Kerusi roda baru, bantuan mencurah-curah bagi penghantar GrabFood Roszana Ali jelang Lebaran
Kerusi rodanya bukan setakat sebuah alat mobiliti sahaja, malah alat yang sama itu juga merupakan satu sumber untuk mencari rezeki dan menyara kehidupannya.

Terharu dengan kisah Roszana Ali yang mengalami palsi serebrum, orang ramai mengumpul dana untuk menghadiahkannya sebuah kerusi roda baru.
SINGAPURA: Kerusi rodanya bukan setakat sebuah alat mobiliti sahaja, malah alat yang sama itu juga merupakan satu sumber untuk mencari rezeki dan menyara kehidupannya.
Kerusi roda tersebut juga 'kenderaan' yang dinaiki oleh wanita berusia 26 tahun ini untuk melakukan pekerjaannya yang pertama, dalam usahanya untuk menjalani kehidupan yang lebih berdikari.

Setelah mendapat tahu bahawa kerusi roda milik penghantar makanan GrabFood, Roszana Ali yang mengalami palsi serebrum, tidak lagi sesuai digunakan, para pembaca CNA Insider mengumpul dana untuk membeli sebuah kerusi roda elektrik yang baru.
Mereka berjaya mengumpul sekitar S$2,100 dalam masa kurang sehari dan kerusi roda itu dihadiahkan kepada Cik Roszana tiga hari kemudian.

Ramai orang yang rasa terharu dengan kisah Cik Roszana, yang diterbitkan pada Khamis (2 Mei), tampil menghulurkan bantuan dan sokongan kepadanya. Sesetengah daripada mereka turut menghubungi Mediacorp untuk menanyakan bagaimana mereka dapat membantu gadis itu.
Sebelum ini, Cik Roszana pernah mencuba namun gagal mencari kerja sehingga menyebabkannya berputus asa. Namun, berkat usahanya, beliau kini berasa puas meraih pendapatannya sendiri sebagai seorang penghantar makanan.

Bapanya, Ali Osman, memberitahu Mediacorp bahawa kerusi roda yang biasanya digunakan oleh Cik Roszana tidak lagi dalam keadaan baik, menyebabkannya mengalami kesulitan untuk menghantar makanan. Lebih membimbangkan, keadaan kerusi rodanya juga boleh menimbulkan bahaya.
Berita yang dimuat naik oleh CNA Insider ke laman Facebooknya itu mendorong Encik Muhammad Bukhary untuk bertindak. Selepas menghantar kiriman teks kepada lebih 30 orang, beliau berjaya mengumpul dana untuk membeli kerusi roda baru.

"Meskipun beliau berdepan dengan pelbagai cabaran, namun beliau tetap bekerja dan berupaya membantu keluarganya dengan kerja rumah. Saya, sebagai seorang yang cukup sifat, berasa tersentuh dengan tekadnya itu," kata Encik Bukhary, 31 tahun.
Nadiyah Kamsani, 41 tahun, juga mengongsi sentimen yang sama. Beliau bertemu dengan Cik Roszana baru-baru ini dan menghadiahkannya wang tunai sekitar S$2,300 dengan harapan ia dapat membantu keluarganya bagi persiapan Hari Raya yang bakal menjelang.

"Meskipun beliau mengalami ketidakupayaan ini, namun beliau tetap bertekad untuk mencari nafkah untuk keluarganya," katanya. "Beliau seorang gadis yang sangat bijak. Saya berasa terharu dengan sikapnya yang tidak sekali-kali memberikan alasan meskipun kurang berupaya."
RASA TERHARU, TETAP POSITIF
Cik Roszana mengakui bahawa beliau amat terkejut dan rasa terharu dengan perhatian yang diterimanya sejauh ini.
"Apabila saya menghantar makanan, saya setakat hanya melakukan tugas saya sahaja," katanya. "Tetapi saya berfikiran positif dan saya mahu dunia tahu betapa susahnya untuk orang yang kurang upaya mencari pekerjaan."

Cik Roszana berbesar hati dengan sokongan yang diterimanya daripada para pembaca dan penonton. Beliau juga berterima kasih atas sumbangan kerusi roda baru itu kerana ia "amat berbeza" dengan kerusi roda lamanya, yang sudah digunakan selama sembilan tahun.
"Kerusi roda ini lebih pantas dan tempat duduknya juga lebih mantap," jelasnya.
SUMBANG SEMULA KEPADA GOLONGAN KURANG UPAYA
Sementara itu, Cik Roszana juga prihatin terdapat ramai lagi individu kurang upaya yang mungkin memerlukan bantuan. Itulah yang bapanya, Encik Ali, harap anaknya itu akan sentiasa ingat.
Malah, Cik Roszana pernah menderma sebahagian daripada wang yang diterimanya kepada saudara maranya yang memerlukan bantuan kewangan tetapi, menurut Encik Ali, ia bukanlah sesuatu yang ingin diheboh-hebohkan oleh Cik Roszana.

Syarikat Grab sebelum ini merancang untuk mengadakan pungutan dana bagi membelikan sebuah kerusi roda baru untuk Cik Roszana.

Disebabkan beliau baru sahaja menerima sebuah kerusi roda, syarikat itu kini merancang untuk menghadiahkan baucar GrabFood bernilai S$1,500 kepada Persatuan Golongan Kurang Upaya Muslim Singapura, sebuah pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan yang dipilih sendiri oleh Cik Roszana.
"Kami berbesar hati beliau memilih untuk menghulurkan bantuan kepada orang lain dan kami berbangga dapat membantu beliau berbuat demikian," kata Ketua GrabFood Singapore, Lim Kell Jay.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.