Kerusi NCMP disandang Andre Low dan Eileen Chong dari WP
Encik Andre Low dan Cik Eileen Chong daripada Parti Pekerja (WP) akan menyandang dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) bagi Parlimen ke-15 Singapura.
Encik Low bertanding di SMC Jalan Kayu manakala Cik Chong adalah sebahagian daripada pasukan lima anggota WP di GRC Tampines. Kedua-dua kawasan undi itu menyaksikan peratusan undi tertinggi dalam kalangan calon yang kalah semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Dalam kenyataan media pada Isnin (19 Mei), Jabatan Pilihan Raya (ELD) menyatakan bahawa Pegawai Pengurus Pilihan Raya telah menulis surat kepada kumpulan calon dari WP yang bertanding di GRC Tampines pada 9 Mei 2025 dan meminta kumpulan itu menentukan sesama sendiri calon yang akan diisytiharkan sebagai NCMP.
Kumpulan itu memaklumkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya pada Ahad mengenai keputusan mereka untuk mencalonkan Cik Eileen Chong Pei Shan sebagai calon yang akan diisytiharkan sebagai NCMP.
Kerusi NCMP biasanya ditawarkan kepada calon pembangkang yang kalah tetapi mencatatkan prestasi terbaik jika bilangan calon pembangkang yang dipilih kurang daripada jumlah yang ditetapkan.
Pindaan pada skim NCMP pada 2016 meningkatkan jumlah minimum Anggota Parlimen pembangkang dalam Parlimen daripada sembilan kepada 12. Pindaan itu juga memberikan NCMP hak mengundi yang sama seperti Anggota Parlimen yang dipilih.
Dengan kejayaan WP mempertahankan 10 kerusi Parlimen - iaitu GRC Aljunied seramai lima anggota, GRC Sengkang empat anggota dan SMC Hougang - dua kerusi tersedia untuk NCMP.
Salah satu daripadanya diberikan kepada Encik Low, pendatang baharu WP berusia 34 tahun yang tewas kepada ketua buruh Ng Chee Meng, 56 tahun, setelah memperoleh 48.53 peratus undi.
Pasukan WP di GRC Tampines memperoleh 47.37 peratus, tewas dalam pertarungan empat penjuru kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Pasukan itu diketuai oleh Naib Pengerusi WP Faisal Manap, 49 tahun, dan terdiri daripada empat muka baharu – Encik Jimmy Tan, 53 tahun, Dr Ong Lue Ping, 48 tahun, Cik Eileen Chong, 33 tahun, dan Encik Michael Thng, 37 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.