Kertas undi, dokumen GE2020 dimusnahkan pada 16 Jan
Kertas undi dan dokumen-dokumen lain yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum 2020 akan dimusnahkan pada 16 Januari.
Pengundi dalam GE2020. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)
SINGAPURA: Kertas undi dan dokumen-dokumen lain yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum 2020 akan dimusnahkan pada 16 Januari.
Demikian menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) hari ini (11 Jan).
Proses itu selaras dengan undang-undang bagi "memastikan kerahsiaan undi", menurut ELD dalam satu kenyataan media.
Dokumen-dokumen yang digunakan dalam pilihan raya 10 Julai lalu akan dimusnahkan melalui pembakaran di Loji Pembakaran Tuas South pada Sabtu.
Ia akan dihantar ke loji itu dari Mahkamah Tinggi, di mana ia disimpan sejak enam bulan lalu.
Langkah-langkah pengurusan selamat juga dilaksanakan semasa prosiding tersebut di kedua-dua lokasi, menurut ELD.
Ini termasuk mengehadkan jumlah wakil dari parti-parti politik yang dibenarkan hadir menyaksikan proses tersebut.
"ELD sudah memaklumkan kepada parti-parti politik supaya mencalonkan wakil mereka," menurut jabatan itu lagi.
Seperti yang dinyatakan oleh ELD sebelum ini, salinan senarai pengundi bagi daerah undi PN23 GRC Pasir Ris-Punggol secara tidak sengaja disimpan rapat dalam sebuah kotak yang mengandungi kertas-kertas undi.
Atas perintah Presiden Halimah Yacob, kotak itu akan dibuka di Mahkamah Tinggi. Senarai tersebut akan diambil bagi tujuan menyediakan senarai pengundi PN23 yang tidak mengundi dalam pilihan raya baru-baru ini, menurut ELD.
"Selepas itu, kotak tersebut akan ditutup rapat dan dihantar untuk dimusnahkan bersama-sama kotak-kotak yang lain," tambah ELD.
Di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen, kertas undi dalam kotak terkedap mesti disimpan dengan selamat selama enam bulan sejak pilihan raya berlangsung dan hanya boleh dibuka dalam tempoh tersebut bagi tujuan "pendakwaan atau pendaftaraan untuk tidak mengesahkan pilihan raya".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.