Skip to main content

Singapura

Kes aniaya kucing Ang Mo Kio: Suspek kena lagi 6 tuduhan

Seorang lelaki 37 tahun yang sebelum ini didakwa mengelar seekor kucing di Ang Mo Kio dan dikaitkan dengan siri kes menganiaya kucing sejak hujung April, dikenakan lagi enam tuduhan baru pada Rabu (7 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Kes aniaya kucing Ang Mo Kio: Suspek kena lagi 6 tuduhan

Kucing-kucing yang dianiaya di Ang Mo Kio. (Gambar: Ang Mo Kio South Feeders and Caregivers)

Diterbitkan : 07 Jul 2021 10:32PM Dikemas Kini : 07 Jul 2021 10:38PM

SINGAPURA: Seorang lelaki 37 tahun yang sebelum ini didakwa mengelar seekor kucing di Ang Mo Kio dan dikaitkan dengan siri kes menganiaya kucing sejak hujung April, dikenakan lagi enam tuduhan baru pada Rabu (7 Jul).

Leow Wei Liang kini dituduh menggunakan pisau lipat untuk mengelar lagi enam kucing antara 25 April dengan 20 Mei.

Ini bermakna Leow kini menghadapi tujuh tuduhan melakukan kekejaman ke atas haiwan, khususnya menyebabkan kecederaan dan penganiayaan terhadap haiwan, di bawah Akta Haiwan dan Burung.

Dia sebelum ini dituduh mengelar seekor kucing putih bertompok kelabu bernama Miki pada pagi 2 Mei. Ia berlaku di tempat letak kereta bertingkat di Blok 352A di Ang Mo Kio Street 32.

Dalam satu kes yang mencetus kemarahan awam pula, 10 kucing ditemui cedera dengan luka dalam di Ang Mo Kio pada Mei lalu.

Apabila Leow pertama kali didakwa bulan lalu, dia enggan menunjukkan mukanya tetapi boleh didengar merintih dan menangis menerusi pautan video dari Divisyen Polis Pusat.

Dia kemudian dibawa ke Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk pemerhatian psikiatri dua minggu.

Dalam laporan perubatannya, Leow dikatakan cenderung mencederakan diri sendiri. Pendakwa juga berkata dia mengaku mengelar kucing-kucing itu dalam kenyataannya kepada polis.

Dia diberi ikat jamin S$10,000 tetapi kekal direman sejak ditahan.

ALAMI AUTISME, KECELARUAN PERSONALITI ANTISOSIAL

Pada Rabu, apabila ditanya penterjemah yang membacakan tuduhan kepadanya dalam bahasa Mandarin, Leow menjawab dengan kata-kata seperti "kucing lari lagi pantas dari manusia" dan "kucing sembunyi bawah kereta".

Dia juga berulang kali bertanya jika dirakam mengelar kucing-kucing tersebut dan tidak mahu masuk penjara atas sebab itu.

Pendakwa Lembaga Taman Negara (NParks) Packer Mohammad memberitahu mahkamah bahawa pihaknya meminta hukuman penjara 12 hingga 16 minggu.

Beliau kemudian memberitahu Hakim Daerah Lorraine Ho bahawa hasil perundingannya dengan Pejabat Peguam Negara (AGC) menunjukkan Leow tidak layak dikenakan Arahan Rawatan Mandatori (MTO).

Menurut ahli psikiati IMH Leow didiagnosis dengan autisme dan kecelaruan personaliti antisosial tetapi Encik Parker berkata tindak laku kejam Leow "bukan disebabkan sebarang kesukaran memahami kesan tindakannya".

Di bawah Arahan Rawatan Mandatori, pesalah yang didapati mengalami masalah psikiatri yang boleh dirawat akan diarahkan menjalani MTO sebagai ganti hukuman penjara.

Leow akan kembali ke mahkamah untuk sidang sebelum perbicaraan pada 27 Julai.

Jika sabit kesalahan melakukan kekejaman terhadap haiwan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehinga satu setengah tahun atau didenda sehingga S$15,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita