Skip to main content

Singapura

Kertas Putih COVID-19: Peraturan memakai pelitup, langkah pengurusan selamat yang membingungkan antara yang boleh dilakukan dengan lebih baik

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Peraturan memakai pelitup pada peringkat awal pandemik dan beberapa langkah pengurusan selamat yang mengelirukan masyarakat adalah antara perkara yang mana pemerintah Singapura boleh lakukan lebih baik lagi bagi tangani COVID-19.

Perkara-perkara itu disertakan dalam Kertas Putih yang diterbitkan Pejabat Perdana Menteri pada Rabu (8 Mac) bagi menilai respon pemerintah dalam menangani pandemik.

Semasa ditemui para wartawan, Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata COVID-19 merupakan "masalah yang rumit dalam skala yang besar" dan memerlukan pemerintah menghadapinya dalam keadaan yang tidak menentu.

"Kami lakukan penilaian terbaik kami pada ketika itu tapi sudah tentu dengan pengalaman yang ada dan dengan apa kami tahu hari ini, kami mungkin boleh tangani beberapa situasi dengan cara yang berbeza," tambah DPM Wong yang juga menerajui bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19.

PERATURAN MEMAKAI PELITUP

Kertas Putih itu juga menarik perhatian kepada pendirian pemerintah mengenai pemakaian pelitup di peringkat awal pandemik dan lebih fleksibel dalam pelaksanaan langkah-langkah pengurusan selamat.

Singapura mengesahkan kes pertama COVID-19 pada Januari 2020.

Pada peringkat awal wabak itu, pemerintah menasihati orang ramai supaya tidak memakai pelitup kecuali jika mereka tidak sihat.

Walau bagaimanapun selepas siasatan mendapati bahawa penularan virus boleh berlaku sebelum individu mula menunjukkan gejala, pemakaian pelitup kemudian diwajibkan di tempat-tempat awam pada April 2020.

Kertas Putih menyatakan, “Orang ramai melihat perubahan dasar dalam pemakaian pelitup sebagai keputusan yang bercanggah dengan pendirian pemerintah sebelum itu. Ini sudah pasti menjejas kepercayaan dan keyakinan orang ramai dalam pengendalian krisis tersebut"

"Jika difikirkan semula, oleh kerana bukti klinikal tentang COVID-19 masih berkembang dan sebelum kami mengetahui betapa mudahnya virus itu merebak, kami mungkin kurang pasti dalam pendirian kami mengenai pemakaian pelitup."

Ia juga mendapati bahawa pemerintah mungkin boleh menggalak orang ramai membuat pelitup muka mereka sendiri sedapat pengilangan pelitup dipertingkatkan.

Kekurangan pelitup di pasaran dan pembelian secara cemas menyukarkan lagi keadaan ketika itu.

TRACETOGETHER DAN SAFEENTRY

Pelancaran aplikasi dan token TraceTogether serta daftar masuk SafeEntry mengurangkan masa yang diperlukan untuk mengenal pasti dan mengenakan arahan kuarantin terhadap kontak rapat daripada empat hari kepada kurang daripada satu setengah hari.

Namun aplikasi TraceTogether mengambil masa beberapa bulan selepas pelancarannya pada Mac 2020 untuk benar-benar memberi kesan kepada usaha pengesanan kontak kerana keberkesanannya bergantung pada penggunaan aplikasi itu yang meluas.

Ini hanya berlaku apabila alat itu disepadukan melalui "TraceTogether-only SafeEntry", yang diwajibkan di tempat berisiko lebih tinggi mulai Jun 2021.

"Ini menunjukkan bahawa selain membangunkan teknologi, kita perlu menyepadukan teknologi dengan baik dengan rancangan operasi dan untuk menangani cabaran penggunaan," menurut Kertas Putih itu lagi.

TraceTogether juga mengalami kegenjotan pada Januari 2021 apabila didedahkan di Parlimen bahawa data itu boleh digunakan oleh polis dalam siasatan jenayah.

Ini bertentangan dengan jaminan awal bahawa ia hanya akan digunakan untuk pengesanan kontak.

Kesilapan itu secara semula jadi menimbulkan rasa kurang senang dan menjejaskan kepercayaan orang ramai dan pemerintah sepatutnya lebih jelas tentang penggunaan data TraceTogether sejak awal lagi.

PERATURAN PENGURUSAN SELAMAT YANG MEMBINGUNGKAN

Peraturan pengurusan selamat yang berubah-ubah dan kurang jelas membawa kepada kesukaran dalam pelaksanaan.

Apabila sempadan Singapura dibuka semula, beberapa langkah pengurusan selamat didapati "agak keterlaluan" serta "terlalu rumit, sukar dilaksanakan dan dijelaskan, lantas mengelirukan orang ramai".

Penilaian itu menarik perhatian kepada peraturan yang berbeza-beza untuk aktiviti fizikal yang bergantung pada tahap tenaga dan sama ada ia dilakukan di luar atau tempat tertutup, dan pelbagai langkah pengurusan selamat di sekitar majlis perkahwinan.

