Kerjasama TTSH, Brahm Centre buka peluang pelajar Northlight teroka kerjaya jagaan kesihatan
Program latihan amali selama 10 minggu memberi peluang kepada 14 pelajar Northlight School mempelajari kemahiran penjagaan pesakit dalam persekitaran sebenar. (Gambar: Hidir Ezat)
Program selama 10 minggu itu dijalankan di Hab Penjagaan Bersepadu TTSH menerusi Program Sukarelawan Para-Kejururawatan, sebagai sebahagian daripada Sijil Kemahiran Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam Sokongan Penjagaan Masyarakat.
Sepanjang tempoh latihan, para pelajar seperti Sharma Shah Vel Subagar didedahkan kepada tugasan yang lazim dilakukan dalam persekitaran penjagaan masyarakat.
"Saya belajar macam mana untuk menukar lampin pesakit, membantu memberi makan dan memandikan pesakit yang sukar bergerak atau tidak boleh berjalan. Saya juga belajar macam mana nak membantu mereka kembali ke katil," kata Sharma.
Menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang mencabar, Sharma berkata: "Pada mulanya saya takut hendak buat semua tugasan. Tetapi lama-kelamaan saya semakin yakin. Saya mahu jadi lebih berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain."
Keyakinan yang diperoleh sepanjang latihan amali itu turut mendorongnya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang penjagaan kesihatan.
"Saya dah jadi lebih yakin. Kalau diberi peluang, saya mahu kembali bekerja di sini. Saya juga mahu berkongsi pengalaman saya dengan pelatih yang baharu," kata Sharma.
Sebelum memulakan latihan amali di TTSH, pelajar Northlight School terlebih dahulu mengikuti pembelajaran asas dalam bidang penjagaan kesihatan, keselamatan di tempat kerja, kebersihan persekitaran dan khidmat penjagaan masyarakat.
Mereka kemudian menjalani Program Pengalaman Industri yang dikendalikan oleh Brahm Centre iaitu sebuah badan amal kesihatan mental sebagai persediaan sebelum ditempatkan di hospital.
Menurut Pegawai Bersekutu Sokongan Jagaan Netthiya Pandian dari TTSH, program tersebut memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri pengalaman bekerja dalam persekitaran penjagaan kesihatan sebenar.
"Program ini memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman bekerja dalam persekitaran penjagaan kesihatan sebenar. Mereka dapat menimba pengalaman melalui pembelajaran bersama pelbagai disiplin, di samping menyumbang kembali kepada masyarakat," kata Netthiya.
"Dengan pengalaman yang mereka peroleh, ia membantu mereka lebih yakin untuk kembali bekerja dalam bidang kejururawatan. Kami berharap lebih ramai warga tempatan akan menyertai sektor ini," tambahnya lagi.
Bagi pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang, TTSH turut menawarkan peluang untuk mereka kembali berkhidmat sebagai kakitangan sepenuh masa selepas menamatkan pengajian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.