Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes cacar monyet akan diberi arahan pengasingan dan dibenar pulih di rumah mulai 22 Ogos: MOH

Anggaran Waktu Membaca:
Kes cacar monyet akan diberi arahan pengasingan dan dibenar pulih di rumah mulai 22 Ogos: MOH

Gambar menunjukkan petikan bahagian paling tipis elektron-mikroskopik virus cacar monyet. (Gambar: AFP/RKI Robert Koch Institute/Freya Kaulbars)

Diterbitkan : 19 Aug 2022 11:07PM Dikemas Kini : 19 Aug 2022 11:37PM
SINGAPURA: Kes cacar monyet akan dibenarkan menjalani pemulihan di rumah mulai Isnin depan (22 Ogos) jika mereka dinilai stabil secara klinikal oleh seorang doktor dan tempat tinggal individu itu dianggap sesuai.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (19 Ogos).

Pesakit akan dapat pulih dengan selamat di tempat tinggal mereka di bawah Program Pemulihan di Rumah, tambah MOH dan mereka yang dinilai berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi akan terus dirawat di hospital.

Semua kes disahkan cacar monyet akan diberi arahan pengasingan dan dikehendaki di bawah Akta Penyakit Berjangkit untuk mengasingkan diri sehingga mereka dinilai secara perubatan sebagai tidak berjangkit.

Mereka akan dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada akhir tempoh pengasingan mereka untuk menjalani penilaian sebelum disahkan pulih.

"Jika mereka dinilai secara perubatan sudah pulih sepenuhnya, mereka boleh menamatkan tempoh pengasingan. Jika mereka belum pulih, mereka akan terus menjalani pengasingan sehingga penilaian seterusnya," kata MOH.

Buat masa ini, semua kes cacar monyet yang dinilai sebagai stabil secara klinikal di hospital awam, menjalani pemulihan dengan sokongan teleperubatan di sebuah kemudahan pengasingan bagi penyakit cacar monyet.

Tempat tinggal mereka akan dianggap sesuai oleh MOH jika ia memenuhi semua syarat berikut:

1) Pesakit boleh mengasingkan diri di dalam bilik tidur yang mempunyai bilik mandi serta ada bilik mandi tambahan untuk digunakan oleh anggota isi rumah yang lain.

2) Tidak ada anggota keluarga yang hamil, berumur di bawah 12 tahun, warga emas berumur 80 tahun ke atas, individu yang menjalani dialisis, mereka yang mempunyai tindak balas imun yang lemah atau mereka yang berisiko lebih tinggi dijangkiti seperti mereka yang memerlukan penjagaan.

3) Pesakit tidak harus ada haiwan peliharaan di rumah. Ini bagi mengelak jangkitan antara haiwan dan manusia yang mungkin boleh terjadi apabila haiwan itu dijangkiti cacar monyet daripada manusia yang terkena jangkitan dan kemudian menular ke orang lain melalui gigitan, cakar, kontak dengan kulit, kahak, darah atau cecair tubuh.

Jika tempat tinggal mereka didapati tidak sesuai, pesakit cacar monyet boleh terus menjalani pemulihan di kemudahan pengasingan, menurut MOH.

Mereka yang diletakkan di bawah program pemulihan di rumah akan menerima konsultasi teleperubatan secara kerap untuk menilai pemulihan mereka dan mungkin akan dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) untuk penilaian tambahan jika perlu.

Pesakit juga boleh menghubungi talian hotline khusus MOH jika memerlukan sebarang bantuan.

Seandainya kes cacar monyet itu mengalami kesukaran untuk bernafas, sakit dada, sakit kepala yang serius, tegang leher, perubahan pada keadaan mental seperti mood atau tingkah laku, gejala luar biasa berkaitan saraf seperti rasa kebas, lemah, perubahan dalam pertuturan atau penglihatan, pergerakan tangan atau kaki tidak normal, mereka harus segera menghubungi talian 995 dan memaklumkan kepada operator bahawa mereka pesakit cacar monyet.

"Selaras dengan peralihan kepada pemulihan di rumah, suspek kes cacar monyet yang dinilai sihat secara klinikal tidak perlu diasingkan di hospital sementara menunggu keputusan ujian mereka," kata MOH.

"Mereka boleh mengasingkan diri di rumah jika boleh. Jika mereka tidak boleh mengasingkan diri di rumah, mereka akan diasingkan di kemudahan pengasingan sementara menunggu keputusan ujian mereka.

MOH menyatakan ia akan terus memantau keadaan jangkitan cacar monyet dengan teliti dan mengendalikan langkah tindak balas mengikut keperluan.

Menurut data terkini MOH, 15 kes cacar monyet dikesan di Singapura setakat June.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan