Kertas peperiksaan NTU terkeluar awal gara-gara kakitangan gagal kunci versi online

(Gambar: Calvin Oh/CNA)
SINGAPURA: Kertas peperiksaan online di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang dikeluarkan awal, iaitu pada 7 November, disebabkan kesilapan oleh kakitangan pentadbiran, kata Menteri Negara bagi Pendidikan Gan Siow Huang pada Isnin (28 Nov).
Individu itu gagal melindungi versi elektronik kertas peperiksaan itu menggunakan kata kunci. Ia adalah untuk mahasiswa yang menduduki peperiksaan tersebut online, kata Cik Gan semasa menjawab pertanyaan parlimen mengenai kes tersebut.
"Oleh itu, mahasiswa diberikan akses kepada soalan-soalan sebelum ujian itu bermula," tambahnya.
NTU sedang melakukan siasatan dalaman berhubung pembocoran kertas peperiksaan itu, memeriksa semula protokol dan latihan pekerja agar insiden serupa tidak berulang, ujar Cik Gan.
Universiti tersebut mengambil tindakan lanjut untuk memastikan proses penilaian adil bagi semua mahasiswa dengan melakukan ujian semula dengan jumlah topik yang dikurangkan, tambahnya.
Seramai 218 mahasiswa menduduki semula peperiksaan akhir modul tersebut.
Peperiksaan akhir bagi kursus HP2200 (Psikologi Biologi) berlangsung pada pukul 9.30 pagi 7 November, dan sebahagian besar mahasiswa menduduki peperiksaan mereka di dewan kuliah, kata Profesor Madya Chia Wai Mun, selaku Pengerusi Bersekutu (Akademik) Sekolah Sains Sosial NTU.
Mahasiswa yang dijangkiti COVID-19 menduduki versi online peperiksaan yang diselia pejabat mahasiswa, katanya. Semua mahasiswa menduduki kertas peperiksaan yang sama dan secara serentak.
Namun, NTU kemudian mendapat tahu bahawa kertas peperiksaan itu didapati di platform pembelajaran mahasiswa sebelum bermulanya ujian tersebut, kata Profesor Madya Chia, sambil memohon maaf kepada mahasiswa yang perlu menduduki semula ujian tersebut untuk memastikan prosesnya adil.
Institut Pengajian Tinggi (IHL) mempunyai protokol untuk mencegah akses yang tidak diluluskan atau kertas peperiksaan daripada dikeluarkan lebih awal, kata Cik Gan.
"Ini termasuk melindungi salinan digital kertas peperiksaan dengan kata kunci dan hanya mendedahkan kata kuncinya kepada mahasiswa sebelum waktu peperiksaan yang dijadualkan, mengadakan penilaian online di wadah tersendiri dengan akses yang terkawal serta menyimpan salinan yang dicetak di lokasi selamat dengan akses terhad," tambah Cik Gan.
Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, terdapat lima insiden terpencil di mana kertas peperiksaan dibocorkan sebelum waktu yang dijadualkan, menjejas "minoriti kecil" mahasiswa dalam kes-kes lebih serius, ujar Menteri Negara itu.
Institut tersebut akur terdapat tekanan tambahan bagi mahasiswa yang perlu menduduki semula pemeriksaan, kata Cik Gan.
"Masa yang mencukupi diberikan kepada para mahasiswa untuk membuat persiapan untuk pemeriksaan semula itu. Tambahan lagi, pensyarah dan mentor bersedia membantu mahasiswa yang terjejas.
"Mahasiswa yang memerlukan lebih banyak bantuan boleh mendekati kaunselor di IHL."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.