Skip to main content

Singapura

Kes bungkusan di Al-Istiqamah: Pihak masjid tawar sokongan bagi kakitangan terjejas

Masjid Al-Istiqamah akan berbincang dengan kakitangannya berhubung insiden keselamatan yang berlaku pada Rabu malam (24 Sep) serta menawarkan sokongan kepada mereka yang terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Sep 2025 08:14PM Dikemas Kini : 25 Sep 2025 11:48PM
  • Masjid Al-Istiqamah akan berbincang dengan kakitangannya berhubung insiden keselamatan yang berlaku pada Rabu malam (24 Sep) serta menawarkan sokongan kepada mereka yang terjejas.
  • "Alhamdulillah, mereka bersyukur yang tiada sesuatu yang serius dari segi bahan ataupun bungkusan yang diterima," kata Dr Faishal.
  • Dalam pada itu, Dr Faishal turut menekankan bagaimana insiden keselamatan seperti yang dialami Masjid Al-Istiqamah boleh menjejas keharmonian.
  • Seorang kakitangan wanita yang dibawa ke hospital kerana mengalami sesak nafas ekoran insiden tersebut pula dilaporkan sedang pulih dengan baik.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Masjid Al-Istiqamah akan berbincang dengan kakitangannya berhubung insiden keselamatan yang berlaku pada Rabu malam (24 Sep) serta menawarkan sokongan kepada mereka yang terjejas.

Para jemaah juga sudah kembali untuk menunaikan solat subuh pada pagi Khamis. Mereka disertai oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim.

Sekitar 50 jemaah hadir untuk mendirikan solat subuh secara berjemaah.

"Pada pagi ini kita dapat lihat situasi di Masjid Al-Istiqamah telah berjalan lancar.

"(Selepas) selesai mengerjakan solat subuh, ramai yang datang dan saya sempat berbual dengan para jemaah.

"Alhamdulillah, mereka bersyukur yang tiada sesuatu yang serius dari segi bahan ataupun bungkusan yang diterima," kata Dr Faishal.

Seorang jemaah turut berkongsi pandangan bahawa insiden tersebut tidak meninggalkan kesan terhadapnya, selain menyatakan keyakinan terhadap pemerintah dalam melindungi masyarakat.

"Kedatangan saya pada pagi ini untuk solat subuh berjemaah tidak ada kesannya.

"Tetapi saya percaya pemerintah kita menjaga keselamatan masyarakat," kata Encik Bokhari Haji Abdul Razak.

Dalam pada itu, Dr Faishal turut menekankan bagaimana insiden keselamatan seperti yang dialami Masjid Al-Istiqamah boleh menjejas keharmonian.

Beliau juga menegaskan kepentingan agar masyarakat terus memelihara keharmonian yang sudah dibina untuk sekian lama.

"Satu aspek yang penting adalah bagaimana kita dapat melihat insiden seperti ini, kalau tidak ditangani dengan baik dan betul boleh menjejas keharmonian kita di Singapura.

"Jadi, saya harap kita menggunakan insiden ini sebagai satu detik untuk memperingati pembangunan yang telah dilakarkan oleh Singapura dan bagaimana kita harus menjaga keharmonian ini," kata Dr Faishal.

Bercakap kepada Mediacorp, Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Istiqamah Encik Firdaus Suraidi berkata kakitangan masjid sudah dilatih untuk menangani situasi sebegitu dan berasa lega bahawa langkah-langkah sewajarnya diambil apabila bungkusan yang mencurigakan itu ditemui.

Seorang kakitangan wanita yang dibawa ke hospital kerana mengalami sesak nafas ekoran insiden tersebut pula dilaporkan sedang pulih dengan baik.

Beliau juga sudah dibenarkan pulang dari hospital.

Menurut catatan di laman Instagram Dr Faishal, beliau sempat melawat wanita tersebut di hospital pada Rabu.

Dibina pada 1999, Masjid Al-Istiqamah boleh menampung sehingga 3,000 jemaah dan turut menempatkan sebuah tadika.
Sumber : BERITA Mediacorp/HD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita