Skip to main content

Singapura

Kerjasama SG-Malaysia jadi sauh yang kuat bagi masyarakat ASEAN lebih kukuh dan bersepadu, kata PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Jun 2024 07:34PM Dikemas Kini : 12 Jun 2024 08:47PM
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong berharap kerjasama antara Singapura dengan Malaysia boleh menjadi sauh yang kuat bagi menjadikan masyarakat ASEAN lebih kukuh dan bersepadu.

PM Wong kini sedang melakukan lawatan pengenalan ke Malaysia selepas mula menyandang jawatan itu pada pertengahan bulan lalu.

Siang tadi pada Rabu (12 Jun), PM Wong bertemu Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana.

Dalam sidang media bersama mereka, PM Wong berkata beliau teruja dengan potensi penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ), kerana kedua-dua pihak mempunyai semua yang diperlukan untuk menjadikannya berjaya.

Satu lagi adalah projek pengangkutan Sistem Gerak Cepat Singapura-Johor (RTS).

PM Wong berkata, beliau percaya menerusi pelan induk yang baik serta dasar-dasar yang jelas dan konsisten bagi SEZ, ditambah pula dengan adanya RTS, kedua-dua pihak akan meraih banyak manfaat ekonomi.

Beliau menambah bahawa dengan adanya kepercayaan, ia memberikan para menteri dan pegawai kedua-dua negara ruang untuk berunding dan membincangkan isu-isu dua hala "dengan cara yang betul", di mana kedua-dua negara meraih manfaat.

ASAS KUKUH BAGI KERJASAMA

Sidang media tersebut adalah yang pertama buat PM Wong bersama pemimpin asing. Beliau sedang mengadakan lawatan ke luar negara pertama sejak dilantik sebagai perdana menteri bulan lalu.

Encik Wong berkongsi bahawa Encik Anwar adalah menteri asing pertama yang menghubunginya sehari selepas beliau dilantik, untuk mengucapkan tahniah.

"PM Anwar mempunyai hubungan yang baik bersama mantan PM Lee Hsien Loong, yang kini Menteri Kanan, dan saya sedang membina dan meneruskan hubungan itu pada peringkat kepimpinan."

PM Wong menambah bahawa kedua-dua pemimpin ingin melanjutkan hubungan yang baik itu kepada agensi-agensi pemerintah, penjawat awam dan menteri.

Menurut PM Wong, peluang tersebut mungkin terletak dalam sektor privet, pertubuhan bukan pemerintah, kumpulan masyarakat dan universiti.

Pada Rabu, Encik Anwar juga mengemukakan idea supaya Singapura menghantar guru ke Malaysia untuk mengajar bahasa Inggeris.

MENYELESAIKAN ISU YANG BELUM DISELESAIKAN

Encik Wong dan Encik Anwar berikrar akan terus bekerja bersama-sama untuk menghuraikan isu-isu dua hala yang masih tertunggak seperti soal ruang udara dan sempadan maritim.

PM Anwar berkata beliau akan menggesa para pegawainya agar berusaha untuk menghuraikan isu-isu itu dengan pantas.

Beliau berharap isu-isu tersebut dapat dihuraikan sebelum berlangsungnya pertemuan dua hala pada hujung tahun ini.

MALAYSIA SEBAGAI PENGERUSI ASEAN

Encik Wong berkata Singapura menyokong Malaysia sepenuhnya sebagai pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun depan.

"Kami berharap untuk bekerjasama dalam menubuhkan agenda bercita-cita tinggi yang menumpukan masa depan buat 10 sehingga 20 tahun akan datang," katanya.

Encik Wong menambah apa yang dilakukan Singapura dan Malaysia sama seperti apa yang patut dilakukan ASEAN untuk mengukuhkan integrasi ekonominya sebagai satu masyarakat.

Beliau menarik perhatian bahawa blok serantau itu sudah mencapai kejayaan sejak 20 tahun lalu, dan "masih terdapat pelbagai perkara untuk diselesaikan bersama dengan lebih erat lagi".
 
Sumber : CNA/MU/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita