Kerjasama TAA, badan lain beri bantuan lebih menyeluruh - Faishal Ibrahim
Satu majlis pengagihan 'Dana Aidilfitri' diadakan hari ini (2 Mei) bagi sekitar 20 penerima bantuan Tabung Amal Aidilfitri (TAA).
SINGAPURA: Satu majlis pengagihan 'Dana Aidilfitri' diadakan hari ini (2 Mei) bagi sekitar 20 penerima bantuan Tabung Amal Aidilfitri (TAA).
Yang lainnya menerima agihan mereka menerusi GIRO.

Atas semangat dermawan dan ihsan masyarakat, jumlah bantuan dapat ditambah sebanyak S$50 kepada S$400 bagi setiap penerima.
Ini diberi kepada hampir 3,600 penerima bantuan TAA.
RINGANKAN BEBAN PERBELANJAAN HARIAN
Menurut TAA, jumlah bantuan ditambah bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka dalam keadaan yang masih tidak menentu ini.

"Kami sedar bahawa terdapat banyak cabaran dari segi ekonomi yang masih dihadapi para penerima bantuan kami dalam pandemik COVID-19 ini," kata Encik Farihullah Abdul Wahab Safiullah, Ketua Jawatankuasa Eksekutif, TAA.
Secara keseluruhannya, lebih S$1.43 juta diagihkan, iaitu sekitar 25 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Jumlah penerima juga bertambah sebanyak hampir 300 orang kepada 3,589 penerima tahun ini.

Turut menghadiri acara pengagihan hari ini ialah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.
Beliau memuji usaha TAA sejauh ini kerana sentiasa menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan.
"Saya dapat melihat semangat membantu golongan yang memerlukan semakin
membakar terutama daripada badan-badan Melayu/Islam di Singapura dan TAA tidak terkecuali," kata Dr Faishal.
Menurutnya juga, peningkatan dari segi bilangan para penerima bantuan sudah dijangkakan kerana pandemik COVID-19 masih berlarutan.
"Saya mengalu-alukan lebih banyak badan Melayu/Islam kita untuk bekerjasama dan memberi sokongan yang padu dan holistik kepada masyarakat kita yang memerlukan," tambah Dr Faishal.
KUIH RAYA UNTUK CERIAKAN AIDILFITRI

Selain wang tunai, para penerima bantuan juga menerima kuih raya bagi menceriakan sambutan Aidilfitri mereka.
Bagi Encik Mohd Zahid Mohd Yassin, yang sudah enam tahun menerima bantuan TAA, beliau amat berterima kasih dengan sumbangan penderma serta pihak TAA.

"Saya rasa amat gembira kerana menerima habuan dana TAA ini kerana ia dapat membantu saya dengan keperluan asas Hari Raya," kata Encik Zahid.
Menariknya, meski berkerusi roda, beliau ingin menyumbang semula dengan menghulurkan tenaga sebagai salah seorang sukarelawan TAA.
"Sebelum pandemik COVID-19 melanda, saya membuat kerja sukarelawan di acara-acara TAA di mana saya membantu mengumpul derma menggunakan tabungnya," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.