Walaupun tujuannya adalah untuk "memberi pengecualian" kepada detik-detik kehidupan yang penting, peraturan yang dikenakan "menekankan pematuhan yang ketat berbanding kesederhanaan" dan biasanya terlalu rumit, kata Kertas Putih.

Semasa dan sejurus selepas "pemutus rantaian" pada tahun 2020, terdapat juga "sedikit ketidaksamaan dalam layanan" apabila peraturan ditakrifkan untuk perniagaan tertentu.

PENULARAN DI DORMITORI PEKERJA HIJRAHAN

Penularan di dormitori pekerja hijrahan asing semakin meruncing dari April hingga Ogos 2020, dengan ratusan kes baru dilaporkan setiap hari.

Menjelang akhir tahun 2020, hampir separuh daripada kira-kira 300,000 pekerja yang tinggal di dormitori telah dijangkiti dan dua kematian dicatatkan.

Ini adalah "krisis dalam krisis" dan langkah berjaga-jaga awal yang dilaksanakan pihak dormitori tidak mencukupi.

Kertas Putih itu menyatakan, “Memandangkan persekitaran hidup komunal, penularan jangkitan di dormitori asrama berkemungkinan menjadi bencana besar. Kami sepatutnya menyiasat lebih mendalam dan menjalankan pengawasan di lapangan dengan lebih baik dan lebih awal, seperti dengan melakukan ujian pada populasi sampel untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber ujian yang terhad.”

Apabila kes pertama di dormitori pekerja hijrahan dikesan pada Februari 2020, pemerintah mengikut prosedur yang dimulakan selepas wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) pada 2003.

Selain daripada pandangan lazim bahawa penularan tanpa gejala tidak mungkin berlaku, pemerintah juga tidak mempunyai gambaran jumlah pekerja asing yang sudah mendapatkan rawatan daripada penyedia perkhidmatan yang berbeza untuk gejala jangkitan pernafasan akut.

"Tanpa gambaran jelas tentang risiko kesihatan, kami tidak dapat mengambil langkah drastik untuk menyekat pergerakan dari dan dalam dormitori," dinyatakan Kertas Putih itu.

KAWALAN SEMPADAN

Mengenai kawalan sempadan pula, Kertas Putih itu mengatakan kawalan sempadan lebih agresif mungkin diperlukan apabila berhadapan dengan tanda-tanda penularan virus dengan pantas di tempat lain bagi mengurangkan bahaya kes import.

Kertas Putih itu menambah bahawa pemerintah mungkin "terlalu bimbang untuk memastikan keberlangsungan ekonomi dan pekerjaan".

Ia memberi perhatian kepada dua ketika bila Singapura mengenakan sekatan perjalanan. Yang pertama adalah apabila Singapura mengenakan sekatan secara berperingkat negara demi negara sedang keadaan global menjadi lebih parah antara Februari hingga Mac 2020.

Yang kedua pula adalah apabila penularan varian Delta pada 2021, dengan Singapura menutup sempadannya dengan India sedang jumlah jangkitan melonjak di sana. Singapura lebih lambat melakukannya bagi negara-negara berhampiran dengan India dan negara-negara dengan jumlah pelawat dari India yang banyak.

Namun Kertas Putih itu juga akur dengan keterbatasan dalam mengenakan sekatan perjalanan.

Ia menyatakan, "Apabila virus itu sudah menular dalam negara, sekatan perjalanan tidak lagi berkesan atau relevan, walaupun ia mungkin masih memberi keyakinan secara psikologi dan petanda yang baik bagi berjaga-jaga."

Mendidik orang awam tentang peranan sekatan perjalanan dalam usaha menangani penularan juga diperlukan agar orang ramai boleh lebih memahami apa yang boleh dan tidak boleh dicapai oleh langkah tersebut.

PERALIHAN KEPADA ENDEMIK COVID-19

MTF COVID-19 mula-mula membangkitkan tentang kemungkinan beralih ke fasa endemik pada Mei 2021.

Pada ketika itu juga, varian Delta menular di Singapura.

Bagi tangani varian Delta, langkah-langkah pengurusan selamat berulang kali diketatkan dan dilonggarkan dalam separuh kedua 2021, sehingga membuat penduduk "resah", menurut Kertas Putih itu.

Ia menyatakan sesetengah penduduk merasakan pemerintah "asyik mengubah-ubah tanda aras bagi pembukaan semula" dengan menyatakan pelbagai langkah seperti sasaran pada kadar vaksinasi, kadar jangkitan mingguan dan sebagainya.

Program pemulihan di rumah yang pada mulanya dilancarkan sebagai langkah perintis kemudian menjadi mod semula jadi bagi lebih banyak orang pada September 2021.

Perubahan pantas itu menyebabkan ketidaktentuan dan rasa cemas dalam kalangan pesakit dan keluarga mereka dengan ramai orang cuba menghubungi talian pemerintah.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita