Skip to main content

Singapura

Kertas Putih Tindak Balas COVID-19: SG lindungi kehidupan rakyat dengan baik

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemerintah sedang menyusun rancangan untuk menangani krisis pada masa depan dengan cara yang lebih tersusun.

Sejajar dengan itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerbitkan Kertas Putih mengenai tindak balas Singapura terhadap pandemik COVID-19.

Ia termasuk pengajaran-pengajaran yang ditimba tentang cara membina daya tahan ekonomi dan negara serta juga keupayaan khidmat jagaan kesihatan.

Laporan setebal hampir 90 muka surat itu juga meneliti langkah-langkah yang dilakukan dengan betul serta apa yang sepatutnya dilakukan dengan lebih baik dalam tempoh tiga tahun itu.

Salah satu dapatan utamanya adalah perlunya mengukuhkan keupayaan bagi menghadapi pelbagai kemungkinan.

Dalam hal itu, Pemerintah akan menambah lagi pelbagai senario dalam membuat perancangan menghadapi pandemik.

Pemerintah juga akan menyemak sumber-sumber yang diperlukan agar dapat menangani krisis dengan baik.

APA YANG DILAKUKAN DENGAN BAIK

Kertas Putih itu menunjukkan bahawa kadar kematian di Singapura adalah kurang 0.1 peratus, berbanding 1 peratus di peringkat global.

Kadar vaksinasi di Singapura juga antara yang tertinggi di dunia.

Semakan itu dilakukan oleh mantan Ketua Perkhidmatan Awam Peter Ho, berdasarkan temu bual dengan Menteri dan kakitangan awam.

Ia juga termasuk dapatan oleh pelbagai agensi Pemerintah dan perspektif daripada penduduk dan sektor swasta.

Kertas Putih itu akan dibahaskan pada sidang Parlimen seterusnya pada 20 Mac. Audit terhadap S$72.3 bilion yang dibelanjakan Pemerintah untuk melawan COVID-19 sedang dijalankan secara berasingan oleh Pejabat Ketua Audit Negara.

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata perlu ada beberapa pegawai yang khusus memikirkan dengan serius tentang senario-senario yang mungkin berlaku agar perancangan bagi keupayaan menanganinya dengan lebih baik boleh dilakukan.

COVID-19 menguji tindak balas dan daya bingkas kepimpinan, Pemerintah dan rakyat.

Dalam Pertahanan Mutlak, setiap rakyat Singapura memainkan peranan, secara individu dan kumpulan untuk membina Singapura yang kukuh dan selamat.

Ini diuji dengan ancaman pandemik di mana negara ini berdepan dengan krisis dan semua orang memainkan peranan untuk menyesuaikan diri dengan bertindak balas seperti diperlukan.

Kertas Putih menunjukkan prestasi baik negara dalam lapan bidang utama termasuk mengekalkan daya tahan sistem penjagaan kesihatan negara, memulakan program vaksinasi nasional, memastikan sempadan kekal terbuka dan daya tahan rantaian bekalan serta memberi sokongan kepada rakyat dan perniagaanselain sokongan kepada kumpulan yang lebih mudah terjejas, memastikan pelajar terus menghadiri kelas, mengekalkan kepercayaan dan perpaduan tinggi dan bersatu sebagai sebuah negara.

PROGRAM VAKSINASI NASIONAL

Di bawah Program Vaksinasi Nasional, pemerintah menubuhkan pusat vaksinasi dan memastikan penduduk beri suntikan vaksin dengan cepat.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa juga memastikan vaksin COVID-19 tersedia bagi semua.

Misalnya, pasukan vaksin bergerak ditubuhkan bagi memastikan warga emas yang uzur dan golongan kurang upaya boleh mendapatkan suntikan vaksin.

Usaha-usaha tersebut membolehkan Singapura menjadi salah satu negara dengan kadar vaksinasi tertinggi di dunia.

Ini mengurangkan bilangan penyakit yang teruk dan kematian dalam kalangan penduduk.

KEKALKAN DAYA TAHAN SISTEM PENJAGAAN KESIHATAN NEGARA

Menurut Kertas Putih itu sistem penjagaan kesihatan negara kekal berdaya tahan.

Semasa pelaksanaan langkah-langkah pemutus rantaian, Kementerian Kesihatan (MOH) cepat bertindak untuk meningkatkan tahap kemudahan penjagaan kesihatan yang berbeza-beza untuk
membantu pesakit COVID-19.

Ini termasuk mengerahkan pasukan perubatan daripada kelompok hospital dan penjagaan kesihatan swasta ke dormitori pekerja hijrahan.

Dalam tempoh setahun pada 2020, MOH juga meningkatkan kapasiti dan keupayaan ujian daripada kira-kira 100 ujian PCR sehari di 10 makmal hospital sektor awam, kepada kira-kira 60,000 ujian PCR sehari.

Kerja berpasukan merentas sektor awam, swasta dan orang ramai membantu sistem penjagaan kesihatan daripada menjadi tertekan, kata kajian itu.

SOKONGAN BAGI PERNIAGAAN DAN PEKERJA

Ekonomi Singapura menguncup sebanyak 3.9 peratus pada 2020 tetapi melantun semula kepada 8.9 peratus pertumbuhan pada 2021, menurut angka yang disemak, dengan Kertas Putih mengetengahkan sokongan Pemerintah untuk pekerja dan perniagaan.

Skim Sokongan Pekerjaan, yang membantu majikan membayar sebahagian daripada gaji pekerja, dianggarkan telah menyelamatkan 165,000 pekerjaan pada bulan-bulan awal pandemik dan mengurangkan kadar pengangguran penduduk pada 2020 dan 2021.

Pemerintah juga menyediakan beberapa pakej bantuan seperti pinjaman, rebat sewa dan penangguhan pembayaran balik pinjaman.

Bantuan yang diberikan kepada perniagaan membantu mereka kekal bertahan.

PEMBELAJARAN DI RUMAH, SOKONG GOLONGAN LEMAH

Pembelajaran di rumah (HBL)semasa pandemik membantu mempercepatkan perubahan dalam teknologi pendidikan, menurut semakan itu. Ia termasuk melengkapkan pelajar sekolah menengah dengan peranti digital peribadi, yang biasanya mengambil masa bertahun-tahun.

Singapura berjaya memastikan kesinambungan pendidikan sepanjang tempoh pandemik.

Kertas Putih itu juga meneliti langkah-langkah yang diambil untuk memastikan kesinambungan pendidikan sepanjang pandemik, termasuk sumber tambahan untuk membolehkan guru kerap berhubungan dengan pelajar serta menyokong ibu bapa.

Pandemik itu juga menyebabkan tekanan emosi, psikologi dan kewangan bagi kebanyakan orang, dengan individu yang terdedah, termasuk warga emas, menjadi kebimbangan terbesar.

Kertas Putih itu membentangkan sokongan Pemerintah untuk golongan yang mudah terdedah melalui skim bantuan sementara, agensi perkhidmatan sosial menangani peningkatan keperluan di lapangan, langkah perlindungan dipertingkat di rumah penjagaan dan rawatan warga tua dan langkah untuk menangani keperluan kesihatan mental.

MENGEKALKAN KOMUNIKASI DAN KEPERCAYAAN AWAM

Sepanjang pandemik, masyarakat menyokong satu sama lain termasuk membantu golongan yang lebih terdedah, warga emas, dan pekerja hijrahan.

Institusi-institusi agama turut membuat penyesuaian dalam memenuhi keperluan pengikut dan penganut agama masing-masing.

“Sememangnya, kunci kepada kami mengendalikan krisis adalah kepercayaan rakyat – kepercayaan bahawa Pemerintah adalah cekap dan akan membuat keputusan yang tepat dengan kepentingan terbaik bagi Singapura dan rakyat Singapura; percaya bahawa Pemerintah berada pada tahap yang sama dengan penduduk; percaya bahawa jika terdapat kekurangan atau keputusan yang salah, kami akan mengakui dan membetulkannya; percaya bahawa setiap daripada kita akan bertindak secara bertanggungjawab dan melakukan apa yang kita mampu untuk memastikan orang lain selamat; dan percaya dalam masyarakat bahawa kita saling menyokong,” kata Kertas Putih.

PASTIKAN DAYA TAHAN RANTAIAN BEKALAN

Pemerintah mengekalkan ketersambungan Singapura kepada dunia, iaitu penting untuk daya tahan rantaian bekalan, kata laporan itu.

Ia mengekalkan bekalan barangan keperluan dengan mempertingkatkan simpanan dan memastikan ketersediaan penghantaran laut apabila kapasiti kargo udara menjadi terhad.

Apabila hubungan darat dengan Malaysia ditutup, ia juga memastikan aliran berterusan barangan keperluan dan pekerja merentasi sempadan. Langkah juga diambil untuk mempelbagaikan bekalan makanan Singapura.

Pada masa yang sama, Pemerintah tidak pernah mengenakan kawalan eksport, khususnya, apabila kapasiti pengeluaran untuk barangan farmaseutikal dan peralatan perubatan terganggu di seluruh dunia, syarikat di Singapura seperti 3M dapat terus memenuhi permintaan global.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita