Kerosakan kereta api di Laluan Circle, penumpang dinasihat cari laluan alternatif
Para penumpang yang melakukan perjalanan di Laluan Circle antara stesen MRT Promenade dengan Serangoon di kedua-dua hala sudah dinasihatkan agar menambah 30 minit kepada masa perjalanan mereka disebabkan kerosakan kereta api.

Penumpang di stesen Tai Seng pada 5 Mac 2025. (Gambar: Facebook/Myanmar people in Singapore/Moon Htet)
Dalam satu catatan di Facebook pada Rabu (5 Mac), SMRT menyatakan khidmat bas ulang alik percuma antara kedua-dua stesen disediakan. Khidmat kereta api ulang alik juga disediakan antara Bartley dengan Mountbatten.
SMRT juga menasihatkan para penumpang supaya mengambil laluan alternatif di laluan Utara-Selatan, Timur Laut, Downtown dan Timur Barat.
Lebih banyak maklumat disediakan di laman SMRT, menurut pengendali pengangkutan awam itu.
Ini merupakan yang terbaharu antara beberapa insiden gangguan MRT.
Pada 7 Februari 2025, gangguan di Laluan Utara-Selatan bermula sekitar pukul 5.15 pagi dan berlarutan sehingga sebelah malam. Ia disebabkan oleh kenderaan kejuruteraan yang rosak di lintasan kereta api di Depoh Bishan selepas kerja-kerja penyenggaraan rutin.
Ini menghalang kereta api daripada memulakan khidmat penumpang.
Pada 10 Februari, para penumpang terjejas dek kelengahan di Laluan Timur Laut disebabkan kerosakan isyarat di stesen MRT Buangkok, yang berlaku sekitar pukul 6.10 pagi.
Sehari kemudian, kerosakan isyarat juga berlaku di antara stesen Paya Lebar dengan Marymount di Laluan Circle. Ia menyebabkan bekalan tenaga terputus dan menjejas 17 kereta api serta mengakibatkan kelengahan kepada perjalanan sebelah pagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.