Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kertas Putih bagi SG Yang Lebih Sihat diluluskan di Parlimen

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Oct 2022 08:59PM Dikemas Kini : 05 Oct 2022 09:12PM
SINGAPURA: Selepas perbahasan yang meluas selama dua hari, Parlimen meluluskan Kertas Putih bagi SG Yang Lebih Sihat pada Rabu (5 Okt), sebagai asas rancangan perubahan besar kepada sistem jagaan kesihatan Singapura.

Diumumkan buat pertama kali semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Kesihatan (MOH) Mac lalu, ia memberi tumpuan kepada jagaan pencegahaan dan bertujuan menggalak rakyat Singapura bersikap lebih bertanggungjawab terhadap jagaan kesihatan mereka sendiri, melibatkan penduduk untuk mendaftar dengan seorang doktor yang akan menyokong penduduk dalam keperluan kesihatan sepanjang hayat mereka.

Program jagaan kesihatan kebangsaan secara sukarela itu akan dibuka untuk pendaftaran bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas pada separuh kedua 2023. Ini disusuli mereka dalam kumpulan usia 40 sehingga 59 tahun, dua tahun akan datang.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, yang memimpin usulan tersebut, berkata bahawa SG Yang Lebih Sihat merupakan usaha utama untuk mengaktifkan dan memperbaharui sistem kesihatan awam, memperkasa individu untuk memilih kesihatan, dan meletakkan asas untuk sistem penjagaan orang tua.

Beliau menggesa semua pihak berkepentingan agar memainkan peranan bagi menangani cabaran penuaan.

Strategi SG Yang Lebih Sihat memberi tumpuan kepada khidmat jagaan pencegahan dengan perubahan pada dasar-dasar disasarkan bagi menangguhkan kelemahan pesakit.

Encik Ong berkata Singapura kini mempunyai sumber dan keupayaan untuk membangunkan asas yang baik bagi sistem jagaan warga emas.

Semua masyarakat, pada satu ketika, perlu menghadapi penduduk yang menua.

"Ia adalah ujian yang mendesak dan tegas dan sesetengah masyarakat terpaksa berdepan dengan sistem jagaan kesihatan yang muflis atau membiarkan sistem jagaan kesihatan melumpuhkan masyarakat dan ekonomi mereka," ujar Encik Ong.

Encik Ong, malah menyuarakan tekad kementeriannya untuk mengatasi ujian demikian.

MENANGANI TENAGA KERJA

Dalam ucapan penutupnya selepas perbahasan selama dua hari, Encik Ong juga menyentuh mengenai keprihatinan tentang tenaga kerja dan langkah-langkah seterusnya.

Strategi SG Yang Lebih Sihat bertujuan memupuk hubungan yang bertahan lama antara para penduduk dengan para doktor.

Encik Ong berkata usaha sedang dijalankan bagi meningkatkan tenaga kerja di tengah-tengah keprihatinan yang disuarakan oleh beberapa Anggota Parlimen (AP) tentang tambahan kerja bagi klinik-klinik.

Maka itu, MOH akan menambahkan jumlah doktor keluarga kepada 3,500 menjelang 2030 selain meningkatkan ekosistem kesihatan.

Encik Ong berkata: "Cabaran utama adalah untuk mempunyai jumlah jururawat, para pakar kesihatan bersekutu dan kakitangan jagaan sokongan yang mencukupi untuk mengendalikan hospital, klinik dan juga Pusat Jagaan Warga Emas."

Tambah beliau lagi, jumlah kumpulan itu meningkat kepada sekitar 58,000 kini. Malah, MOH menganggarkan bahawa ia perlu ditambah kepada 82,000 pada 2030.

Ini terutama sekali penting sedang Singapura mahu memperkukuhkan sinergi tiga sistem kesihatannya
iaitu jagaan akut, kesihatan awam dan jagaan warga emas.

PERUBATAN TRADISIONAL CINA

Encik Ong turut menyentuh mengenai peranan perubatan tradisional cina (TCM) dalam strategi jagaan kesihatan baru, selepas beberapa AP menarik perhatian tentang nilainya dalam jagaan pencegahan.

Beliau berkata TCM boleh memainkan peranan dalam strategi SG Yang Lebih Sihat TCM dan kaedah perubatan biasa memberi perhatian kepada menguruskan faktor risiko dengan lebih awal bagi mencegah masalah yang mungkin dialami nanti.

MOH akan meneliti bagaimana kaedah perubatan itu dapat dilakukan.

Encik Ong menggesa para pakar perubatan agar terus mengamalkan jagaan holistik.

MEMBANTU WARGA EMAS

Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli dan Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Kesihatan Rahayu Mahzam juga bergilir-gilir untuk menumpukan perhatian kepada kebimbangan yang dikemukakan AP dalam melibatkan warga emas dan memastikan mereka yang kurang celik IT tidak ketinggalan.

Cik Rahayu berkata bahawa sokongan akan diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan untuk mengemudi program-program itu, misalnya, menerusi pusat jagaan warga emas dan pusat masyarakat.

Sementara itu, Encik Masagos berkata bahawa program penuaan aktif di setiap kawasan kejiranan, dengan lawatan kesihatan pencegahan dari pintu ke pintu juga sedang dijalankan untuk warga emas.

Sumber : CNA/AI/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan