Skip to main content

Singapura

Kes buli Sekolah Rendah Sengkang Green: MOE dedah garis masa insiden, ibu bapa mangsa tidak lagi mahu anak berpindah sekolah

Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (20 Ogos) mengeluarkan garis masa berhubung insiden di mana tiga murid Sekolah Rendah Sengkang Green digantung daripada sekolah kerana membuat ugutan bunuh terhadap seorang rakan kelas dan ibunya.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes buli Sekolah Rendah Sengkang Green: MOE dedah garis masa insiden, ibu bapa mangsa tidak lagi mahu anak berpindah sekolah

Tiga murid Sekolah Rendah Sengkang Green digantung daripada sekolah selepas membuat ugutan bunuh. (Gambar: Google Street View)

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (20 Ogos) mengeluarkan garis masa berhubung insiden di mana tiga murid Sekolah Rendah Sengkang Green digantung daripada sekolah kerana membuat ugutan bunuh terhadap seorang rakan kelas dan ibunya.

Ketiga-tiga murid Darjah 3 itu digantung daripada sekolah menyusuli insiden tersebut, dengan ibu kepada murid yang terjejas, Ni Yin menulis catatan di Facebook bagi memperincikan dakwaan kes buli yang menyebabkan beliau dan anak perempuannya terima ugutan tersebut.

Pada Jumaat lalu (15 Ogos), pihak sekolah menyatakan semasa ia menjalankan siasatan, pihaknya mendapati murid perempuan itu juga terlibat dalam "tingkah laku yang kurang menyenangkan".

Ibunya pula menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pembuli anaknya dan supaya anaknya boleh menukar sekolah.

Dalam satu catatan Facebook pada Rabu, MOE menyatakan pihak sekolah mengadakan pertemuan selama empat jam bersama ibu murid perempuan itu.

"Pihak sekolah menjelaskan keseluruhan urutan peristiwa kepada ibu bapa murid yang terjejas, termasuk tingkah laku menyenangkan yang turut dilakukan oleh murid tersebut.

"Kedua-dua ibu bapa bersetuju bekerjasama dengan pihak sekolah bagi membolehkan anak mereka kembali ke sekolah itu dengan adanya pelan keselamatan yang dipertingkat, tanpa permohonan lanjut untuk berpindah sekolah."

MOE menyatakan pihaknya sedia maklum terdapat perbincangan online mengenai tersebut sejak kebelakangan ini, dan ia memutuskan untuk mendedahkan fakta kes kepada orang awam disebabkan oleh betapa serius dakwaan yang dibuat.

Langkah itu juga bertujuan "menangani dakwaan yang dibuat oleh ibu kepada murid perempuan itu bahawa pihak sekolah lalai dalam mengendalikan insiden tersebut."

MOE menyatakan bagi setiap insiden yang dilaporkan, pihak sekolah mengambil tindakan terhadap murid-murid yang terlibat dengan segera, mengambil tindakan disiplin tegas, termasuk sebatan jika perlu, sementara "berusaha memulihkan persahabatan dan bantu murid-murid belajar dan berkembang".

"Murid yang terjejas itu sendiri terlibat dalam perbuatan yang menyakitkan sebelum ini, dan pihak sekolah menangani insiden itu secara adil.

"Khususnya bagi insiden melibatkan ugutan, pihak sekolah segera menggantung ketiga-tiga murid yang terlibat daripada sekolah.

"Disebabkan oleh betapa serius tindakan mereka itu, pihak sekolah akan mengenakan hukuman disiplin lanjut, termasuk rotan."

MOE turut menyatakan Sekolah Rendah Sengkang Green akan terus bekerjasama dengan ibu bapa murid berusia sembilan tahun itu.

Kementerian itu juga menambah pihaknya sudah berhubungan dengan ibu bapa murid berkenaan pada pelbagai kesempatan, dan memaklumkan tindakan yang sudah diambil serta pelan keselamatan bagi murid perempuan tersebut.

Pada 14 Ogos lalu, pihak sekolah mengaturkan pertemuan dengan ibu bapa murid yang terjejas pada 18 Ogos untuk mengemas kini tindakan yang sudah diambil serta memaklumkan langkah sokongan bagi membolehkan murid tersebut kembali ke sekolah.

“Namun, ibu bapa berkenaan menulis di media sosial pada 15 dan 16 Ogos, sebelum mesyuarat dapat dijalankan, untuk membuat dakwaan bahawa pihak sekolah tidak mengambil sebarang tindakan dan tidak menyediakan sebarang pelan keselamatan,” menurut MOE.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita