Kerjasama SG, AS capai tahap baru, kata Vivian Balakrishnan susuli pertemuan dengan Blinken
WASHINGTON: Singapura dan Amerika Syarikat (AS) mengesahkan lagi kerjasama strategik dua hala semasa pertemuan antara Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan
dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken di Washington DC.
Kedua-dua negara menyaksikan kerjasama baru terjalin dalam bidang seperti teknologi angkasa lepas dan pelepasan sifar gas karbon.
Kedua-dua pemimpin juga melancarkan kerjasama baru mengenai perubahan iklim.
"Kerjasama Iklim Amerika Syarikat-Singapura yang dikemas kini akan memberi tumpuan pada kerjasama dalam lima bidang, termasuk peralihan tenaga serantau di Asia Tenggara, dan juga huraian bagi pelepasan rendah dan sifar gas karbon," kata Dr Balakrishnan.
"Kami juga sedang bekerjasama dalam bidang lain seperti keselamatan siber, yang lebih penting sekarang memandangkan cabaran yang kami hadapi."
Dr Balakrishnan juga menyifatkan lawatan Encik Blinken ke Beijing pada Ahad sebagai penting tetapi tidak mencukupi.
Beliau menjelaskan usaha membina kepercayaan strategik dan saling hormat-menghormati antara AS dan China tidak boleh dicapai hanya dengan satu lawatan.
Namun Encik Blinken berjanji akan bercakap secara jujur dan terbuka dengan para pemimpin China mengenai pelbagai keprihatinan AS, semasa lawatannya itu.
Encik Blinken juga mahu memastikan persaingan antara dua kuasa besar itu tidak akan berubah menjadi satu konflik.
Menyentuh krisis di Myanmar, Encik Balakrishnan berkata adalah terlalu awal bagi ASEAN untuk mendampingi semula tentera negara itu.
Beliau dan Encik Blinken juga kekal kurang yakin keamanan akan segera kembali di negara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.