Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keroncong dan dikir barat dengan sentuhan moden dipersembahkan dalam Pesta Raya

Para peminat boleh mengubati rindu kepada penyanyi popular Indonesia era 70-an, Emilia apabila beliau membuat persembahan dalam konsert Simfoni Keroncong Nusantara di Dewan Konsert Esplanade pada Jumaat (19 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para peminat boleh mengubati rindu kepada penyanyi popular Indonesia era 70-an, Emilia apabila beliau membuat persembahan dalam konsert Simfoni Keroncong Nusantara di Dewan Konsert Esplanade pada Jumaat (19 Mei).

Ini kali pertama penyanyi bersuara 'alto' itu membuat persembahan di Esplanade.

"Saya sungguh gembira dan bangga. Saya bisa mengadakan pertunjukan besok malam (19 Mei) di Esplanade Singapore. Besok yang akan saya nyanyikan adalah lagu-lagu dari filem 'Akhir Sebuah Impian' seperti lagu 'Layu Sebelum Berkembang' kemudian 'Mimpi Sedih', ada 'Nasib Pengembara' dan ada beberapa lagi lagu popular saya," kata Emilia.

Lagu-lagunya seperti 'Bunga Anggrek', 'Layu Sebelum Berkembang' dan 'Mimpi Sedih' pernah menjadi siulan ramai pada tahun-tahun 70-an hingga 80-an.

Mula bernyanyi sejak berusia lima tahun lagi, penyanyi asal Jawa Timur, Indonesia, Emilia Contessa pernah menyertai pelbagai pertandingan dan menjuarainya di peringkat daerah dan kebangsaan.

Namun, mungkin tidak ramai yang tahu, bibit-bibit awal kerjaya penyanyi itu sebenarnya bermula di Singapura, selepas bakatnya disunting oleh sebuah syarikat rakaman.

"Bakat saya dicungkil oleh pencari bakat dari syarikat 'Philip' di Singapura, namanya Encik Lee H King. Jadi saya memulakan kerjaya saya setelah saya menang pesta di Indonesia itu adalah Singapura. Saya bersekolah di Singapura, saya nyanyi rakaman di Singapura pada waktu itu," kata Emilia.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Popularitinya memuncak lebih-lebih lagi selepas beliau membintangi filem.

Antara 15 filemnya yang pernah mencetuskan fenomena bukan sahaja di Indonesia, bahkan di negara-negara jiran adalah filem 'Akhir Sebuah Impian' bersama Broery Marantika.

"Saya dengar pada waktu itu, di Singapura, ia dimainkan selama enam bulan. Begitu juga di Malaysia dan Brunei," ujar Emilia.

Filem dan lagu-lagu daripada filem tersebut cukup digemari hingga ke hari ini dan masih menjadi permintaan ramai tatkala beliau diundang membuat persembahan-persembahan.

DUET KHAS

Konsert selama satu setengah jam itu turut menampilkan artis-artis tempatan dan sebarang.

Khas buat penonton di Singapura, lagu duet Emilia berjudul 'Bunga Anggrek' akan diberi nafas baru bersama-sama, artis Singapura, Eddy Ali.

"Saya memanggilnya 'Eddy Marantika' kerana kami berduet lagu yang pernah dinyanyikan oleh saya dengan Broery (Marantika)," seloroh beliau.



Pada usia 66 tahun, Emilia kini sibuk mengimbangi penglibatan dalam bidang politik dan nyanyian, serta keluarga.

Namun beliau merancang untuk menghasilkan sebuah album terbaru sebagai hadiah buat para peminat, menjelang tahun hadapan

"Saya ingin ada album yang agak monumental. Kerana saya ingin, sewaktu ketika, kalau saya meninggal, ada kenangan-kenangan satu album. Orang-orang yang dulu yang pernah menggemari lagu-lagu saya, baik dari filem mahupun dari rakaman album, mereka dapat menikmati. Seharusnya lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan dan buat mereka gemari," jelas Emilia.

LAGU BARU DALAM IRAMA KERONCONG

Konsert sempena acara Pesta Raya itu turut menampilkan ratu muzik keroncong dari Malaysia, Yusni Hamid yang akan menghiburkan peminat dengan lima buah lagu.

"Kita jarang dapat menikmati konsert keroncong seperti yang ini. Jadi kita cuba membuat yang terbaik supaya dapat memuaskan hati penonton," kata Yusni.

Dari segi persiapan, pelantun lagu 'Kau Yang Kunanti' itu cukup berdisiplin.

"Sebelum kita membuat sesuatu persembahan, kita seharusnya mesti bertenang, banyakkan rehat. Kalau kita boleh cuba, dengan juga cuaca yang sekarang ini, kita cuba sebaik mungkin tidak keluar rumah, tidak memperbanyakkan aktiviti kita. Kita cuba sedaya upaya untuk menjaga lah tenaga kita," nasihat Yusni.



Selain mengadakan pertandingan-pertandingan keroncong, usaha sebegini dialu-alukannya oleh penyanyi ini yang sudah berkecimpung dalam dunia seni lebih lima dekad.

"Kita cuba untuk mengadakan selalu walaupun tidak dalam sekala besar, sekala kecil. Kita cuba menerapkan hanya lagu-lagu tradisional. Cuma lagu-lagu terkini yang kita cuba olahkan dalam irama keroncong. Mungkin dapat perhatian daripada anak-anak muda," tambahnya.

Berkongsi pendapat serupa ialah penyanyi tempatan, Eddy Ali: "Untuk lebih martabatkan lagi lagu-lagu keroncong ataupun nuansa-nuansa irama keroncong. Kita libatkan generasi muda. Dan kita pula perlukan, bukan sekadar lagu-lagu standard keroncong, tetapi lagu-lagu baru yang kita nuansakan dengan nuansa keroncong."

Sekitar 25 lagu yang akan dipersembahkan para penyanyi tempatan dan seberang ini akan diiringi oleh Orkestra Melayu Singapura (OMS).

Di samping lagu-lagu klasik, penonton juga akan terhibur dengan lagu-lagu yang lebih moden, dengan orkestra yang lebih besar.

"Kita akan bawakan lagu-lagu baru. Seperti lagu 'Hal Hebat', lagu 'Fantasia Bulan Madu'. Itu adalah lagu yang kita akan keroncongkan. Dan juga lagu 'Jampi'," kata Pengarah Muzik, OMS, Amri Amin.

Konsert tersebut akan dicarakan penyanyi Rudy Djoe dan Marina Yusoff dan akan dijayakan Suryana Norddin, Jamilah Abu Bakar, Liliek Jasqee dan Andre Michiels.

PUISI BERIRAMA BERSULAM NASIHAT

Gabungan lama dan baru juga terserlah menerusi sesi bercerita kanak-kanak berjudul 'Rock Latew!'

Berasaskan seni dikir barat, kumpulan Kelana Purba akan menerapkan unsur-unsur moden ke dalam 10 lagu sepanjang persembahan 30 minit ini.

"Yang kita tahu lagu juara, lagu yankee dan lagu Kelantan. Penutupnya mesti ada lagu Wau Bulan," kata watak utama, Muhammad Asyraf Arifin Sa'adon.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Persembahan cukup bertenaga itu juga menerapkan unsur-unsur puisi berirama bagi menarik minat si cilik.

"Kita percaya benda itu boleh menarik perhatian mereka untuk mereka faham dan mereka nyanyikan sekali. Kita kena lagi semangat, lagi 'hyper', lagi ceria dan pakaian kita kena lagi menarik," kata seorang lagi watak utama, Muhammad Hamizan Mohd Hisham.

'Rock Latew!' berkisahkan tentang watak 'Lan Trouble' penggiat rok yang perlu mencari semula semangat di dalam dirinya selepas beliau gagal menghasilkan muzik baru.

Selain menghiburkan dan mencuit hati, persembahan untuk kanak-kanak tiga tahun ke atas itu juga menyulamkan nasihat.

"Kita akan selitkan beberapa moral atau butir-butir atau sedutan di mana penonton dapat mempelajari ataupun memilh dan boleh menerapkan lagi di dalam kehidupan seharian, lagi-lagi buat adik-adik yang menonton nanti," kata Pengerusi kumpulan, Muhammad Hydil Bin Jamil.

'Rock Latew!' akan dipentaskan di Concourse Esplanade pada Sabtu dan Ahad (20 dan 21 Mei), 2.30 dan 3.45 petang.

Acara-acara Pesta Raya berlangsung malam ini hingga Ahad, 21 Mei.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan