Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes bunuh Felicia Teo: Tarikh baru ditetapkan bagi suspek mengaku bersalah atas kesalahan lebih ringan

Anggaran Waktu Membaca:
Kes bunuh Felicia Teo: Tarikh baru ditetapkan bagi suspek mengaku bersalah atas kesalahan lebih ringan

Ahmad Danial Mohamed Rafa'ee (kiri) dan Cik Felicia Teo (Gambar: LinkedIn/Daniel Enemiko, Blogger/findfelicia)

SINGAPURA: Seorang lelaki yang dikaitkan dengan kes Cik Felicia Teo Wei Ling, yang dilaporkan hilang pada 2007 dan kemudian dianggap sudah meninggal dunia, akan membuat pengakuan  bersalah terhadap tuduhan yang diringankan, termasuk membuang mayatnya. 

Ahmad Danial Mohamed Rafa'ee, 37 tahun, asalnya didakwa pada Disember 2020 atas tuduhan membunuh Cik Teo, yang ketika itu berusia 19 tahun apabila beliau dilaporkan hilang. 

Dia sebelum ini dituduh membunuh Cik Teo antara pukul 1.39 pagi dengan 7.20 pagi pada 30 Jun 2007 di sebuah flat di Blok 19 Marine Terrace bersama suspek kedua Ragil Putra Setia Sukamarahjana, yang masih belum lagi dapat ditangkap. 

Namun, pada Jun 2022, Ahmad Danial dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan membunuh. 

Dia dikenakan enam tuduhan baru, semuanya serupa dengan tuduhan yang dikenakan ke atas Encik Ragil, bermakna mereka didakwa melakukan kesalahan itu bersama. 

Ia termasuk membuang mayat Cik Teo di sekitar Punggol Track 24 pada atau sekitar 30 Jun 2007, menyalahgunakan telefon bimbit, komputer Macbook Pro dan kamera milik Cik Teo, serta gagal untuk melaporkan maklumat mengenai kematian Cik Teo kepada polis. 

Kesalahan lain adalah memberi maklumat palsu kepada polis, memalsukan bukti dengan meletakkan telefon Cik Teo di Taman East Coast dan membuat panggilan ke telefon kepada Cik Teo, meninggalkan pesanan dan menghantar mesej di media sosial untuk memberi tanggapan palsu bahawa kedua-dua lelaki itu percaya mangsa masih hidup, walaupun mereka tahu dia sudah meningal dunia. 

Ahmad Danial dijadual mengaku bersalah pada Julai, namun perbicaraannya ditangguhkan bagi kedua-dua pihak  menghuraikan beberapa isu, termasuk fakta, hukuman dan catatan. 

Dia akan kembali ke mahkamah pada 14 Oktober untuk mengaku bersalah dan kini bebas dengan diikat jamin S$20,000. 

Sesiapa yang didapati bersalah membuang mayat boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda hingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Jika didapati bersalah memalsukan bukti, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau didenda. 

Hukuman menyalahgunakan harta orang mati ialah penjara sehingga tiga tahun dan denda. 

Hukuman tidak memberi maklumat kepada petugas awam seperti dikehendaki di bawah undang-undang ialah  penjara sehingga sebulan dan denda sehingga S$500. 

Sesiapa yang memberi maklumat palsu kepada  petugas awam boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$1,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan