Kertas Putih bentang 25 pelan perkukuh kedudukan wanita di S'pura
SINGAPURA: Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita menjadi perbahasan utama sidang parlimen hari ini (5 April).
Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo menyifatkannya sebagai satu seruan jelas kepada semua pihak supaya memainkan peranan bagi mencapai kesaksamaan jantina.
Cik Teo, yang giat memperjuangkan isu-isu berkaitan wanita, turut menekankan peri pentingnya misi secara bersama itu di Parlimen siang tadi.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan usul bagi memulakan perbahasan tentang Kertas Putih tersebut.
Ia mengandungi 25 pelan bertindak bagi memperkukuh kedudukan wanita di Singapura.
"Lebih daripada sekadar satu pelan bertindak yang menyeluruh oleh pemerintah, Kertas Putih ini adalah seruan yang jelas kepada setiap daripada kita untuk bertindak. Bertindak di dalam rumah anda, di tempat kerja anda, dalam masyarakat anda, dalam hubungan anda. Bertindak untuk mengiktiraf pencapaian wanita sebagai pencapaian masyarakat. Bertindak untuk menjamin kemajuan wanita sebagai kemajuan masyarakat,"ujar Cik Teo.
Puluhan Anggota Parlimen, termasuk para penyandang jawatan, turut serta dalam perbahasan Kertas Putih itu yang berlangsung sekitar lapan jam.
Antara isu yang mendapat tumpuan adalah sokongan tambahan untuk para pengasuh, perlindungan lebih kukuh untuk wanita daripada keganasan serta perubahan minda bagi memajukan kesaksamaan jantina di Singapura, khususnya dalam kalangan kaum lelaki.
"Sebagai kaum lelaki, kita boleh dan harus melakukan lebih banyak lagi untuk menyokong kaum wanita kita. Misalnya, kita boleh memainkan peranan aktif dalam penjagaan anak dan orang tua. Kita juga harus menyokong kaum wanita dalam mengejar aspirasi mereka di tempat kerja dan dalam masyarakat. Sebagai keluarga, masyarakat dan negara, kita lebih kukuh apabila kaum wanita kita berpeluang untuk maju dan mengembangkan potensi mereka," ujar Encik Masagos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.