Skip to main content

Singapura

Kes bunuh Yishun: Sesi pengantara antara jiran 'tidak dijalankan'; tertuduh tidak balas apabila diminta hadir

Anggaran Waktu Membaca:
Kes bunuh Yishun: Sesi pengantara antara jiran 'tidak dijalankan'; tertuduh tidak balas apabila diminta hadir

Pegawai polis di tingkat 6 Blok 323 Yishun Central pada 24 September 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 27 Sep 2025 03:33PM Dikemas Kini : 27 Sep 2025 03:34PM
SINGAPURA: Dalam kes pertikaian bunyi bising di flat HDB Yishun yang menyebabkan kematian seorang wanita Vietnam pada Rabu (24 Sep), pihak berkuasa menjelaskan pada Sabtu bahawa rundingan di pusat pengantaraan masyarakat antara kedua-dua jiran itu "tidak dijalankan".

“Menyusuli laporan media sebelum ini, kami ingin menjelaskan bahawa proses rundingan di Pusat Pengantaraan Masyarakat tidak dijalankan,” menurut Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Sabtu (27 Sep).

Mendiang, Cik Nguyen Phuong Tra, memohon pengantaraan pada 12 Jun, menurut kenyataan bersama antara MinLaw dengan MND.

"Bagaimanapun, pengantaraan tidak dapat diteruskan kerana Encik Koh Ah Hwee tidak membalas apabila diminta untuk menghadiri proses pengantara itu."

"Memandangkan kes itu masih dalam siasatan polis, kami tidak dapat mengulas lebih lanjut tentang butiran kes berkenaan," tambah kenyataan itu.

Lelaki berusia 66 tahun itu pada Khamis didakwa atas tuduhan membunuh.

Jika sabit kesalahan membunuh, Koh boleh dijatuhkan hukuman mati.

Kes itu ditangguhkan untuk sebutan lanjut pada 2 Oktober.

<<Koh, 66 tahun, ditahan kerana membunuh selepas seorang wanita ditikam dalam pertikaian bunyi Yishun

Lelaki rakyat Singapura itu didakwa membunuh seorang wanita Vietnam berusia 30 tahun dengan menikam dadanya menggunakan pisau.

Ini didakwa berlaku di koridor Blok 323 Yishun Central, di luar unit tingkat enam pada kira-kira 7.25 pagi Rabu.

Polis sebelum ini menyatakan pihaknya dipanggil ke tempat kejadian di blok tersebut pada pagi Rabu (24 Sep).

Apabila mereka tiba di sana, Koh, wanita itu dan seorang lagi lelaki terbaring cedera di koridor tingkat enam.

Koh didakwa mencederakan pasangan itu dengan pisau selepas pergaduhan tercetus akibat pertikaian bunyi bising.

Wanita itu dibawa ke hospital di mana beliau meninggal dunia.

PERTIKAIAN MASYARAKAT KEJIRANAN

Pendekatan pemerintah terhadap pertikaian masyarakat kejiranan adalah untuk memudahkan dialog dan komunikasi antara jiran semana boleh, menurut MinLaw dan MND, sambil menambah bahawa jumlah purata bulanan aduan bunyi bising pada separuh pertama 2025 kekal stabil pada 2,500.

Kedua-dua kementerian menggalakkan jiran yang bertikai membincangkan isu mereka secara baik.

Jika perlu, dapatkan bantuan daripada pemimpin akar umbi mereka melalui Kelab Masyarakat terdekat atau mohon pengantaraan di pusat pengantaraan masyarakat, menurut mereka.

Kira-kira 80 peratus kes pengantaraan sukarela yang dihuraikan oleh pusat pengantaraan masyarakat berjaya ditangani, jelas kementerian-kementerian berkenaan.

"Ramai jiran yang cuba proses pengantaraan dengan bantuan pengantara terlatih, dapat mencari jalan tengah selain ia membawa manfaat kepada semua pihak."

Dari Januari hingga Ogos 2025, pusat pengantaraan masyarakat itu mencatat 1,106 kes pertikaian jiran secara sukarela, dengan purata 138 kes setiap bulan, jelas pihak berkuasa.

"Daripada jumlah ini, 166 kes pertikaian jiran diketengahkan dan 129 kes (78 peratus) dihuraikan," tambah mereka.

"Walaupun ia berkesan, ramai pihak yang bertikai tidak mahu cuba pengantaraan," dedah MinLaw dan MND.

Kedua-dua kementerian itu menyatakan bahawa kurang 30 peratus daripada kes yang didaftarkan di pusat pengantaraan masyarakat meneruskan proses pengantaraan kerana salah satu pihak tidak mahu turut serta.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita