Skip to main content

Singapura

Kerjaya politik Nicole Seah: Dari bintang pembangkang hingga kemunculan semula dalam GE2020

Anggaran Waktu Membaca:
Kerjaya politik Nicole Seah: Dari bintang pembangkang hingga kemunculan semula dalam GE2020

Nicole Seah sebagai calon WP dalam GE2020.

SINGAPURA: Dua anggota penting Parti Pekerja (WP) iaitu Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied Leon Perera dan Cik Nicole Seah, sudah meletak jawatan selepas menjalin hubungan sulit.

Hubungan mereka mula menarik perhatian ramai menyusuli video pasangan itu yang tersebar pada 17 Julai, yang mana mereka dilihat berkelakuan intim semasa makan bersama.

Pada Rabu (19 Jul), ketua WP Pritam Singh mengesahkan pasangan itu sudah menjalin hubungan sulit sejak selepas Pilihan Raya Umum 2020, namun ia sudah tidak diteruskan.

Encik Singh berkata beliau menerima kedua-dua surat peletakan jawatan Encik Perera dan Cik Seah.
Cik Seah, 36 tahun adalah presiden Sayap Belia Parti Pekerja dan juga sebahagian daripada Jawatankuasa Eksekutif Pusat.

Selepas meraih perhatian sebagai calon paling muda dalam Pilihan Raya Umum 2011, Cik Seah berehat daripada arena politik selama beberapa tahun. Beliau kemudian kembali bertanding tiga tahun lalu di bawah naungan WP.

Berikut adalah perjalanan politiknya setakat ini:

CALON PALING MUDA DALAM PILIHAN RAYA UMUM 2011

Cik Seah kali pertama bertanding dengan Parti Perpaduan Nasional (NSP) dalam Pilihan Raya Umum 2011.

Namun sebelum itu, beliau adalah anggota Parti Reform (RP). Pada Februari tahun itu, beliau adalah antara anggota RP yang melepaskan jawatan secara beramai-ramai daripada parti berkenaan, sambil merujuk kepada perbezaan dengan setiausaha agung Kenneth Jeyaratnam.

Tidak lama kemudian, wanita yang berusia 24 tahun ketika itu diumumkan sebagai sebahagian daripada pasukan lima anggota NSP di GRC Marine Parade bagi pilihan raya umum akan datang.

Sebagai calon termuda dalam Pilihan Raya Umum itu, Cik Seah menjadi tumpuan utama dan dibandingkan dengan calon termuda Parti Tindakan Rakyat (PAP) - Tin Pei Ling yang berusia 27 tahun ketika itu, yang membarisi pasukan PAP bagi GRC Marine Parade.

GRC Aljunied itu juga dipertandingkan dalam pilihan raya umum buat kali pertama sejak 1992.

BINTANG MEDIA SOSIAL

Menjelang hari mengundi pada 2011, Cik Seah menjadi tajuk berita utama sebagai ahli politik yang menerima jumlah tertinggi 'tanda suka' di Facebook, mengatasi Menteri Pembimbing ketika itu, iaitu Lee Kuan Yew.

Apabila beliau berjaya menambat hati para penyokong dengan ucapannya yang bersemangat semasa rapat pilihan raya umum, Cik Tin pula menerima kecaman online selepas sebuah video yang menunjukkan beliau menghentak kakinya sambil berkata "Saya tidak tahu apa yang harus dikatakan" menjadi tular.

Pada suatu ketika, Cik Seah mendapat begitu banyak perhatian sehingga mantan perdana menteri Goh Chok Tong berkata pasukan NSP adalah pasukan dengan kekuatan seorang wanita.

Meskipun berdepan dengan pasukan PAP yang dipimpin Encik Goh, pasukan NSP berjaya meraih 43.36 peratus daripada undian meskipun hanya dibarisi beberapa calon, yang antara lain terdiri daripada Cik Seah dan mantan AP Cheo Chai Chen.

Hasil undian yang jauh lebih baik daripada yang dijangkakan itu dipacu oleh populariti Cik Seah secara online dan juga di lapangan.

Ia juga sebahagiannya mencerminkan penduduk yang berpaling tadah terhadap PAP, dengan 2011 menjadi pilihan raya yang mana PAP kehilangan sebuah GRC buat julung-julung kalinya.

Lewat tahun itu, Cik Seah menyokong ahli politik pembangkang Tan Jee Say sebagai calon presiden.

BEREHAT DARI ARENA POLITIK

Dua tahun selepas menjadi tumpuan ramai, Cik Seah berkongsi tentang tekanan yang dihadapinya dan bagaimana ia menjejas dirinya.

Dalam catatan di laman Facebook, beliau berkata tahun 2013 adalah "tahun paling buruk" dalam hidupnya setakat itu.

Selain berdepan masalah hubungan dan jadual terlalu padat, beliau juga harus menangani diagnosis barah neneknya.

Cik Seah berkata beliau "dipaksa" membuat keputusan buruk semasa Pilihan Raya Presiden dan "terasa seperti satu penipuan untuk diundang berucap di sidang-sidang di merata tempat." Beliau juga menyentuh tentang sebilangan orang yang menghantar ancaman rogol dan bunuh, dan "berdepan keletihan yang melampau".

Beliau juga menggambarkan
tentang serangan cemas, demam denggi dan masalah kesihatan yang dialaminya.

Sungguhpun demikian, beliau mengakhiri catatannya dengan nada positif, sambil menulis: "Akhir sekali, apabila anda berasa anda berada di bawah, ingatlah bahawa rahmat terbesarnya dari sini adalah - Satu-satunya laluannya sekarang adalah untuk bangkit".

Pada tahun itu juga, beliau harus berdepan dengan laporan yang mencadangkan beliau sering keluar bersama suami orang, walhal lelaki itu sebenarnya sudah bercerai. Media terbabit kemudian membuat permohonan maaf kepada Cik Seah.

Selepas krisis berkenaan, beliau berhijrah ke Thailand untuk bekerja dalam industri pengiklanan.

Pada Ogos 2014, beliau meninggalkan NSP, sambil menyifatkannya sebagai keputusan "sangat sukar" untuk dibuat.

Semasa berehat dari arena politik, Cik Seah turut memainkan peranan kecil dalam filem 1965 sebagai isteri inspektor polis yang diterajui aktor Mediacorp Qi Yuwu.

Beliau berkahwin dengan suaminya Bryan pada 2015 dan melahirkan anak sulungnya iaitu seorang bayi perempuan pada 2018. Beliau menimang cahaya mata perempuan kedua pada 2022.

KEMBALI KE DUNIA POLITIK PADA 2020

Meskipun timbul khabar angin bahawa beliau akan kembali bertanding pada pilihan raya umum selanjutnya, Cik Seah tidak ikut bertanding pada 2015.

Beliau mula menjadi sukarela dengan pasukan media Parti Pekerja selepas Pilihan Raya Umum 2015 dan kemudian menyertai parti itu, dan bertanding sebagai calon bagi pilihan raya 2020.

Pada lewat 2020, Cik Seah dipilih menyertai Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu. Beliau meletak jawatan daripada WP pada 18 Julai 2023.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita