Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerosakan kereta api punca kelengahan di Laluan MRT Thomson-East Coast pada waktu sibuk

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kerosakan kereta api menyebabkan kelengahan selama 25 minit di Laluan Thomson-East Coast (TEL) pada Selasa petang (7 Mac). 

Pengendali kereta api SMRT memaklumkan kepada para penumpang tentang kelengahan itu pada pukul 5.05 petang melalui ciapan di Twitter, sebelum menasihatkan para penumpang supaya menggunakan laluan MRT alternatif. 

Ia kemudian menyatakan khidmat percuma bagi bas ulang-alik antara stesen Caldecott dengan Orchard disediakan. 

Seorang pembaca Mediacorp di stesen Caldecott mendengar pengumuman bahawa tiada khidmat kereta api yang menghala ke stesen Taman Di Pesisiran. 

SMRT kemudian mengumumkan bahawa khidmat bas biasa akan disediakan secara percuma di semua stesen kereta api yang terjejas. 

Pada pukul 6.27 petang, SMRT mengumumkan khidmat kereta api menghala ke Taman Di Pesisiran disambung semula. 

Dalam hantaran ke Facebook pada pukul 6.31 petang, pengendali itu menyatakan dalam satu kemas kini, kerosakan kereta api TEL berlaku di stesen Orchard menghala ke Woodlands sekitar pukul 4.40 petang. 

"Kakitangan kami dikerahkan untuk memulihkan khidmat tersebut. Kereta api yang mengalami kerosakan ditarik balik bagi siasatan." 

SMRT memohon maaf kerana menjejas perjalanan para penumpang. 

Pada pukul 7.21 malam, SMRT dalam satu ciapan ke Twitter menyatakan, khidmat kereta api bagi TEL sudah disambung semula dan khidmat bas biasa yang ditawarkan secara percuma, tidak lagi beroperasi. 

Sesetengah penumpang membalas ciapan SMRT di Twitter setelah naik berang disebabkan kelengahan tersebut. 

"Belum enam bulan sejak mula beroperasi sudah ada kerosakan?!," kata seorang warga siber. 

Bulan lalu, khidmat kereta api bagi sebahagian Laluan Utara-Selatan mengalami gangguan selama kira-kira enam jam disebabkan kerosakan landasan. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan