Kes bunuh Atika Dolkifli di Toa Payoh: Perbicaraan dimulakan
Seorang lelaki 27 tahun dihadapkan di mahkamah atas dakwaan membunuh seorang pelayan restoran Pizza Hut dengan menolaknya di tangga sebelum mencampak mangsa dari tempat letak kereta di Toa Payoh. Mangsa meninggal dunia selepas jatuh dari ketinggian hampir 7 meter.
Gambar hiasan.
SINGAPURA: Seorang lelaki 27 tahun dihadapkan di mahkamah atas dakwaan membunuh seorang pelayan restoran Pizza Hut dengan menolaknya di tangga sebelum mencampak mangsa dari tempat letak kereta di Toa Payoh. Mangsa meninggal dunia selepas jatuh dari ketinggian hampir 7 meter.
Mahkamah diberitahu, Syed Maffi Hassan bergaduh dengan mangsa, Atika Dolkifli, 23 tahun, tentang telefon bimbit. Dia menjadi begitu marah lalu menolak mangsa dari tempat letak kereta berkenaan.
Kepala Atika terhentak lantai dan beliau mengalami pelbagai kecederaan berat dan keretakan tulang pada mukanya, dalam kejadian pada 31 Ogos 2015 itu.
Mayatnya yang sudah reput dijumpai tiga hari kemudian oleh seorang anggota awam yang meletak kenderaannya di lot berdekatan.
Semasa kejadian itu, Syed Maffi berusia 24 tahun dan baru sahaja dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah.
Dalam hujah pembukaannya semalam (21 Feb), pihak pendakwa mengatakan Syed Maffi sudah melakonkan semula aksi pembunuhan menggunakan patung. Dia turut menunjukkan bagaimana dia menggengam erat bahagian kolar dan seluar mangsa sebelum mencampaknya.
Atika yang mempunyai kecerdasan kurang daripada paras normal bekerja sebagai pelayan sambilan di Pizza Hut, kata para pendakwa.
Syed Maffi dan Atika bertemu melalui laman Facebook pada 2013. Bagaimanapun, mereka terputus hubungan selepas Syed Maffi menjalani hukuman di Pusat Pemulihan Dadah. Mereka kembali berhubungan selepas Syed Maffi dibebaskan pada April 2015.
Atika meminjamkan Syed Maffi telefon bimbit model iPhone 5C, yang kemudian dihantar untuk pembaikan selama dua kali. Syed Maffi membayar S$135 untuk memperbaiki telefon bimbit itu. Bagaimanapun, dia berbohong dengan Atika dan memberitahunya bahawa dia membelanjakan S$300 lalu menyuruh Atika untuk membayarnya wang tersebut.
Menurut rakan-rakan kerja Atika, mangsa sering kelihatan ketakutan di depan Syed Maffi.
Syed Maffi juga ke rumah Atika untuk meminta bayaran S$300, namun ayah Atika enggan membayarnya. Saudara lelaki Atika kemudian menyuruh Syed Maffi untuk menyimpan telefon bimbit itu sebagai ganti bayaran.
Pada 31 Ogos 2015, Syed Maffi menelefon Atika dan mengajaknya untuk bertemu. Atika bersetuju.
Kamera-kamera CCTV di Blok 146A, Lorong 2 Toa Payoh menunjukkan pasangan itu berjalan masuk ke tempat letak kereta pada 9.47 malam.
Pada 10.33 malam, Syed Maffi dilihat meninggalkan tempat letak kereta berkenaan. Dia membimbit beg tangan Atika namun mangsa tidak kelihatan.
Syed Maffi mengaku mereka mengadakan hubungan seks di tempat letak kereta sebelum ke taman di bumbung tempat letak kereta, di mana mereka mula bergaduh.
Dia mendakwa, Atika mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya dan meminta supaya iPhonenya dipulangkan.
Pihak pendakwa berkata urutan peristiwa oleh Syed Maffi tidak disokong bukti-bukti yang ditemui.
"Apa yang disokong bukti-bukti adalah pengakuan tertuduh bahawa dia menolak bahagian dada Atika dengan kuat, sehingga beliau terjatuh di tangga dan bahagian belakang kepalanya terhentak di tempat tersebut," kata Timbalan Pendakwa Raya Bhajanvir Singh dan Quek Jing Feng.
Ini menyebabkan mangsa melecet, namun kecederaannya tidak serius, kata pendakwa.
"Sebagai menunjukkan tekadnya ingin menyebabkan kecederaan serius kepada mangsa, tertuduh kemudian mengheret mangsa... dan mencampaknya dari tempat tinggi," kata mereka kepada mahkamah.
Syed Maffi kemudian menyembunyikan beg tangan Atika di longkang tertutup di Lorong 1 Toa Payoh - selepas mengambil iPhone 6 Plus milik Atika, tambah para pendakwa.
Bapa Atika membuat laporan polis pada 1 September tentang anaknya yang hilang. Polis turut mendapatkan kenyataan Syed Maffi pada 2 September yang berbohong dan berpura-pura tidak tahu tentang keberadaan Atika.
"(Syed Maffi) hanya mengaku akan tindakannya selepas dia diberitahu para pegawai bahawa mereka mempunyai rakaman CCTV yang menunjukkan dia memasuki tempat letak kereta bersama mangsa dan kemudian meninggalkan tempat itu sendirian, dengan beg tangan mangsa," kata Encik Singh.
Menurut laporan psikiatrik, Syed Maffi tidak mengalami sebarang gangguan psikiatrik atau penyakit.
Perbicaraan diteruskan hari ini (21 Feb). Syed Maffi diwakili Encik Kalidass Murugaiyan dan Rajan Supramaniam.
Jika sabit kesalahan, Syed Maffi boleh dipenjara seumur hidup atau dijatuhi hukuman mati.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.