Skip to main content

Singapura

Kes bunuh Yishun: Suspek direman bagi pemeriksaan perubatan

Seorang lelaki berusia 66 tahun yang didakwa dengan tuduhan membunuh seorang wanita selepas disyaki terlibat dalam pertelingkahan di Yishun telah diarah direman untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes bunuh Yishun: Suspek direman bagi pemeriksaan perubatan

Koh Ah Hwee digiring pegawai polis semasa dibawa ke Blok 323 Yishun Central pada 6 Oktober 2025, lokasi di mana dia membunuh seorang wanita warga Vietnam berusia 30 tahun. (Gambar fail: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 09 Oct 2025 02:30PM Dikemas Kini : 09 Oct 2025 02:31PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 66 tahun yang didakwa dengan tuduhan membunuh seorang wanita selepas disyaki terlibat dalam pertelingkahan di Yishun telah diarah direman untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Koh Ah Hwee, warga Singapura, hadir di mahkamah pada Khamis (9 Okt) melalui pautan video dari tempat remannya.

Dengan memakai baju polo berwarna merah, lelaki itu mengangguk beberapa kali sebagai respons kepada jurubahasa Hokkien dan tidak banyak bercakap.

Pendakwa raya mengusulkan dia direman di Pusat Perubatan Penjara Changi untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, sambil menyatakan bahawa dia menghadapi tuduhan di Mahkamah Tinggi.

Hakim mengeluarkan perintah itu dan menetapkan sebutan lanjut pada 30 Okt.

Koh didakwa di hospital bulan lalu kerana membunuh Cik Nguyen Phuong Tra, seorang wanita warga Vietnam berusia 30 tahun, dengan menikam dadanya menggunakan pisau.

Dia dipercayai menikamnya kira-kira pukul 7.25 pagi pada 24 Sep di koridor awam di tingkat enam Blok 323 Yishun Central.

Polis tiba di tempat kejadian dan menemui Koh, wanita itu dan seorang lagi lelaki terbaring cedera di koridor tersebut.

Koh dipercayai mencederakan pasangan itu dengan pisau selepas pergaduhan yang timbul akibat pertikaian berhubung bunyi.

Wanita itu dibawa ke hospital, di mana dia meninggal dunia.

Pada sebutan pertama kes Koh pada 2 Okt lalu, dia diperintahkan untuk direman bagi siasatan lanjut.

Selepas itu, dia dibawa semula ke tempat kejadian pada 6 Okt dengan menaiki van hitam.

Dia tidak diwakili oleh peguam.

Jika sabit kesalahan membunuh, dia boleh dikenakan hukuman mati.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita