Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kertas Putih Pembangunan Wanita syor 25 pelan tindakan dilaksanakan sepanjang 10 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Mar 2022 09:17PM Dikemas Kini : 28 Mar 2022 10:26PM

SINGAPURA: Pemerintah mengeluarkan Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura pada Isnin (28 Mac), dengan 25 pelan tindakan disyorkan dalam lima bidang utama.

Lima bidang tersebut ialah peluang sama rata di tempat kerja, pengiktirafan dan sokongan untuk penjaga, perlindungan terhadap keganasan dan bahaya, langkah sokongan lain untuk wanita dan perubahan minda.

Antara pengumuman utama itu, Pemerintah mencadangkan wanita berusia 21 hingga 35 tahun dibenarkan unutk membekukan sel telur mereka tanpa mengira status perkahwinan sementara Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Amalan Pekerjaan Adil harus termaktub dalam undang-undang.

Di bawah Kertas Putih itu, satu set baru Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Aturan Kerja Fleksibel harus diperkenalkan menjelang 2024, dan Geran Penjagaan di Rumah digandakan untuk isi rumah berpendapatan rendah.

25 pelan tindakan itu akan dilaksanakan sepanjang tempoh 10 tahun, dan kajian semula akan dijalankan pada 2027, kata Pemerintah.

Ulang tahun ke-60 Piagam Wanita tahun lalu mewujudkan peluang mengumpulkan individu yang berminat dalam pembangunan wanita untuk sama-sama "meneliti idea yang luar jangkaan biasa", kata Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo, yang juga pengerusi Cabang Wanita Parti Tindakan Rakyat.

Kertas Putih itu dihasilkan selepas beberapa siri perbincangan antara sektor awam dan swasta serta pertubuhan bukan pemerintah. Ia pertama kali diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada September tahun lalu di sesi penutup 'Perbualan mengenai Pembangunan Wanita Singapura'.

“Kertas Putih ini akhirnya akan meletakkan kita pada kedudukan yang lebih baik daripada sebelumnya. Nilai Kertas Putih ini ialah untuk menyedarkan seluruh masyarakat tentang keperluan untuk terus menjaga kepentingan wanita,” kata Cik Teo.

“Ia menyedarkan dan meningkatkan kesedaran bahawa wanita masih memerlukan sokongan dalam banyak cara. Dan terpulang kepada setiap daripada kita untuk memainkan peranan masing-masing dan cuba memberikan wanita dalam kehidupan kita sokongan yang mereka perlukan untuk memenuhi aspirasi mereka.”

PELUANG SAMA RATA DI TEMPAT KERJA

Bidang tumpuan pertama yang dicadangkan Kertas Putih itu ialah soal peluang sama rata di tempat kerja.

Singapura sudah mencapai "kemajuan yang ketara" dalam menyediakan peluang sama rata di tempat kerja, dan kadar pekerjaan bagi wanita berumur 25 hingga 64 tahun meningkat daripada 53 peratus pada 1994 kepada 75 peratus pada 2021, kata Pemerintah dalam Kertas Putih itu.

Pada 2021, 13 peratus syarikat Singapura diterajui seorang CEO wanita, dan lebih ramai wanita telah mengambil peranan kepimpinan. Tetapi pekerja wanita masih menghadapi cabaran tambah Kertas Putih itu.

Lantas, Singapura harus mengukuhkan undang-undangnya untuk menangani amalan pekerjaan yang tidak adil.

Antara pelan tindakannya, pekerja termasuk wanita boleh menjangkakan undang-undang baru bagi amalan kerja lebih adil yang menolak diskriminasi.

Ini memerlukan majikan melaksanakan prosedur bagi mengendalikan rungutan dan melindungi identiti mereka yang tampil melaporkan sebarang gangguan.

Garis Panduan Tiga Pihak yang baru disaran yang akan diperkenalkan menjelang 2024 juga bermakna syarikat-syarikat perlu menimbangkan dengan wajar permintaan untuk bekerja secara fleksibel.

40 peratus pekerja dijangka tergolong di bawah Piawaian Tiga Pihak bagi Aturan Kerja Fleksibel menjelang hujung tahun ini, naik daripada 27 peratus sekarang ini.

Ia sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan aturan itu suatu norma.

"Aturan kerja fleksibel akan menjadi suatu norma di tempat kerja pada masa depan. Ini mengupaya lebih ramai wanita, terutama mereka dengan tanggungjawab menjaga anak atau orang tua, untuk kekal atau kembali bekerja," kata Menteri Negara Tenaga Manusia Gan Siow Huang.

"Bagi majikan, menawarkan aturan kerja fleksibel juga membolehkan mereka memanfaatkan kumpulan bakat lebih besar, bukan sahaja wanita, tetapi juga warga emas yang perlukan aturan kerja fleksibel untuk dapat kembali bekerja."

Pelan tindakan Kertas Putih itu juga mahu memudahkan lagi mangsa melaporkan keganasan keluarga.

Talian sedia ada akan dinamakan semula sebagai Talian Bantuan Antikeganasan dan Gangguan Seksual Kebangsaan.

Sebagai langkah pencegahan, sebilangan pesalah seksual mahu dikenakan hukuman lebih berat.

Usulan lain yang diutarakan termasuklah mengiktiraf dan menyokong penjaga, melindungi wanita daripada keganasan dan bahaya, perubahan minda dan sokongan lain.

Ini termasuk memberi wanita pilihan untuk menjalani pembekuan sel telur.

Bermula tahun depan, mereka berusia 21 hingga 35 tahun layak berbuat demikian, tanpa mengira status perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, hanya pasangan sudah berkahwin sahaja dapat menggunakan sel telur yang dibekukan itu bagi proses mendapatkan anak.

"Kami mendapati melalui sesi-sesi perbincangan bahawa ada wanita yang bimbang mereka tidak dapat mencari pasangan yang sesuai sewaktu mereka muda, namun mereka mahu berpeluang hamil dan berkeluarga apabila mereka berkahwin kelak," kata Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga, Sun Xueling.

Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan