Skip to main content

Singapura

Kerusi roda berautonomi diperkenalkan di Terminal 2, 3 Lapangan Terbang Changi

Lapangan Terbang Changi memperkenalkan kerusi roda berautonomi di kawasan transit Terminal 2 dan 3 bagi membantu para penumpang yang kurang berupaya bergerak antara pintu pelepasan dengan lebih berdikari.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerusi roda berautonomi diperkenalkan di Terminal 2, 3 Lapangan Terbang Changi

Sebuah kerusi roda autonomi di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 4 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)

Diterbitkan : 04 Aug 2026 07:58PM
  • Lapangan Terbang Changi dan SATS memperkenalkan kerusi roda berautonomi di Terminal 2 dan 3 untuk penumpang transit kurang berupaya.
  • Perkhidmatan ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada kakitangan dan melengkapi kemudahan sedia ada seperti buggy dan kerusi roda manual.
  • Permintaan bantuan kerusi roda meningkat 20 peratus antara 2023 hingga 2025, dengan empat daripada lima permintaan melibatkan penumpang transit.
  • Lebih 13,000 penumpang telah menyertai ujian operasi, dan jumlah kerusi roda mungkin ditambah berdasarkan keperluan masa depan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi memperkenalkan kerusi roda berautonomi di kawasan transit Terminal 2 dan 3 bagi membantu para penumpang yang kurang berupaya bergerak antara pintu pelepasan dengan lebih berdikari.

Dalam fasa pertama, sembilan kerusi roda berautonomi ditempatkan di kawasan transit setiap terminal, menurut Lapangan Terbang Changi dan syarikat pengendalian darat SATS pada Selasa (4 Ogos).

Namun, kerusi roda tersebut belum boleh bergerak antara terminal.

Khidmat itu bertujuan mengurangkan kebergantungan penumpang transit kepada bantuan seorang kakitangan bagi setiap penumpang.

Ia melengkapi khidmat sedia ada seperti kenderaan buggy, e-caddy dan kerusi roda manual, sekali gus membolehkan kakitangan darat memberikan lebih banyak tumpuan kepada penumpang yang memerlukan tahap penjagaan dan bantuan lebih tinggi.

Buat masa ini, kerusi roda berautonomi hanya disediakan kepada para penumpang transit syarikat penerbangan yang dikendalikan SATS.

Khidmat tersebut sesuai bagi penumpang yang mempunyai tempoh transit melebihi 90 minit dan memerlukan bantuan kerusi roda tetapi masih mampu berjalan dalam jarak dekat.
Related article image
Seorang petugas media mencuba kerusi roda autonomi di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 4 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
PERMINTAAN BANTUAN KERUSI RODA MENINGKAT

Syarikat penerbangan di Changi menerima sekitar 2,300 permintaan bantuan kerusi roda setiap hari, dengan empat daripada lima permintaan melibatkan para penumpang transit.

Jumlah permintaan meningkat 20 peratus antara 2023 hingga 2025 dan dijangka terus bertambah sedang penduduk Singapura semakin menua dan perjalanan udara meningkat.

Kerusi roda berautonomi itu boleh membawa penumpang dengan berat sehingga 136 kilogram dan bergerak pada kelajuan maksimum 3.5 kilometer sejam.

Ia bergerak mengikut laluan yang sudah ditetapkan dalam kawasan transit pelepasan, dengan setiap perjalanan dipantau penyelia pengendalian darat SATS dari sebuah pusat kawalan.

Sensor pada kerusi roda mengesan halangan dan pergerakan pejalan kaki. Ia akan berhenti secara automatik jika laluannya terhalang.

Ciri keselamatan lain termasuk pemantauan tali pinggang keledar, butang berhenti kecemasan dan fungsi untuk meminta bantuan.

Ruang di bahagian belakang pula boleh membawa bagasi kabin seberat sehingga 10 kilogram.
Related article image
Panel kawalan pada kerusi roda autonomi membolehkan penumpang menghentikan perjalanan atau meminta bantuan kakitangan. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
Related article image
Ruang bagasi pada kerusi roda autonomi boleh membawa bagasi kabin seberat sehingga 10 kilogram. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
LEBIH 13,000 PENUMPANG SERTAI UJIAN

Pelaksanaan itu menyusuli ujian operasi melibatkan 10 kerusi roda berautonomi dari Mac 2025 hingga Jun tahun ini.

Lebih 13,000 penumpang menyertai ujian tersebut di Terminal 2 dan 3, termasuk bagi perjalanan antara pintu pelepasan dengan kawasan menunggu serta pemindahan dari satu pintu pelepasan ke pintu lain.

SATS menyatakan 18 kerusi roda berautonomi mencukupi buat masa ini, namun jumlah tersebut mungkin ditambah berdasarkan pengalaman daripada pelaksanaan awal.
Sumber : CNA/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita