crescent Blok 11, Pasar Taman Jurong, Pasar Redhill, Pasar Geylang Serai, Pasar Geylang Bahru, Pasar 527 Ang Mo Kio, Pasar Basah 726 West Coast dan Pasar Basah Bukit Timah.
Kebanyakan daripada kes positif itu diuji menggunakan ujian pantas antigen (ART) dan disahkan menerusi ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR), menurut MOH.
MOH sebelum ini mengumumkan bahawa penjual ikan dari semua pasar akan diuji bagi COVID-19 dan diberikan kit ujian untuk memantau diri sendiri.
Sejauh ini terhadap 19 kes berkaitan kelompok Pasar & Pusat Makanan Hong Lim dan Pelabuhan Perikanan Jurong. MOH menyatakan pada Jumaat bahawa kedua-dua premis itu akan ditutup kepada orang ramai dari 17 Julai hingga 31 Julai bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan menyeluruh.
Disebabkan oleh risiko penularan ke pasar-pasar dan pusat makanan yang lain, penjejakan kontak secara agresif, kuarantin dan ujian akan dijalankan bagi membendung penularan lanjut daripada berlaku, menurut MOH.
Penjual ikan dari semua pasar akan menerima kiriman SMS pada Ahad (18 Jul) dan mengikut undang-undang, mereka perlu menjalani ujian di pusat-pusat ujian ditetapkan dan mengasingkan diri sehingga mereka menerima keputusan negatif daripada ujian PCR yang pertama.
Mereka akan diberikan kit ujian sendiri ART dan perlu melakukan ujian ART pada hari ketujuh daripada pendedahan terakhir. Mereka juga perlu menjalani satu lagi ujian PCR di pusat-pusat ujian ditetapkan pada hari ke-14 daripada tarikh pendedahan.
Dua kes yang bekerja atau mengunjungi Pasar & Pusat Makanan Chong Boon (453A Ang Mo Kio Avenue 10) kini sedang disiasat, dengan tiga lagi kes belum lagi disahkan.
"Untuk memutuskan rantaian jangkitan dan membolehkan kerja-kerja pembersihan menyeluruh, Pasar & Pusat Makanan Chong Boon akan ditutup kepada orang ramai mulai 18 Julai hingga 1 Ogos," menurut MOH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.