Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kertas Putih Pembangunan Wanita: Geran Penjagaan di Rumah digandakan kepada S$400 bagi isi rumah berpendapatan rendah

Anggaran Waktu Membaca:
Kertas Putih Pembangunan Wanita: Geran Penjagaan di Rumah digandakan kepada S$400 bagi isi rumah berpendapatan rendah

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 28 Mar 2022 09:35PM Dikemas Kini : 28 Mar 2022 09:35PM

SINGAPURA: Dalam Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura yang dikeluarkan pada Isnin (28 Mac), Pemerintah menyarankan Geran Penjagaan di Rumah digandakan bagi isi rumah berpendapatan rendah daripada S$200 kepada S$400.

Geran itu diperkenalkan pada Oktober 2019 untuk mengimbangi kos penjagaan bagi golongan kurang upaya sederhana.

Lebih 31,000 orang sudah meraih faedah daripada geran tersebut, menurut Setiausaha Parlimen Kesihatan, Rahayu Mahzam.

“Penjaga adalah tunggak masyarakat kita dan golongan wanita yang selalunya memikul sebahagian besar tanggungjawab menjaga, kadangkala menjejas diri mereka sendiri. Oleh itu, adalah penting untuk kita terus menyokong penjaga dan menyediakan wanita dengan sokongan yang diperlukan,” katanya.

Justeru, lebih banyak sokongan disarankan diberikan kepada wanita daripada keluarga berpendapatan rendah yang menjaga anak-anak atau ibu bapa.

Menerusi Geran Penjagaan di Rumah yang dipertingkat, wanita tersebut boleh menerima sokongan sehingga S$400 sebulan, dalam usaha mengurangkan beban kewangan ke atas penjaga.

Semasa perbincangan mengenai Pembangunan Wanita Singapura, peserta berkongsi harapan mereka bagi sebuah masyarakat di mana lelaki dan wanita memainkan peranan sama rata dalam tanggungjawab menjaga anak dan orang tua, kata Cik Rahayu.

Geran Penjagaan di Rumah yang dipertingkat akan mengiktiraf sumbangan yang diberikan oleh penjaga dan mengurangkan kos penjagaan. Lebih banyak bantuan akan diberikan untuk keluarga berpendapatan rendah, kata Cik Rahayu.

Juga dijangka mendapat geran bulanan S$400 itu ialah mereka mempunyai pendapatan per kapita sehingga S$1,200 atau tidak mempunyai pendapatan dan tinggal di rumah dengan nilai tahunan sehingga S$13,000.

Penjaga wanita dengan pendapatan bulanan per kapita antara S$1,201 hingga S$2,800 pula boleh mendapat geran sebanyak S$250.

Skim Perkhidmatan Rumah Tangga, yang membolehkan syarikat mengambil lebih ramai pekerja hijrahan untuk memberikan perkhidmatan domestik separuh masa dikekalkan pada 1 September tahun lalu.

Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura menyarankan 25 pelan tindakan yang akan dilaksanakan sepanjang 10 tahun akan datang.

LEBIH BANYAK SOKONGAN

"Selain memberikan sokongan kewangan, penjaga juga merasa tertekan dan perlukan bantuan di dalam aspek penjagaan yang berbeza, kata Cik Rahayu.

Ekosistem bantuan akan turut ditubuhkan di mana penjaga boleh mendapat bantuan daripada penjaga lain.

"Dalam usaha ini kami sudah menyatukan usaha Persatuan Rakyat, Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) dan pusat-pusat sukarelawan SGCares yang akan berganding bahu dengan agensi-agensi perkhidmatan sosial untuk mewujudkan rangkaian-rangkaian sokongan rakan setara atau 'peer support' berasaskan masyarakat," kata Cik Rahayu.

Para penjaga juga boleh mendapat bantuan daripada Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) yang menjadi sumber sehenti bagi isu-isu penjagaan.

Sumber : CNA/IM/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa