Skip to main content

Singapura

Kes AHTC: Majlis-majlis bandaran diarah bayar kos dan ganti rugi S$388,800 kepada para pemimpin WP dan pihak lain

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua majlis bandaran yang menyaman tiga pemimpin Parti Pekerja (WP) dan anggota majlis bandaran kerana didakwa menyalahgunakan dana awam, diarah membayar kos dan ganti rugi berjumlah kira-kira S$388,800 secara keseluruhannya, bagi rayuan terhadap kes itu.
Daripada S$388,800, Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) harus membayar S$176,241.11 yang terdiri daripada kos dan ganti rugi kepada anggota majlis bandaran, kakitangan dan FM Solutions and Services (FMSS) bagi dua rayuan.

Majlis Bandaran Sengkang (SKTC) harus membayar S$212,543.52 bagi kos dan ganti rugi kepada para anggota majlis bandaran, kakitangan dan FMSS untuk tiga rayuan.

Dalam penghakiman 38 muka surat yang dikeluarkan pada Rabu (29 Nov), Mahkamah Rayuan menjelaskan mengapa kedua-dua majlis tersebut harus membayar kos.

Kos biasanya diberikan kepada pihak yang menang, dan dalam kes tersebut, para anggota majlis bandaran dan kakitangannya berjaya dalam rayuan mereka, dan membatalkan beberapa penemuan hakim pada sesi perbicaraan, dedah Mahkamah Agung.

Antara AHTC dengan SKTC, SKTC lebih berjaya dalam rayuannya tambah panel lima hakim yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon, Hakim Judith Prakash, Hakim Tay Yong Kwang, Hakim Bahagian Rayuan Woo Bih Li dan Hakim Kanan Andrew Phang.

Menurut penghakiman mereka, panel hakim tersebut berkata bahawa pihak yang berjaya dalam litigasi berhak mendapatkan semula kos litigasi daripada pihak yang tidak berjaya.

Mahkamah menolak hujah AHTC bahawa ia harus dilihat sebagai pihak yang berjaya dalam rayuan tersebut dan berhak menerima kos.

Menurut mahkamah, kebanyakan isu dalam rayuan tersebut tidak memihak kepada AHTC.

Perintah membayar kos itu berlaku kira-kira empat bulan selepas Mahkamah Rayuan memberikan keputusannya mengenai liabiliti pihak-pihak berkenaan berhubung pengendalian dana majlis bandaran.

Kos bagi perbicaraan sebenar belum ditetapkan dan akan diputuskan selepas kos ganti rugi dinilai.

Ketiga-tiga pemimpin WP masih bertanggungjawab kepada SKTC atas kecuaian mereka membenarkan isu pengawalan untuk berterusan dalam sistem pembayarannya.

Selain itu, Cik Sylvia Lim dan Encik Low Thia Khiang bertanggungjawab kepada AHTC atas isu pembayaran yang sama.

Cik Lim juga bertanggungjawab bagi isu ketiga, iaitu kecuaian kepada SKTC kerana memberikan kontrak kepada vendor yang meminta bayaran lebih mahal.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita