Skip to main content

Singapura

Kerjasama serantau penting tangani jerebu rentas sempadan: SIIA

Anggaran Waktu Membaca:
Kerjasama serantau penting tangani jerebu rentas sempadan: SIIA

Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) menyifatkan jerebu yang kini berlaku di wilayah selatan ASEAN sebagai ujian terhadap kerjasama serantau dalam menangani isu berkenaan. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 29 Aug 2026 03:01PM
  • SIIA menekankan kepentingan kerjasama serantau ASEAN dalam memadamkan kebakaran dan menangani jerebu rentas sempadan di wilayah selatan.
  • Simon Tay menyatakan usaha sedia ada wajar diiktiraf, namun perkongsian maklumat dan penyelarasan pelan pemadaman masih boleh dipertingkatkan.
  • Pusat Penyelarasan ASEAN (ACC THPC) di Jakarta dijangka memainkan peranan penting, tetapi masih belum beroperasi sepenuhnya.
  • Malaysia mencadangkan diplomasi sains dan Tabung Jerebu Mampan untuk memperkukuh pembiayaan, dengan isu jerebu dijangka kekal sebagai agenda utama ASEAN hingga 2027.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kerjasama yang dipertingkatkan untuk memadamkan kebakaran di kawasan tapak kebakaran di seluruh wilayah selatan ASEAN sangat penting dalam menangani situasi jerebu rentas sempadan, menurut Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA).

Pengerusinya Simon Tay menyifatkan jerebu yang kini berlaku di wilayah selatan ASEAN sebagai ujian terhadap kerjasama serantau dalam menangani isu berkenaan.

"Buat masa ini, kerjasama untuk memadamkan kebakaran ialah perkara paling utama. Kita melihat adanya usaha sebenar untuk menangani kebakaran tersebut, walaupun tidak sempurna, usaha itu wajar diiktiraf.

"Penting juga untuk diingatkan bahawa cuaca tahun ini panas dan kering, serta fenomena El Nino yang kuat merupakan satu cabaran yang berat," katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Sambil mengakui kerjasama semasa ASEAN dalam pemantauan titik panas dan perkongsian data saintifik menerusi Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC), Encik Tay menekankan bahawa perkongsian maklumat kualitatif dan penyelarasan pelan pemadaman kebakaran masih boleh ditingkatkan. 

Beliau berkata perkara itu akan diletakkan di bawah bidang kuasa Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) yang baharu di Jakarta. Pusat tersebut telah dilancarkan awal tahun ini namun belum beroperasi sepenuhnya.

"Diharapkan situasi jerebu tahun ini akan menjadi pemangkin untuk memuktamadkan perjanjian pelaksanaan dengan semua negara anggota ASEAN serta membolehkan pusat itu beroperasi sepenuhnya," tambah beliau.

Menurut Encik Tay, tindakan jangka panjang bagi menangani isu jerebu perlu diteruskan melangkaui musim kering tahun ini, memandangkan dunia diramalkan bakal mengalami musim yang lebih panas dan kering pada masa hadapan akibat perubahan iklim.

Beliau berkata Malaysia sudah mengusulkan penggunaan "diplomasi sains" yang lebih meluas serta penubuhan Tabung Jerebu Mampan yang baharu semasa mesyuarat peringkat menteri ASEAN mengenai jerebu pada Julai.

Penubuhan tabung itu bagi memperkukuh kerjasama dan pembiayaan serantau dalam usaha pencegahan jerebu.

"Ini satu cadangan yang baik, sememangnya sudah terdapat Tabung Kawalan Pencemaran Jerebu di bawah ASEAN, namun sumbernya terhad.

"Satu isu yang mungkin timbul menjelang musim kebakaran 2026 ialah pihak berkuasa tempatan dan agensi pengurusan bencana mungkin mempunyai sumber kewangan lebih terhad menyusuli keadaan ekonomi global yang kurang memberangsangkan serta langkah pengetatan belanjawan awam," katanya.

Dalam pada itu, Encik Tay menegaskan bahawa isu jerebu akan terus menjadi agenda serantau apabila Singapura mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada 2027.

"Situasi jerebu semasa merupakan ujian daya tahan terhadap tahap kesiapsiagaan rantau ini dalam menangani jerebu, namun ia juga menjadi peluang untuk membina kerjasama yang lebih kukuh pada masa hadapan," katanya.
Sumber : Bernama/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita