Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes bicara kes Pritam Singh: 'Jika dia bohong, dia harus minta maaf', kata Low Thia Khiang mengenai Raeesah Khan

Anggaran Waktu Membaca:
Kes bicara kes Pritam Singh: 'Jika dia bohong, dia harus minta maaf', kata Low Thia Khiang mengenai Raeesah Khan

(Gambar: CNA/Ili Nadhirah Mansor)

SINGAPURA: Mantan ketua Parti Pekerja (WP) Low Thia Khiang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan terhadap penggantinya, Pritam Singh pada Rabu (23 Okt) .

Encik Pritam dituduh berbohong di hadapan Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) tentang apa yang beliau mahu bekas anggota parlimen (AP) WP Raeesah Khan lakukan berhubung pembohongan yang dibuatnya di parlimen.

Sebelum gilirannya memberikan keterangan yang dinanti-nantikan itu, tidak banyak yang diketahui tentang penglibatan Encik Low dalam saga, yang berpunca daripada anekdot palsu Cik Raeesah pada 3 Ogos 2021.

Encik Low telah melepakan jawatannya sebagai Setiausaha Agung WP kepada Pritam pada 2018 dan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2020.

Veteran parti pembangkang berusia 68 tahun itu tiba di Mahkamah Negara pada kira-kira jam 3.00 petang.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Tan Ben Mathias untuk memperkenalkan dirinya, Encik Low memberikan nama penuhnya sebelum mengatakan beliau sudah "bersara".

Mengenai peranannya sekarang dalam WP, Encik Low berkata beliau adalah ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) WP, badan pembuat keputusan pusat parti itu.

Menurutnya, beliau menyertai WP pada 1982, mula-mula sebagai ahli biasa, kemudian ahli kader, dan CEC sebelum menjadi setiausaha penganjur.

Pada 2001, beliau mengambil alih jawatan sebagai setiausaha agung parti dan telah menjadi ahli CEC selama lebih 20 tahun.

Encik kemudian ditanya tentang pertemuannya dengan Pritam dan Cik Sylvia Lim di rumahnya pada 11 Okt.

Dalam pertemuan itu, Cik Lim berkata parti itu mahu mengadakan sidang media bagi Cik Raeesah menjelaskan pembohongannya.

Bagaimanapun, Encik Low memberitahu pemimpin parti itu bahawa Cik Raeesah sebaliknya perlu meminta maaf di Parlimen.

Pritam dan Cik Lim juga memberitahu Encik Low di mesyuarat itu bahawa mereka berhasrat untuk memecat Cik Raeesah daripada WP.

Encik Low berkata semasa pertemuan itu, beliau tidak tahu jika Pritam atau Cik Lim telah memberitahu Cik Raeesah untuk menjelaskan kebohongannya di Parlimen, jika Cik Raeesah telah diberitahu untuk memberitahu ibu bapanya dia tentang diserang secara seksual, dan jika Pritam telah pergi ke rumah Cik Raeesah pada 3 Okt untuk memberitahunya supaya menjelaskan kebohongannya di Parlimen pada hari berikutnya.

Dalam pertemuan berasingan pada 18 Okt 2021, dengan Cik Lim, juga di rumah Encik Low, Cik Lim memberitahunya bahawa Cik Raeesah telah bersetuju untuk memohon maaf di Parlimen.

Selepas melihat draf permohonan maaf Cik Raeesah, Encik Low mencadangkan: "Saya tidak mahu permohonan maaf itu (berakhir) dengan pembohongan lain."

Encik Low berkata beliau hanya tahu pada Ogos 2023 bahawa Pritam, Cik Lim dan Encik Faisal Manap tahu tentang pembohongan Cik Raeesah pada Ogos 2021, apabila disoal mengenai isu itu.

Encik Low berkata beliau menghantar mesej kepada Pritam pada 1 Nov atau 2 Nov 2021, selepas Cik Raeesah mengaku berbohong di Parlimen, untuk mencadangkan agar WP membentuk panel disiplin untuk meneliti pembohongannya.

Perbicaraan akan disambung semula pada 11.30 pagi Khamis.

Ia adalah hari terakhir bagi pusingan Oktober ini, diikuti dengan tujuh hari lagi pada bulan November.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan